Home Berita Post View

3 Buah Rumah di Tebing Barat dan Ariha Musnah Diroboh Israel

Sep 19, 2023 07:51 am

 

Jentolak rejim Israel dilaporkan telah merobohkan dua buah rumah dan kemudahan pertanian milik warga Palestin di Bandar Furush Beit Dajan yang terletak di daerah Nablus, utara Tebing Barat. 

Ketua kampung Furush Beit Dajan, Azim Haj Muhammad berkata, pasukan rejim yang diiringi beberapa buah jentolak tentera telah menceroboh bandar tersebut sebelum bertindak merobohkan dua buah rumah penduduk tempatan di mana salah satu daripadanya masih dalam pembinaan sementara sebuah rumah yang berpenghuni.

Tambahnya lagi, pada bulan Julai lalu, pasukan rejim telah memberi notis untuk meruntuhkan 13 buah rumah dan beberapa kemudahan yang ada di kampung tersebut, selain daripada notis-notis sebelum ini yang dikeluarkan melibatkan sebahagian besar rumah warga penduduk tempatan, selepas tentera rejim mengambil alih 11,000 ekar tanah di kampung itu.