Home Artikel Post View

Kenapa Israel Terlalu Membenci Rakyat Palestin?

Dec 12, 2023 09:24 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Muhammad Haikal Luqman bin Zulkefli 

Dalam sejarah Islam bermula daripada penubuhan negara pertama Islam iaitu Madinah hinggalah kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah pada tahun 1923, umat Islam tidak pernah meminggirkan nasib bangsa lain termasuklah Yahudi. Kita terus meraikan kepelbagaian bangsa dengan bersikap adil dan saksama dan mereka juga senang untuk berada di bawah pemerintahan Islam berbanding agama lain. 

Bangsa Yahudi juga diberi peluang dalam pelbagai sektor sehingga ke jawatan-jawatan terpenting di dalam kerajaan seperti dalam kerajaan Andalusia. Zaman ini juga dinamakan sebagai The Golden Age of Jewry atau Zaman Keemasan Budaya Yahudi yang berlaku sekitar 900 Masihi hingga 1200 Masihi. Ketika ini, orang Yahudi diberikan pelbagai akses seperti pendidikan, kesihatan, kepimpinan dan sebagainya. 

Salah seorang tokoh falsafah bernama Maimonides atau Ibn Maimun yang sangat terkenal dan prolifik di antara ilmuwan yang mengajar tentang kitab Taurat bukan sahaja di Andalusia tetapi di dunia Islam ketika itu. Jika sekali pandang, Maimonides persis orang Arab yang mengajar hal-hal agama, tetapi beliau adalah orang Yahudi yang sangat menghormati pemerintahan Islam bahkan orang Islam ketika itu juga menuntut ilmu dengan Maimonides. 

Orang Yahudi merasakan aman untuk duduk di bawah pemerintahan Islam kerana hak yang diberikan tidak ada yang lebih mahu pun kurang. Setiap agama dan bangsa juga tidak dipecahkan mengikut lokaliti tertentu tetapi diletakkan dalam kawasan yang sama supaya masing-masing dapat mempelajari budaya yang pelbagai.

Selepas kerajaan Granada yang merupakan kerajaan Islam yang terakhir di Andalusia jatuh pada tahun 1492, kaum Yahudi sekali lagi diselamatkan oleh kerajaan Islam iaitu Turki Uthmaniyah. Mereka dibawa ke setiap wilayah Turki Uthmaniyah dan dibenarkan untuk menetap sebagai seorang rakyat yang patuh dengan Khalifah walaupun ketika itu negara-negara Eropah tidak menerima kedatangan Yahudi dengan menganggap mereka sebagai ‘parasit’. 

Maka, ketika kejatuhan Turki Uthmaniyah, Yahudi yang berideologi Zionis iaitu Theodore Herzl mula merancang untuk mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin tanpa memikirkan rakyat Palestin yang pernah membantu mereka ketika mereka tidak diterima oleh masyarakat dunia. Malah, mereka terus membunuh dan mengabaikan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Palestin bermula tahun 1948. 

Persoalannya, kenapa Israel begitu membenci rakyat Palestin?

Kalau diikutkan, rakyat Palestin lebih mempunyai hak untuk membenci Israel kerana Israel telah mengamalkan dasar Aparteid dan menjajah Palestin serta menghalau rakyatnya keluar daripada tanah air. Tidak cukup dengan itu, Israel terus mengepung dan menahan serta menafikan keperluan serta kebebasan mereka sebagai rakyat asal Palestin.

Ya, mungkin Israel membenci rakyat Palestin disebabkan keganasan yang telah menyebabkan hanya sebilangan kecil rakyat Israel terbunuh, tetapi ia bukanlah apa sangat jika mahu dibandingkan dengan keganasan terancang dan dasar yang mereka telah kenakan ke atas rakyat Palestin, seperti serangan yang telah berlaku baru-baru ini. 

Di sini saya melihat kebencian Israel terhadap rakyat Palestin telah dibentuk serta dipandu oleh tiga asas sentimen iaitu ketakutan, cemburu dan marah. 

Berdasarkan ketiga-tiga sentimen di atas, ketakutan adalah faktor terbesar di mana ia mungkin tidak begitu rasional tetapi ia mampu menjadi satu instrumental kepada perbincangan yang sedang kita lakukan ini. Ia tidaklah mengejutkan melihat Israel begitu takut dengan Palestin selepas Israel menjajah tanah Palestin dan menjadikan Israel antara kuasa geopolitik yang terkuat di Timur Tengah dan satu-satunya negara Timur Tengah yang memiliki kuasa nuklear. 

Ketakutan Israel lebih terserlah apabila mereka telah berundur dari Gaza pada tahun 2005 dan dengan serta-merta mengenakan tembok tahanan terhadap dua juta rakyat Gaza yang rata-ratanya adalah pelarian yang dihalau keluar dari tanah mereka pada tahun 1948. Bagaimana Israel yang kononnya mempunyai sokongan dari kuasa-kuasa besar tetapi takut dengan rakyat Palestin yang dikepung selama 15 tahun?

Israel sebenarnya takut kepada keteguhan hati yang dimiliki oleh rakyat Palestin. Mereka juga takut kepada kesatuan, demokrasi, syair dan semua simbol kebangsaan Palestin termasuklah bahasa dan bendera. Kadar kelahiran yang meningkat dalam kalangan rakyat Palestin juga menjadi igauan kepada Israel ia menganggap kelahiran sebagai ancaman demografi. 

Ketakutan juga adalah instrumental kepada garrison state, iaitu sebuah negara yang ekonominya yang digunakan untuk pembangunan ketenteraan dan menyebabkan terhakisnya kebebasan masyarakat awam seperti Israel, yang dikenali sebagai “an army with a country attached”. Ketakutan melahirkan rasa kebencian kerana menurut Tim Marshall di dalam bukunya, Divided: Why We’re Living In An Age of Walls,

“A start that is always afraid cannot be free; a state that is shaped by militant messianism and ugly racism, against the indigenous people of the land, cannot be truly independent either”

Israel juga marah, dan sentiasa marah kerana rakyat Palestin tidak pernah menunjukkan tanda-tanda putus asa dan keinginan untuk keluar dari Palestin. Walaupun Israel berjaya memenangi semua siri perang sejak tahun 1948 yang menyebabkan negara Arab terpaksa menunduk malu menanggung kekalahan mereka, rakyat Palestin tetap menafikan kemenangan Israel dan mereka memberi isyarat bahawa mereka tidak akan mengaku kalah dan akan terus menentang penjajahan Israel.

Sentimen ketiga adalah cemburu. Israel cemburu dengan kekuatan dalaman rakyat Palestin dan kebanggaan yang dimiliki oleh mereka. Rakyat Palestin dilihat memiliki kepercayaan yang tinggi dan bersedia untuk berkorban walaupun dalam kesempitan. Apa yang paling dicemburui oleh Israel adalah sejarah dan budaya Palestin; keterikatan dengan tanah Palestin, keterikatan yang Zionis gunakan untuk menjadi tanah Palestin sebagai penempatan penjajah. Israel cuba untuk memadam semua jejak yang terkait dengan kewujudan Palestin, malah mereka telah mengubah nama jalan, kejiranan dan bandar kepada bahasa Ibrani yang dipertuturkan oleh sebahagian besar Yahudi di Israel. Ilan Pappe, yang merupakan sejarawan Israel pernah menyebut,

“To find accurate parallels for the reconsecration of places of worship by a conqueror, one must go back to Spain or the Byzantine Empire in the middle of the late 15th century”

Israel boleh mengubah sentimen ini kepada sikap toleransi, cemburu kepada penghargaan, dan marah kepada empati, itupun jika Israel bersedia untuk memohon maaf atas jenayah yang dilakukan serta memulangkan kembali hak-hak rakyat Palestin. Sentimen ini tidak menyebabkan rakyat Palestin keluar dan berputus asa, tetapi ia akan menyebabkan penjajah Israel yang akan keluar dari tanah yang mereka jajah.