Home Berita Post View

Pasukan Palestin ke Maghribi bagi Misi Menyelamatkan Mangsa Gempa Bumi

Sep 11, 2023 04:48 am

 

Difahamkan, pasukan Palestin yang teridiri daripada pasukan penyelamat dan pasukan kesihatan telah berlepas pada petang Ahad semalam, dari Tebing Barat menuju Maghribi. Mereka masing-masing mengambil bahagian dalam usaha mencari dan menyelamat selepas gempa bumi dahsyat melanda barat daya Marrakech. Ribuan mangsa dilaporkan terlibat di samping kehilangan tempat tinggal. 

Ketua Pengarah Agensi Kerjasama Antarabangsa Palestin, Imad al-Zuhairi berkata, pasukan tersebut merangkumi 24 orang kakitangan termasuk 10 orang doktor pakar kecemasan bahagian tulang serta 10 orang lagi dari unit Pertahanan Awam selain pakar dari pasukan Bulan Sabit Merah. Misi tersebut turut disertai oleh krew media rasmi.

Beliau menjelaskan bahawa pasukan Palestin berlepas menuju ke Maghribi pada petang semalam setelah menyelesaikan semua persiapan dan penyelarasan yang diperlukan. Hal ini bagi memastikan pergerakan dan ketibaan mereka di sana berjalan dengan baik. Difahamkan, mereka akan berada di Maghribi selama sekurang-kurangnya tujuh hari.

 

Related