Pihak Berkuasa Pemegang Amanah al-Aqsa memberi amaran tentang kerja-kerja penggalian Israel yang bakal membawa kepada keruntuhan sebahagian Masjid al-Aqsa, susulan campur tangan rejim Israel yang mengganggu bahagian asas dan utama masjid.
Anggota suruhanjayanya, Fakhri Abu Diab berkata bahawa kerajaan rejim sedang berusaha melaksanakan rancangan berbahaya yang bertujuan merobohkan Masjid al-Aqsa seterusnya membina kuil yang didakwa mereka. Tambahan lagi, mereka berusaha mengukuhkan kewujudan kuil tersebut di masjid dengan memperkenalkan fakta baru tentangnya di kalangan rakyat.
Di samping itu, mereka turut menghalang aktiviti wakaf Islam di Baitul Maqdis dan al-Aqsa serta berusaha untuk membatalkan hak penjagaan Jordan ke atas masjid yang sama. Malah lebih parah apabila pihak rejim menghalang kerja-kerja baik pulih masjid oleh kaum Muslimin disebabkan kerisauan kerja kotor mereka iaitu penggalian di bawah masjid bakal terdedah.
Dalam pada masa yang sama, pasukan rejim meningkatkan serangan di Baitul Maqdis melalui serangan perobohan dan bertindak melanggar kesucian masjid yang telah berulang kali dikotori semasa pencerobohan penduduk haram dengan pelaksanaan ritual keagamaan mereka di halaman masjid. Sehingga separuh pertama tahun 2023 ini, mereka mengusir kira-kira 877 penduduk dari Masjid al-Aqsa, Kota Lama dan bandar Baitul Maqdis.

