Serang Balas Iran Sebuah Kemenangan Untuk Israel?

Apr 16, 2024 05:19 pm
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Eksekutif Penyelidik dan Advokasi CGM

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. 

Begitu jugalah serangan Iran ke atas Israel pada 14 April 2024, bukanlah sebuah provokasi tiba-tiba tetapi ia bermula dengan sarang tebuan yang dijolok oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tidak lain tidak bukan, Israel sendiri ‘menceroboh’ kawasan konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April 2024 sehingga menyebabkan 7 orang anggota Tentera Pengawal Revolusi Islam (IRGC) syahid, termasuk dua orang pegawai tertinggi; Komander Mohammad Reza Zahedi dan timbalannya, Mohammad Hadi Hajriajimi. 

Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1945, sudah semestinya Iran berhak untuk mempertahankan diri, lagi-lagi Majlis Keselamatan PBB langsung mendiamkan diri dan membutakan mata terhadap insiden yang berlaku di Damsyik. Maka, di dalam sepucuk surat rasmi kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Iran memetik dua perkara perlembagaan PBB iaitu: Artikel 51 dan Artikel 2 (4).

Dua akta tersebut menjadi dasar kukuh kepada tindakan yang dilaksanakan Iran terhadap Israel, sekaligus menjadi tamparan kepada seluruh ahli PBB yang mendiamkan diri ketika IRGC diserang di Syria.

Pertama, Israel mencabuli Piagam PBB yang menegaskan larangan ancaman atau kekasaran terhadap hubungan antarabangsa melalui Artikel 2 (4); “Semua ahli PBB dilarang sama sekali dari mengenakan sebarang ancaman atau kekerasan ke atas kedaulatan negara lain dalam apa jua cara yang boleh ditafsirkan bercanggah dengan objektif penubuhan PBB.” Perlu diingatkan bahawa selain IRGC yang diserang di Syria, Israel juga melancarkan serangan di Palestin sejak 1948 sehingga menjadikan Gaza dan Tebing Barat pada hari ini; malah menyerang Lubnan. 

Dua minggu berlalu sepi tanpa sebarang tekanan PBB terhadap Israel, Iran akhirnya melancarkan serangan demi mempertahankan rakyat dan kepentingan negara mereka. Justeru, Iran menggunakan Artikel 51 sebagai dasar kepada serangan ke atas Israel; “Tiada apa-apa pun di dalam piagam ini boleh menjejaskan hak sedia ada untuk mempertahankan diri jika serangan bersenjata berlaku terhadap ahli PBB sehingga Majlis Keselamatan mengambil langkah yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.”

Maka, adakah serangan Iran terhadap Israel melanggar piagam PBB? Sudah tentulah tidak. Ia sah di sudut undang-undang antarabangsa. Cuma, mengapa begitu sekejap serangan tersebut? Tidakkah Iran juga mahu menghancurkan rejim Zionis yang sudah lama menganiaya penduduk Gaza sejak 7 Oktober 2023?

Jika benar Iran mahu all-out menentang Israel, sepatutnya pada tahun 2020 lagi kita sudah menyaksikan perang di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) apabila Mejar Jeneral IRGC, Qasem Soleimani syahid dalam serangan misil AS di Iraq. (1)

Tetapi sebaliknya, Iran memilih untuk berhati-hati dan bertenang. Begitu juga di dalam konteks terkini, boleh nampak kemenangan yang dimaksudkan Iran adalah kejayaan mereka menakutkan pihak musuh. Berdasarkan satu analisis luar, tindakan Iran menyerang Israel bukanlah semata-mata untuk membalas dendam sehingga berkemungkinan menyebabkan banyak nyawa terkorban tetapi ia lebih kepada sebuah amaran dan pencegahan lebih banyak keganasan.(2)

Namun di sisi pihak Israel dan AS, kejayaan adalah milik mereka apabila 99% peluru berpandu berjaya dipintas di ruang udara sehingga menyebabkan kerosakan kecil di beberapa kawasan Israel.(3) Ironinya, Israel tetap kalut mendapatkan sokongan dari negara-negara lain untuk turut mengecam tindakan Iran yang disifatkan sebagai punca kepada peningkatan konflik di Timur Tengah dan menggesa PBB untuk mengisytiharkan IRGC sebagai organisasi pengganas. 

 

Israel Akan Buat Serang Balas

Apa yang menjadi teka-teki kini adalah sekiranya Israel membuat serangan balas, adakah Iran akan lawan sehabis-habisnya sehingga berlakunya Perang Dunia Ketiga (WWIII)?

Pertamanya, ketua ketenteraan Israel memberitahu bahawa mereka nekad untuk membuat serangan balas tetapi tidak dimaklumkan bila dan bagaimana. Pada masa yang sama, kenyataan ini jelas menentang gesaan beberapa negara sekutunya seperti AS, United Kingdom (UK) dan Perancis yang mahu Israel berdiam diri sahaja. 

Kedua, sekiranya perang berlaku, Iran tidak mungkin berjaya menarik sama Rusia dan China dalam pergelutan menentang Israel kerana awal-awal lagi dua negara itu mahu konflik tersebut diredakan segera.(4) Lagipun, Rusia lebih berminat dengan Ukraine dan China jika dibandingkan Iran walaupun tidak dinafikan negara itu merupakan rakan sekutu dan pembekal utama senjata kepada Iran.(5)

Apa yang pasti, pemerhatian dan penantian gerakan-gerakan pejuang di beberapa negara Islam seperti Iran, Lubnan dan Yaman untuk menyerang Israel demi keadilan untuk rakyat Palestin dan negara mereka sendiri tidak mustahil akan mencetuskan perang rantau di Timur Tengah. 

Jika bukan perang yang dipilih, konflik di rantau itu akan berpanjangan selagi mana Israel enggan berundur, patuh dengan undang-undang antarabangsa dan negara sekutu Israel termasuk PBB menyokong tindakan Israel ke atas negara-negara Islam. 

Rujukan

1. Karam, Z. & Abdul-Zahra, Q. (2020). US kills Iran’s most powerful general in Baghdad airstrike. APNews. Dipetik dari https://apnews.com/article/ap-top-news-tehran-international-news-iraq-ali-khamenei-5597ff0f046a67805cc233d5933a53ed

2. Byman, D. & Pollack, K. (April 2024). How Will Israel Respond to the Iranian Attack? Foreign Policy. Dipetik dari https://foreignpolicy.com/2024/04/14/israel-iran-attack-drone-missile-middle-east-war/

3. Federman, J. & Gambrell, J. (April 2024). Israel says Iran launched more than 400 drones and missiles, 99% of which were intercepted. APNews. Dipetik dari https://apnews.com/article/strait-of-hormuz-vessel-33fcffde2d867380e98c89403776a8ac

4. Auburn University. (April 2024). Auburn University experts say ‘World War III’ unlikely after Israel’s attack on the Iranian consulate. Dipetik dari https://wire.auburn.edu/content/ocm/2024/04/110842-israel-iran-ea.php

5. Ibid.



 

Related