Home Artikel Post View

Pembersihan Etnik di Palestin, Perang Dunia Ketiga (WWIII)?

Jan 01, 2024 09:03 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi CGM

Mimpi ngeri penduduk Palestin di Semenanjung Gaza adalah satu realiti pahit yang perlu ditelan. Kemusnahan di wilayah dijajah Israel itu kini mencerminkan apa yang telah berlaku di Jerman ketika Perang Dunia Kedua.(1) 

Adakah ini bermakna situasi di Gaza boleh dianggap sebagai perang dunia ketiga dalam era milenial? 

Perang Dunia Kedua mula tercetus apabila Jerman yang dipimpin Adolf Hitler menceroboh dan menyerang Poland pada 1939. Serangan itu akhirnya mendorong Perancis dan United Kingdom (UK) untuk isytihar perang menentang Jerman demi melindungi Poland. Kemudian pada 1941, Kesatuan Soviet ikut masuk campur selepas bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengalahkan Nazi.

Bayangkan sepanjang tempoh 7 tahun, Jerman dan Poland masing-masing merekodkan sekurang-kurangnya 8.8 juta penduduk dan 5.6 juta penduduk terbunuh dalam Perang Dunia Kedua yang tamat pada 1945.(2)

Wajarlah angka kematian di kedua-dua negara itu sangat tinggi kerana populasi penduduknya sewaktu zaman sebelum perang itu juga tinggi dengan jumlah 69.46 juta orang (Jerman) (3) dan 32.3 juta (Poland).(4)

Melihat pula keadaan terkini di Gaza (setakat 30 Disember 2023), angka kesyahidan di sana sudah mencecah lebih 21,500 orang. Angka tersebut tidak termasuk dengan jumlah rakyat Palestin yang dilaporkan hilang akibat sama ada tertimbus di bawah tanah atau runtuhan bangunan; dan mereka yang syahid tetapi belum lagi jenazahnya diselamatkan oleh pihak penyelamat. Sebagai rekod, jumlah populasi sebenar di Gaza sebelum perang adalah sekitar 2.2 juta orang.(5)

Walaupun kadar kesyahidan di Gaza tidak setara dengan kematian akibat Perang Dunia Kedua di Jerman atau Poland, namun ia tetap satu tamparan hebat kerana angka kesyahidan itu telah melepasi: 

 

1. Rekod kematian ketika Lubnan diserang Israel pada 1982.(6)

2. Rekod kematian penduduk Ukraine akibat perang dengan Rusia yang bermula pada 24 Februari 2022. (7)

3. Hampir mencecah angka kematian di Bulgaria ketika Perang Dunia Kedua. (8)

Kembali kepada soalan utama - adakah situasi di Gaza boleh dianggap sebagai perang dunia ketiga? 

Jawapannya, ya dan tidak. 

Melihat kepada angka kesyahidan di Gaza, termasuk sekitar 70% kediaman serta bangunan awam di wilayah itu yang sudah musnah dan rosak;(9) serta 1.9 juta atau 80% penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal - keadaan penduduk Palestin di sana, ya, tidak ubah seperti situasi ketika Perang Dunia Kedua.

Kira-kira satu juta penduduk Eropah kehilangan tempat tinggal selepas mereka menyelamatkan diri dengan keluar dari negara masing-masing.(10) Keadaan huru-hara itu menyebabkan beberapa buah negara, seperti Australia terpaksa menerima kemasukan pelarian Eropah - seramai 170,000 orang untuk tempoh 5 tahun - melalui perjanjian bersama Organisasi Pelarian Antarabangsa (IRO) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).(11)

Tidak dilupakan juga bagaimana Nazi membantai golongan Yahudi sehingga menyebabkan hampir enam juta bangsa itu terbunuh(12) dan yang terselamat pula melarikan diri ke negara lain. Kesannya pada hari ini, lihatlah bagaimana penduduk Palestin dikerjakan Zionis untuk mencapai cita-cita mereka iaitu mempertahankan negara haram Israel untuk penduduk haram Yahudi!

Inilah dinamakan pembersihan etnik, sebagaimana sejarawan Amerika, Daniel Chirot telah tekankan:

“..as when masses of people are expelled from a region, and many die, through murder or the harshness of expulsion, but some survive. We now call that ethnic cleansing, and it tends to produce many deaths.”(13)

Perang di Gaza belum sesuai untuk dianggap Perang Dunia Ketiga kerana Cambridge Dictionary menakrifkan perang dunia sebagai “a war in which large forces from many countries fight”. Ini bermakna, selagi mana belum ada campur tangan negara lain atau negara besar yang memperjuangkan keselamatan salah satu pihak yang terlibat - Palestin atau Israel - maka, tidak sesuai untuk menganggapnya sebagai Perang Dunia Ketiga. 

Tetapi, penglibatan kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Iran sebagai kuasa paksi yang menentang Israel tidak mustahil akan menjadi pencetus kepada Perang Dunia Ketiga. 

Mengapa? 

Kerana Israel memiliki sokongan dari beberapa negara besar melalui Operation Prosperity Guardian yang ditubuhkan AS. Antara negara yang terlibat adalah Kanada dan UK.(14)

Sudah tentulah kita tidak menginginkan satu lagi perang dunia berlaku. Cukuplah dengan ketamakan pemerintah terdahulu untuk meluaskan dan memastikan kuasa mereka kukuh walaupun terpaksa mengorbankan banyak nyawa orang awam.

Berakhirnya 2023 tidak bermakna berakhirnya perang di Gaza. Tetapi bermulanya 2024 boleh menjadi satu permulaan baharu untuk kita menggiatkan lagi usaha untuk mengangkat perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, termasuk Salahuddin al-Ayyubi dalam membebaskan Baitul Maqdis dari kuasa asing. 

Penindasan yang berlaku di Palestin dan kesucian  Masjid al-Aqsa yang dicabul rejim Israel sejak 1948 sehingga kini perlu berakhir. 75 tahun Palestin dijajah Israel adalah satu tempoh yang lama. 

Semoga tahun 2024 dan tragedi Taufan al-Aqsa ini sebagai titik bermulanya pembebasan Baitul Maqdis dan Palestin. In shaa Allah.

 

Rujukan:

1. Wall Street Journal. (December 2023). Telegram Middle East Observer.

2. Research Starters: Worldwide Deaths in World War II. The National WWII Museum. Dipetik dari https://www.nationalww2museum.org/students-teachers/student-resources/research-starters/research-starters-worldwide-deaths-world-war

3. O’Neill, A. (Jun 2022). Population of Germany from 1800 to 2020. Statista. Dipetik dari https://www.statista.com/statistics/1066918/population-germany-historical/

4. Demographic Changes in Poland: War and Postwar. (1947). Population Index, 13(1), 3–8. https://doi.org/10.2307/2730549

5. Visual Journalism Team. (December 2023). Gaza Strips in maps: How Life has changed in two months. Dipetik dari https://www.bbc.com/news/world-middle-east-20415675

6.Stack, L. (Dec 2023). Gaza deaths surpass any Arab loss in wars with Israel in past 40 years. New York Times.

7. Apa bezanya perang Ukraine-Rusia dan perang Palestin-Israel? [Instagram]. November 2023. Cinta Gaza Malaysia.

8. Research Starters: Worldwide Deaths in World War II. The National WWII Museum. Dipetik dari https://www.nationalww2museum.org/students-teachers/student-resources/research-starters/research-starters-worldwide-deaths-world-war

9. The Wall Street Journal: 70 percent of Gaza homes, half of its buildings destroyed in Israeli strikes. Haaretz. Dipetik dari https://www.haaretz.com/israel-news/2023-12-30/ty-article-live/israel-strikes-in-syria-lebanon-after-rockets-target-north-idf-widens-south-gaza-combat/0000018c-b8de-d45c-a98e-bbde04ed0000?liveBlogItemId=707040377#707040377

10. J Turnbull, M. (1999). Safe haven: Records of the Jewish experience in Australia. National Archives of Australia. Dipetik dari https://www.naa.gov.au/sites/default/files/2020-06/research-guide-safe-haven.pdf

11. Ibid

12. Smilde, K. (n.d). What is the Holocaust. Anne Frank House. Dipetik dari https://www.annefrank.org/en/anne-frank/go-in-depth/what-is-the-holocaust/

13. Daniel Chirot, “Why Some Wars Become Genocidal and Others Don’t: A Historical Interpretation of America’s Current War,” Working paper No. 7, Fall 2002, Center for Western European Studies Kalamazoo College, 4.

14.Operation Prosperity Guardian vs Houthi Yaman. (19 Disember 2023). Telegram Terkini dan Sensasi Palestin.

Related