Home Artikel Post View

Padang Jarak Padang Tekukur di Gaza, Adakah Sudah Terlambat?

Feb 08, 2024 05:58 am
Foto: Yasser Qudih/AFP

Oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi CGM

Tepat 1 Februari 2024, genap 118 hari Israel membedil Gaza. Kemusnahan yang berlaku di Gaza boleh dikatakan sangat tidak masuk akal kerana ia berlaku pada era milenial ketika majoriti masyarakat dunia mampu memperoleh segala maklumat hanya di hujung jari tetapi gagal membendung pertumpahan darah manusia yang tidak bersalah. 

Satu dunia sedia maklum, malapetaka di Gaza diisytiharkan sebagai satu jenayah yang dikenali sebagai genocide atau pembunuhan beramai-ramai. Namun, satu lagi sisi yang mungkin perlu orang ramai cakna ialah Gaza juga berdepan dengan domicide, “the systematic or widespread violation of the right to adequate housing – as an international crime of its own standing.”(1) 

Berdasarkan rekod kemusnahan di Gaza, sebanyak 70,000 buah unit kediaman telah musnah sepenuhnya dan 290,000 yang lain separa musnah.(2) Penduduk Gaza sudah tentu tidak akan berdiam diri, menyelamatkan diri ke tempat yang dianggap selamat seperti bangunan-bangunan awam. Tetapi sebaliknya berlaku apabila 30 buah hospital di wilayah itu sudah lumpuh sepenuhnya dan lebih 25,010 bangunan musnah, merangkumi rumah ibadah – gereja dan masjid, ibu pejabat kerajaan, sekolah dan universiti.(3)

Jadi, di mana lagi tempat yang lebih selamat untuk mereka dapatkan perlindungan? Rejim Israel tidak menunjukkan tanda untuk berhenti menyerang. Setiap bangunan awam, terutamanya hospital menjadi sasaran utama mereka dengan alasan di situlah markas kumpulan pejuang Islam, HAMAS berlindung dan beroperasi. Gaza tidak ubah seperti padang jarak padang tekukur!

Tetapi, adakah tebakan mereka tepat? Sudah tentu tidak. Empat bulan kononnya memerangi HAMAS, rejim Israel gagal masih gagal mencapai objektif mereka iaitu memusnahkan HAMAS dan membunuh pemimpinnya, Yahya Sinwar. Paling penting, rejim Israel belum berjaya mengawal keseluruhan Gaza sedangkan wilayah itu sangat kecil, bersaiz cuma 360 kilometer persegi. 

Walhal, 85 peratus populasi Gaza telah kehilangan tempat tinggal(4) dan Israel terus ‘menyumbat’ 1.9 juta penduduk Palestin ke bahagian selatan Gaza iaitu Rafah, menyebabkan angka peratusan itu semakin meningkat setiap hari. Trauma ini – penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal – akan menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap fungsi kediaman sebagai tempat yang selamat.

Melihat kepada keadaan di Gaza, tidak keterlaluan untuk mengatakan domicide membuktikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal mempertahankan hak penduduk Palestin berdasarkan Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR). Jika boleh digredkan prestasi PBB ketika ini, hampir semua perkara melibatkan hak asasi manusia bertanda merah.

Masa Depan Gaza

Apakah selepas ini kita akan menyaksikan 1.9 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah ke luar negara seperti Lubnan dan Syria, menyebabkan tragedi 1948 berulang lagi? Atau adakah kita akan melihat Gaza bangkit semula sebagai sebuah wilayah yang lebih mampan dan garang pasca perang kali ini?

Jika pilihan kedua yang kita mahu, bagaimana dan berapa lama Gaza perlukan untuk pulih serta bertahan dari ancaman rejim Israel? 

Persoalan-persoalan begini perlu dimainkan di benak fikiran agar kita tidak lekas melatah apabila seruan solidariti untuk Palestin dilaungkan, begitu juga jika saluran-saluran dana mula dibuka kerana untuk memulihkan Gaza pasca perang tidaklah mudah. Ia memerlukan semangat dan kerja yang kuat demi mempertahankan hak kita sebagai muslim iaitu Palestin. 

Paling penting, kita belum terlambat untuk menanam kefahaman terhadap kepentingan Palestin yang menempatkan Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis agar semangat mempertahankan tanah suci ini tidak hanya mengikut musim tetapi berpanjangan sehingga akhir hayat.

 

Rujukan

1) United Nations Human Rights Office of the High Commissioner. (2022). “Domicide” must be recognised as an international crime: UN expert. United Nations. Dipetik daripada https://www.ohchr.org/en/press-releases/2022/10/domicide-must-be-recognised-international-crime-un-expert

2) Palestinian Central Bureau of Statistics. (2024). Destroyed Buildings. Dipetik daripada https://www.pcbs.gov.ps/site/lang__en/1408/Default.aspx

3) Ibid

4) Sio, M. (2024). ‘Catastrophic situations’ at Khan Younis hospitals amid Israeli onslaught: Health Ministry. Anadolu Ajansi. Dipetik daripada https://www.aa.com.tr/en/middle-east/-catastrophic-situations-at-khan-younis-hospitals-amid-israeli-onslaught-health-ministry/3124287

 

Related