Home Artikel Post View

Wanita Palestin: Penindasan Yang Dibisukan Media Massa?

Dec 04, 2023 09:30 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi

Penindasan yang berlaku di Palestin melibatkan keseluruhan rakyat berkelahiran negara itu tanpa mengira umur dan jantina. 

Sejak peristiwa Nakbah yang berlaku pada 15 Mei 1948, lambakan rakyat Palestin telah dihalau Israel dan rekod terkini mendedahkan hampir seramai enam juta pelarian Palestin yang berdaftar dengan Agensi Kerja dan Bantuan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA). Berdasarkan rekod yang sama juga, pelarian Palestin telah dikenalpasti di beberapa negara seperti Jordan, Lubnan, Syria, termasuk tanah air mereka sendiri iaitu Sempadan Gaza dan Tebing Barat. 

Setakat Disember 2022, jumlah keseluruhan rakyat Palestin di dunia telah mencecah 14.3 juta dengan peningkatan 2.4 peratus berbanding tahun 2021. Manakala berdasarkan rekod pada Januari 2023, populasi penduduk di Palestin mencatat jumlah sekitar 5.3 juta dengan pecahan mengikut jantina – wanita: 2.7 juta dan selebihnya adalah lelaki. Secara tidak langsung rekod tersebut menjadikan nisbah populasi penduduk Palestin mengikut jantina adalah sebanyak 103 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Apa yang berlaku di Palestin sebenarnya memberi impak yang buruk kepada kedua-dua golongan, baik lelaki atau perempuan kerana rejim Zionis tidak membezakan mangsanya. Bagaimanapun, golongan wanita di Palestin berdepan dengan penindasan yang lebih ekstrem berbanding lelaki, “Women disproportionately endure the violence of occupation borne by all Palestinians, and often with gender-specific consequences.” Buktinya, mereka bukan sahaja terpaksa mempertahankan diri daripada serangan tentera Zionis tetapi juga perlu bertahan dengan penindasan yang acapkali berlaku di dalam kalangan keluarga dan masyarakat sosial. 

Penderitaan Wanita Palestin Tidak Didedahkan Media. Benarkah? 

Jika lihat kepada berita harian berkaitan Palestin, jarang sekali topik berkaitan wanita dikeluarkan di media. Sebaliknya, lambakan kekejaman rejim Israel ke atas golongan lelaki Palestin dipaparkan dan diperdengarkan di pelbagai media massa. 

Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Women Media and Development (TAM) mendedahkan bahawa siaran berita televisyen di Palestin yang berkaitan dengan keamanan, keselamatan dan keganasan Israel terhadap wanita Palestin hanya memaparkan 19 peratus berbanding berita lain. Manakala laman web agensi berita dan surat khabar pula masing-masing merekodkan 10 peratus paparan penindasan ke atas wanita Palestin. Rekod tersebut sangat mengejutkan kerana terdapat jurang yang sangat besar berbanding jumlah lelaki Palestin di dalam siaran berita televisyen dengan kadar 81 peratus, laman web agensi berita (90 peratus) dan surat khabar (90 peratus).

Tidak hanya itu, sebagai sebuah negara yang berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) wajar menjadi role model kepada negara-negara lain dan bertindak agresif dalam mencapai objektif perjanjian-perjanjian keamanan yang diusulkan sebelum ini – Perjanjian Oslo dan Perjanjian Camp David. Secara tidak langsung, media massa di negara itu juga perlu berada di barisan hadapan dalam mendedahkan penindasan Israel terhadap masyarakat Palestin, terutamanya golongan wanita di sana. 

Namun, AS sendiri tidak bersungguh dalam usaha penyelesaian dua negara (atau two-state solution), sehinggakan rancangan itu disifatkan sudah mati. Tidak cukup dengan itu, berdasarkan sebuah pemerhatian yang dilakukan seawal tahun 2000, media massa AS dilihat sudah mula memilih untuk mendiamkan diri. Salah satunya New York Times (NYT).

Menurut kenyataan Robert dan O’Connor, sebagai sebuah rangkaian media yang terkemuka, NYT telah bersikap lewa terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin dan pada masa yang sama tindakan itu mengunci suara wanita Palestin yang sepatutnya didengari oleh seluruh masyarakat dunia. Jelas mereka lagi, kesimpulan yang dibuat adalah berdasarkan jumlah penerbitan artikel oleh NYT yang diambil daripada tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) – Human Rights Watch, Amnesty International dan B’Tselem:

“… The NYT has published only four articles on those 80 reports, just two full articles on these 76 reports primarily about Israeli violations of Palestinians rights, and two full articles on the four reports on Palestinian violations.”

Bagaimana keadaan sedemikian boleh berlaku sedangkan penindasan yang berlaku ke atas wanita Palestin perlukan solusi dan ruang untuk menyuarakan hak mereka. Ketiadaan sosok tubuh golongan wanita Palestin di pelbagai platform media massa sebenarnya memberi impak buruk dan pada masa yang sama membuktikan bahawa kesengsaraan wanita Palestin benar-benar tenggelam kerana pihak media bersikap tidak beretika, “The trend to hide the effect of occupation and oppression on women became a power politicized, biased, and sophisticated matter with the increase in the media’s power…”. 

Apakah Penyelesaian Diskriminasi Ini?

Sudah tentu ketiadaan sosok tubuh wanita Palestin di media massa telah dianggap satu diskriminasi yang perlu diambil kira. Bayangkan ketakutan mereka tidak dapat dikongsikan kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu, sebaliknya terpaksa ditelan dan lalui fasa-fasa kekejaman Israel di tanah Palestin. 

Memetik satu perkongsian daripada seorang wanita berkelahiran Nablus, Palestin, penjajahan Israel yang seakan-akan tiada penghujungnya telah membentuk satu idea yang mana apa yang dilalui mereka sekarang ini adalah normal: 

“My job is to stop the normalization and the acceptance of the killing, kidnapping, arresting, and terrorism; at least in my children’s eyes. They should always believe in their rights as any other human being in any place in the world, and that they deserve a better reality that is free from the Israeli occupation.”

Tanpa sokongan daripada pihak media yang sudah tentu ada peranannya di dalam membawa pengaruh dan mendidik masyarakat dunia menyebabkan ruang untuk golongan wanita Palestin ke hadapan memperjuangkan hak di tanah kelahiran mereka dilihat agak sukar. Justeru, penyelesaian kepada masalah ini perlu dilihat dari akarnya iaitu hubungan industri media massa dengan realiti politik kehidupan sebenar rakyat Palestin sejak peristiwa Nakbah.

Satu hal yang perlu diketahui ramai, begitu juga pengamal media massa, golongan wanita Palestin sejak awal penjajahan Israel sehingga kini masih memainkan peranan penting dalam memperjuangkan tanah Palestin. Tidak hanya itu, mereka jugalah yang lebih kuat bertahan untuk melindungi keluarga, sekaligus memberi didikan kepada generasi yang akan bangkit membebaskan Baitul Maqdis kelak.

Sudah tentu juga keterbatasan mereka tidak hanya untuk muncul di media massa, sebaliknya banyak lagi sisi gelap penindasan wanita di Palestin yang perlu diambil tahu. Isu itu akan dibawa ke artikel baharu dan semoga ia dapat memberi manfaat kepada kita untuk terus mara memperjuangkan pembebasan Baitul Maqdis. Justeru, sejak awal lagi kita perlu sedar bahawa ada hak yang masih belum diperjuangkan iaitu hak wanita di Palestin. Salah satunya, suara wanita Palestin yang disekat untuk didengari masyarakat dunia di seluruh platform media massa.  

Mungkin inilah masanya untuk kita turut sertakan perjuangan wanita Palestin dalam pembebasan Baitul Maqdis kerana jika tidak sekarang, maka tiadalah kita saksikan tangan yang mampu menggoncang dunia. 






 

 


 

 

 

Related