Home Berita Post View

Tahanan di Penjara Israel Menderita Akibat Suhu Terlalu Tinggi!

Jul 26, 2023 07:19 am

 

Pusat Kajian Tahanan Palestin melaporkan bahawa tahanan di penjara rejim Israel, terutamanya yang berada di penjara wilayah selatan negara haram tersebut, berada dalam situasi yang getir berikutan suhu tinggi dan gelombang panas yang melanda wilayah itu.

Pusat yang sama menyatakan, sel-sel tahanan ditutup dari semua arah. Hasilnya, tidak berlaku sebarang pengudaraan di dalamnya. Mereka juga tidak disediakan alat pengudaraan yang sesuai, melainkan beberapa buah kipas di dalamnya yang hanya menghasilkan udara panas. Penderitaan malah bertambah berikutan tahap kelembapan meningkat di samping mereka juga tidak mendapat akses ke lapangan dalam penjara oleh kerana suhu yang terlalu tinggi. 

Riyadh al-Ashqar, Pengarah Pusat Kajian Tahanan Palestin mengeluarkan amaran mengenai kesan buruk yang bakal dialami para tahanan dalam keadaan cuaca seperti ini. Beliau khuatir beberapa tahanan mungkin terkena strok haba atau pengsan serta mengalami kesukaran bernafas disebabkan suhu terlampau tinggi dan udara panas. Beliau turut menekankan bahawa situasi ini juga bakal meningkatkan risiko nyawa tahanan yang sakit, selain meningkatkan penderitaan mereka yang tidak mendapatkan rawatan yang mencukupi. Hal ini kerana mereka sengaja mengabaikan para tahanan yang sakit sebagai usaha membunuh secara perlahan.

Related