Pasukan rejim Israel merobohkan sebuah rumah yang masih dalam proses pembinaan milik warga Kampung al-Duyuk al-Tahta yang terletak di barat Ariha, Tebing Barat.
Sumber-sumber tempatan menyatakan bahawa pasukan pendudukan yang memiliki kekuatan dengan lebih daripada 15 kenderaan dan 4 jentolak, menceroboh masuk kampung tersebut seterusnya merobohkan sebuah rumah yang masih dalam pembinaan. Rumah tersebut berkeluasan kira-kira 150 meter persegi, dengan alasan tidak mempunyai permit. Sumber yang sama menambah, pasukan pendudukan turut memberi amaran bakal meruntuhkan empat buah rumah lagi. Rejim tersebut telah mengukur saiz salah sebuah rumah sebagai persediaan untuk memusnahkannya.
Kampung al-Duyuk al-Tahta mengalami serangan berterusan oleh rejim Zionis dalam rangka dasar pengusiran paksa yang bertujuan untuk mengosongkan kawasan itu daripada penduduk asalnya demi kepentingan pembangunan penempatan haram yang lebih meluas.

