Home Artikel Post View

Jika Nelson Mandela Orang Palestin, Adakah Palestin Akan Bebas?

Jul 25, 2023 10:44 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia

It is easy to break and destroy. The heroes are those who make peace and build

Pernyataan di atas membawa maksud sangat mudah untuk melakukan kerosakan dan kemusnahan, tetapi seorang pahlawan atau wira ialah mereka yang menganjurkan kedamaian dan membangunkan semula apa yang perlu dibangunkan. Ini adalah kata-kata Nelson Mandela yang merupakan seorang peguam hak asasi manusia, seorang pendamai antarabangsa dan Presiden Afrika Selatan yang pertama berkulit hitam. 

Dalam mengiktiraf sumbangan beliau kepada keamanan dan kebebasan, Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan 18 Julai sebagai "Hari Antarabangsa Nelson Mandela". Bersempena dengan itu, kita ingin mengupas berkenaan perjuangan Nelson Mandela menentang aparteid di Afrika Selatan.

Tahukah anda perjuangan rakyat Afrika Selatan dalam menentang aparteid telah pun bermula pada tahun 1948 dan ia merupakan tahun yang sama rakyat Palestin menghadapi Nakbah iaitu malapetaka dan secara tidak langsung menjadikan tahun tersebut rakyat Palestin menjadi mangsa aparteid Israel.

Perjuangan penentangan Afrika Selatan terhadap dasar aparteid berakhir pada tahun 1994 selepas Nelson Mandela menjadi Presiden Afrika Selatan. Namun rakyat Palestin masih lagi menderita dengan aparteid Israel. Jadikah apakah yang dimaksudkan dengan aparteid?

APARTEID DAN AFRIKA SELATAN

Aparteid bermaksud penyisihan dalam bahasa Afrikaans. Bahasa Afrikaans adalah bahasa yang dituturkan di Afrika Selatan oleh 60 peratus penduduk kulit putih dan sekitar 90 peratus penduduk yang berwarna kulit sebaliknya. Bahasa ini sangat mirip dengan bahasa Belanda, tetapi sangat sedikit menggunakan fleksi. Di Afrika Selatan, aparteid merujuk kepada pemisahan kaum kulit putih dari kaum bukan kulit putih. Hendrik Frensch Verwoerd iaitu Perdana Menteri Afrika Selatan ke-7, terkenal sebagai arkitek aparteid dan telah melaksanakannya secara berleluasa sewaktu pemerintahannya. Dalam dasar aparteid, kaum bukan kulit putih (terutamanya kaum kulit hitam) dianggap sebagai lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. 

Undang-undang telah disalahgunakan oleh pihak pemerintah kulit putih untuk memastikan kekuasaan atau dominasi mereka ke atas kaum majoriti iaitu kaum kulit hitam. Penyalahgunaan undang-undang tersebutlah antara punca diskriminasi perkauman berlaku secara berleluasa di Afrika Selatan ketika itu. Dasar ini telah dilaksanakan dalam beberapa siri undang-undang perkauman di Afrika Selatan antara tahun 1948 hingga 1991.

Kesan dari pelaksanaan dasar tersebut telah menyebabkan segenap aspek kehidupan diganggu termasuklah larangan perkahwinan antara kulit putih dengan bukan kulit putih, tempat larangan untuk bangsa bukan kulit putih diwujudkan dan pekerjaan yang dikhaskan untuk orang berkulit putih sahaja. Kaum kulit hitam telah dipindahkan secara beramai-ramai ke beberapa buah "negara" yang dipanggil bantustan atau homelands, supaya mereka hilang hak mengundi dan hak kerakyatan yang lain. Bantustan bermaksud tanah air Bantu atau negeri kulit Hitam, di mana ada lebih kurang 10 kawasan yang direka khas oleh pemerintah kulit putih untuk mengasingkan rakyat Afrika kulit hitam . Tindak-tanduk rejim aparteid jelas sekali bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Pada 1950, Akta Pendaftaran Penduduk menghendaki semua penduduk Afrika Selatan untuk diklasifikasikan kepada tiga kumpulan: putih, hitam (orang Afrika), atau berwarna (darah campur). Kumpulan berwarna termasuklah kumpulan India dan Asia. Jabatan Dalam Negeri adalah bertanggungjawab dalam menentukan klasifikasi ini dilaksanakan. Mereka yang menentang undang-undang perkauman akan dikenakan hukuman yang teruk. Semua penduduk kulit hitam diwajibkan membawa passbook, iaitu sejenis kad pengenalan yang mengandungi cap jari, foto dan maklumat lain untuk memasuki kawasan kulit putih. Peristiwa berdarah di Sharpeville pada Mac 1960 adalah disebabkan penentangan warga kulit hitam terhadap undang-undang tersebut. Lebih kurang 69 orang pemberontak terkorban sewaktu rusuhan itu.

Demografi Afrika Selatan yang mempunyai majoriti penduduk kulit hitam namun dari segi politiknya, ia dikuasai oleh rakyat kulit putih yang penduduknya adalah minoriti. Rakyat kulit hitam tidak dapat menentang rejim Afrika Selatan yang diperintah oleh kerajaan kulit putih. 

Mereka memerlukan bantuan dan sokongan daripada negara luar. Belenggu aparteid ini perlu dibebaskan kerana rakyat kulit hitam semakin hari semakin ditindas dan rejim Afrika Selatan bertindak lebih ganas bagi menakutkan rakyat tempatan dan dalam masa yang sama untuk terus mengekalkan dasar aparteid. Sistem aparteid yang mahu dipertahankan oleh rejim Afrika Selatan ialah merupakan satu penghinaan kepada rakyat kulit hitam yang ditindas dan diperlakukan sebagai hamba kepada rakyat kulit putih Afrika Selatan

Jika mahu dibandingkan situasi aparteid di Afrika Selatan dan Palestin, pastinya yang membuatkan ia berbeza adalah penyelesaian dan tindakan dari masyarakat dunia. Ayuh kita lihat bagaimana aparteid di Afrika Selatan berakhir.

 

APARTEID AFRIKA SELATAN SUDAH BERAKHIR?

Penentangan rakyat Afrika Selatan terhadap pelaksanaan dasar aparteid terus bergema. Malah masyarakat antarabangsa juga turut mengecam diskriminasi berdasarkan warna kulit. Salah satu gerakan yang lantang menyuarakan penghapusan dasar aparteid adalah African National Congress (ANC) yang dipimpin oleh Nelson Mandela. Disebabkan perjuangannya, Nelson Mandela pernah dipenjara selama 27 tahun.

Ada beberapa tokoh ANC yang juga berjuang bersama-sama dengan Nelson Mandela iaitu Desmond Tutu yang merupakan Ketua Biskop Afrika Selatan, Mangosuthu Buthelezi yang merupakan seorang ahli parti Inkatha dan Goodwill Zweltini, Raja Zulu yang menginginkan kerajaan autonomi di Afrika Selatan. 

Pada April 1994, atas sokongan yang diberikan oleh badan-badan hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa, Afrika Selatan buat kali pertama telah mengadakan pilihan raya bebas yang pertama. ANC telah memutuskan bahawa Nelson Mandela akan bertanding sebagai calon dan beliau berjaya memenangi pilihan raya tersebut dan dilantik sebagai Presiden Afrika Selatan pertama yang berkulit hitam. 

Menariknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu adalah pemimpin yang memperjuangkan penghapusan dasar aparteid apabila beliau muncul di persidangan Komanwel yang diadakan di Nassau, Bahamas pada tahun 1985 dengan memberi penekanan lebih kepada keengganan Britain untuk bersama Komanwel mengenakan sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan. 

 

PALESTIN DAN APARTEID

Menurut laporan Michael Lynk yang merupakan pemerhati khas PBB, beliau telah menyatakan dalam laporan tentang keadaan di Palestin selepas 1967,

“There is today in the Palestinian territory occupied by Israel since 1967 a deeply discriminatory dual legal and political system, that privileges the 700,000 Israeli Jewish settlers living in the 300 illegal Israeli settlements in East Jerusalem and the West Bank”

Rakyat Palestin telah dinafikan hak mereka selama 74 tahun tanpa pembelaan dari mana-mana badan hak asasi manusia dunia. Mereka telah dipecahkan kepada kawasan tertentu seperti Gaza dan Tebing Barat kemudian Israel membina tembok untuk menutup semua perjalanan keluar masuk rakyat Palestin ke kawasan yang kini dikenali sebagai Israel. Tembok ini menjadikan kawasan seperti Gaza seumpama penjara terbesar di dunia. 

Diskriminasi terancang yang dilakukan oleh rejim penjajah telah mengakibatkan mereka hidup di dalam tekanan. Semua ini dilakukan supaya rakyat Palestin keluar dari tanah air mereka dan para penjajah ini boleh membina penempatan baru untuk menampung kemasukan kaum Yahudi yang berterusan menjarah tanah Palestin. 

Rome Statute 1998 adalah satu undang-undang yang diwartakan selepas kejatuhan aparteid di Afrika Selatan. Ia adalah medium yang absah untuk digunakan sebagai larangan terhadap dasar aparteid kerana ia melanggar nilai kemanusiaan pada hari ini dan pada masa akan datang. 

Pemerintahan ketenteraan yang diamalkan oleh Israel telah melanggar undang-undang ini kerana niat dan tindakan mereka adalah untuk mengurangkan demografi rakyat Palestin serta menuntut untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara Yahudi pertama di dunia. Antara sebab kenapa Israel telah menjalankan dasar aparteid di Palestin adalah:

 

i. Pemindahan secara paksa oleh Israel terhadap rakyat Palestin untuk membina penempatan haram Israel

ii. Menghalang rakyat Palestin untuk pulang ke rumah dan tanah yang pernah mereka miliki sebelum tahun 1948.

iii. Menafikan hak rakyat Palestin untuk bergerak bebas dan mempunyai kediaman.

iv. Penganiayaan terhadap rakyat Palestin disebabkan oleh penentangan mereka terhadap aparteid.  

 

Tidakkah ini perkara yang sama berlaku seperti di Afrika Selatan?

 

Persoalannya, jika Nelson Mandela berasal dari Palestin, apakah beliau mampu membebaskan Palestin dari cengkaman dasar aparteid seperti di Afrika Selatan?

Dengan kehadiran Nelson Mandela, ia mungkin akan memberi harapan kepada kemerdekaan Palestin. Tetapi batu asas kepada keutuhan Palestin sekarang adalah disebabkan rakyatnya yang tidak pernah mengenal erti putus asa, bukan bergantung semangat kepada mana-mana tokoh terkenal seperti Yasser Arafat, Syeikh Ahmad Yassin atau Mahmoud Abbas.  

Analisis pernah dibuat kepada Israel untuk melihat kenapa mereka begitu takut dengan rakyat Palestin. Hasil dapatan analisis tersebut menyatakan bahawa salah satunya adalah kerana semangat rakyat Palestin yang tidak pernah luntur walaupun 74 tahun telah dinafikan segala hak tetapi masih mampu berjuang melebihi mereka yang punya segalanya. 

Palestin dan Baitul Maqdis pastinya akan bebas, jika kita semua mula ambil tahu dan bertindak dengan kemampuan kita tanpa mengira agama dan bangsa.    




 

Related