Home Artikel Post View

KUNCI KEMENANGAN ISLAM, ULAMA DAN PEMIMPIN RABBANI

Jun 28, 2023 04:22 am
Kredit kepada pemilik gambar

Muhammad Haikal Luqman bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi

"Membebaskan Masjid al-Aqsa itu mudah, kirim saja semua tentera Islam ke sana!"

Benarkah semudah itu?

Allahyarham Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah menyebut bahawa, 

"Umat ini memerlukan sosok ulama seperti Imam Al- Ghazali sebagaimana umat ini juga memerlukan sosok pemimpin seperti Salahuddin Al- Ayyubi." 

Umat ini perlu kepada kebersamaan antara kepimpinan "Salahuddin" dan keilmuan "Imam Ghazali".

Pembebasan Palestin bermula daripada madrasah. Panglima yang memerdekakan Masjid Al-Aqsa bermula dari bangku sekolah dan ruang kajian. Guru-gurunya adalah kader yang dibimbing dan terinspirasi oleh Nizam al-Mulk, Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Dari madrasah itu, muncul sosok Imaduddin Zanki, Nuruddin Zanki hingga akhirnya Salahuddin al-Ayyubi.

Jelas sekali bahawa pemimpin yang mempunyai karakter yang kuat itu bukan tiba-tiba ada tetapi mereka dikader, ditempa, direncanakan dan diikhtiarkan oleh ulama’. Maka jika kita bertanya,

“Apakah sudah bersedia pemimpin dan pasukan ketenteraan umat Islam untuk membebaskan Palestin?”

 Jawapannya adalah dalam bentuk persoalan juga, 

"Adakah mereka sudah dibimbing dengan kerangka ilmu dan hikmah ulama’?"

Ternyata, seperti itulah yang diceritakan sejarah Islam. Setiap kali kamu menemukan kisah kemenangan, pasti akan kau temukan sosok pemimpin yang pintar yang ditemani oleh ilmuwan yang cerdas dan takut pada Allah. Seorang penganalisis sejarah dari Indonesia, Muhammad Abdurrahman menulis, 

"Ruh perubahan membutuhkan adanya para ulama yang Rabbani"

Di sebalik Saifuddin Muzaffar al-Qutuz yang baru memimpin Mesir satu tahun dan tiba-tiba mampu mengalahkan tentera Mongol di pertempuran Ain Jalut, ada sosok ulama’  Rabbani bernama Izzuddin bin Abdissalam yang mendampingi kepimpinannya. Di sebalik kejayaan Dinasti al-Murabitun yang menyelamatkan kerajaan Islam Andalusia, ada jasa seorang alim yang mujahid bernama Syeikh Abdullah bin Yasin. 

Di sebalik kisah kegemilangan kekhalifahan Bani Umayyah dan pemimpin-pemimpin kuatnya, ada sosok ilmuwan yang pintar dan juga soleh bernama Raja' bin Haiwah. Beliaulah yang memberi arahan pada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik untuk menjadikan Umar bin Abdul Aziz sebagai Khalifah Umayyah selepas pemergiannya. Ada pula individu hebat yang menjadi inspirasi kepada umat Islam ketika membebaskan Sicily di Itali, iaitu seorang ulama dan pejuang bernama Asad bin Furat.

Siapapun yang membaca dan mengagumi sosok Muhammad Al-Fateh, tidak akan lupa bahawa ada seorang alim yang membimbing beliau dalam perjalanan pembebasan Konstantinopel. Beliaulah Syeikh Aaq Syamsuddin. Kebanyakan ulama’ pernah berkata, 

"Jika Al-Fateh adalah pembebas Konstantinopel, maka Syeikh Aaq Syamsuddin adalah pembebas hatinya."

Anak cucu Muhammad al-Fateh memahami betul peranan ulama Rabbani agar menjadi pemimpin yang hebat dan membina masyarakat yang mapan. Oleh sebab itu ketika empayar Turki Uthmaniyah berada di puncaknya, para sultannya pasti sungguh-sungguh dalam mendengar dan memuliakan ulama’.

Ia seperti mana yang ditulis oleh sejarawan Abd al-Rahman al-Jabarti, 

"Saat itu sultan-sultan meninggikan syiar Islam dan sunnah Rasulullah ﷺ. Mereka memuliakan ulama dan ilmuwan, melayani dua kota suci, dan berpegang teguh pada hukum-hukum yang berlandaskan syariat. Maka kuatlah negeri mereka, panjanglah masa kekuasaan mereka, dikagumi oleh raja-raja dunia dan ditakuti oleh musuh."

 (Kitab Tarikh Aja'ib Al-Athar fil Tarajim wal Akhbar)