Home Artikel Post View

2 Persediaan Politik Rasulullah SAW Dalam Usaha Membebaskan Baitul Maqdis

Jun 27, 2023 05:40 am
Kredit kepada pemilik gambar

Nur Sabrina binti Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi

Sebelum ini kita telah menyentuh empat hadis Rasulullah SAW yang menegaskan larangan menziarahi Baitul Maqdis jika tiada keperluan yang mendesak. 

Untuk pengetahuan, tindakan Nabi Muhammad SAW melarang para sahabat untuk menziarahi Baitul Maqdis sebenarnya terkait dengan strategi politik pada ketika itu. Malah, larangan itu juga masih relevan untuk diaplikasikan dalam situasi semasa di Palestin. 

Maka disebabkan itu juga beberapa ulama tersohor telah membentangkan fatwa yang mengharamkan ziarah ke Baitul Maqdis ketika tanah suci itu di bawah jajahan rejim Zionis. Pun begitu, terdapat juga fatwa yang mengharuskan ziarah ke Baitul Maqdis tanpa niat mengiktiraf kedaulatan Israel di Palestin. 

Dua Lagi Usaha Nabi Muhammad SAW: Waqaf & Agenda Hubungan Politik

Selain daripada tidak membenarkan para sahabat untuk menziarahi Masjid al-Aqsa, Nabi Muhammad SAW juga sebenarnya telah melancarkan dua lagi usaha untuk membebaskan Baitul Maqdis yang dijajah tentera Rom Byzantine pada ketika itu.

- Mewujudkan wakaf di Baitul Maqdis

Telah direkodkan bahawa di Palestin terletaknya sebuah tanah yang diwakafkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Tamim ad-Dari dan seluruh keturunannya sehingga kiamat. Sebagai rekod, itulah tanah wakaf pertama dalam sejarah Islam (1) yang akhirnya telah jatuh ke dalam genggaman rejim Zionis. 

Rasulullah SAW mewakafkan sebidang tanah (dikhabarkan ia sangat luas, seluas sebuah wilayah)(2) yang terletak di al-Khalil (Hebron), Beit-Hanun, al-Martum, Beit Ibrahim dan sekitarnya.(3)

Penyerahan amanat itu berlaku selepas Rasulullah SAW pulang dari Tabuk dan telah direkod oleh Ali bin Abi Talib (4) pada secebis kulit kasut miliknya;(5) telah disaksikan oleh Atiq bin Abi Quhafah, Umar al-Khattab, serta Usman bin Affan. 

Tamim ad-Dari sangat popular dalam kalangan perawi hadis kerana merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW yang pertama berbangsa Nasrani memeluk Islam (6). Pada masa yang sama, Tamim ad-Dari berasal dari Bani al-Dar(7) dan telah dibesarkan di Baitul Maqdis, bawah penguasaan Rom Byzantine. 

Disebabkan Rom Byzantine pada masa itu sudah maju dalam menghasilkan cahaya, Tamim ad-Dari tidak ketinggalan memiliki kemahiran dalam menyalakan lampu. Sebaik sahaja bertemu Nabi Muhammad SAW di Madinah dan memeluk Islam pada 9 Hijrah, Tamim ad-Dari merupakan orang Islam pertama yang menghidupkan lampu minyak di dalam masjid (8)

Pun begitu, timbul persoalan – adakah disebabkan Tamim ad-Dari memiliki kemahiran menghidupkan lampu minyak di masjid, Rasulullah SAW memilihnya untuk diwakafkan sebidang tanah yang luas di Palestin?

Nabi Muhammad SAW merupakan satu-satunya nabi dan rasul yang dikurniakan mukjizat untuk melihat dan menyampaikan perihal Islam pada masa akan datang. 

Salah satu kisah yang sangat terkenal dan terikat dengan Tamim ad-Dari telah direkodkan dalam kalangan perawi hadis. Secara tidak langsung, ia telah mengukuhkan lagi sebab Nabi Muhammad SAW mewakafkan sebidang tanah kepada Tamim ad-Dari.

Berdasarkan hadis riwayat Muslim (7496), ketika Rasulullah SAW berkumpul dengan jemaah masjid, baginda telah bersabda bahawa Tamim ad-Dari telah bertemu dengannya dan memeluk Islam. Sesuatu yang menggembirakan Rasulullah SAW pada ketika itu adalah kerana Tamim ad-Dari telah menyampaikan kepadanya tentang seseorang yang pernah disampaikan suatu ketika dahulu iaitu al-Masih Dajjal (9).

Menurut hadis, Tamim ad-Dari dan 30 orang dari Kabilah Lakham dan Judzam telah berjumpa dengan Dajjal setelah pelayaran mereka terkandas di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari.

Dajjal berkata kepada Tamim ad-Dari dan para kenalannya:

“Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh tulis baca), apa sajakah yang sudah ia perbuat?” Mereka menjawab, “Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah).” Lalu ia bertanya, “Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?” Kami menjawab, “Ya.” Ia bertanya, “Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?” Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya. Lalu ia berkata, “Apakah itu semua telah berlaku?” Kami menjawab, “Ya.” 

Ia berkata, “Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal, dan sesungguhnya aku hampir saja yang dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya.”

"Fatimah berkata, "Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar," Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu? "Para Sahabat menjawab," Benar. Baginda SAW bersabda,"Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur.” – Riwayat Muslim (7496) (10).

Disebabkan Rasulullah SAW sudah ada visi kemerdekaan Baitul Maqdis (yang mana telah berlaku pada zaman Khulafa ar-Rasyidin ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab), maka diwakafkan kepada Tamim ad-Dari dengan harapan ia mampu menjadi tunjang kepada kemajuan Baitul Maqdis (Palestin).

Pada masa yang sama, tujuan Rasulullah SAW mewakafkan tanah tersebut kepada salah seorang sahabat Baginda sudah jelas menunjukkan bahawa Baginda menegaskan tanah Palestin perlu dilindungi dari sebarang jajahan asing kerana ada harta yang dijanjikan atas nama Allah SWT di dalamnya.

Bagaimanapun, menurut Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi; presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah pun menjual sebahagian tanah wakaf itu kepada delegasi Rusia pada awal Januari 2017 (11)

Walhal, sejak zaman Rasulullah SAW sehingga era pemerintahan British, sebelum dijajah rejim Zionis, tiada satu kuasa pun yang berani merampas tanah wakaf tersebut. Inilah kesan terburuk bagi seluruh umat Islam yang berpunca daripada kedangkalan ilmu, tanah itu bebas dijadikan alat permainan politik demi melindungi kepentingan peribadi seorang pemimpin. 

- Mewujudkan Hubungan Politik

Islam menitikberatkan adab walaupun berdepan dengan musuh, selagi mana mereka tidak membuat kekejaman ke atas setiap Muslim seperti mengeluarkan seseorang itu dari agama atau mengusir seseorang itu dari kampung halaman (12). Malah, sikap beradab terhadap musuh boleh dilihat pada peribadi Rasulullah SAW sehingga yang paling jahat menentang baginda pun mengakui keluhurannya (13).

Adab ini juga telah ditegaskan di dalam surah al-Israa’, ayat 53:

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Secara tidak langsung, adab yang ditekankan ini juga sebenarnya mencerminkan satu kewajipan Rasulullah SAW sebelum memerangi musuh iaitu mengajak mereka memeluk Islam. Menariknya, strategi dakwah melalui ajakan bertulis (surat) sebenarnya satu corak ke arah unsur politik kerana apabila pemerintah menerima Islam, maka mudahlah bagi rakyatnya untuk turut menerima agama Islam (14)

Inilah yang menjadi sandaran Nabi Muhammad SAW sebelum memulakan langkah memerdekakan Baitul Maqdis. Baginda telah mengajak pemerintah Rom, Heraklius  yang berkuasa di Baitul Maqdis untuk memasuki Islam melalui surat yang dikirimkan melalui Dihyah bin Khalifah (15).

Dek kerana keluhuran peribadi Nabi Muhammad SAW yang boleh dirasai Heraklius pada masa itu, surat baginda langsung tidak menerima nasib yang sama, dikoyak-koyak seperti surat-surat yang pernah dikirimkan oleh para nabi sebelumnya. Malah, Heraklius  teruja untuk mengenali Nabi Muhammad SAW sehingga meminta seorang pedagang, Abu Sufyan yang pada masa itu di Gaza (16) untuk datang ke Baitul Maqdis dan ceritakan perihal baginda.

Menurut Abu Sufyan, Nabi Muhammad SAW seorang lelaki yang berkata benar dan amanah. Tetapi pujian itu dicela Heraklius  kerana pemerintah itu beranggapan Abu Sufyan menipu. Ekoran daripada itu Abu Sufyan bersumpah jika dia menipu, dia akan dicela sehingga kiamat (17).

Namun, apa yang berlaku? Telah direkodkan bahawa Heraklius  hampir memeluk Islam (18), tetapi disebabkan desakan rakyatnya dan ketamakan untuk mengekalkan takhta, pemerintah Rom itu membatalkan niat murninya. 

Ironinya daripada peristiwa itu, Heraklius  memperakui kenabian Baginda Rasulullah SAW berdasarkan nilai murni yang dinyatakan Abu Sufyan kepadanya. Berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Abbas sahih al-Bukhari (2681) yang bermaksud:

Abu Sufyan told me that Heraclius  said to him, “When I inquired from you what he (Muhammad) ordered you, you replied that he ordered you to establish the prayer, to speak the truth, to be chaste, to keep promises and to pay back trusts.” Then Heraclius added, “These are really the qualities of a prophet.”

Heraklius bukanlah satu-satunya pemerintah yang menerima surat dakwah daripada Rasulullah SAW. 

Dikatakan seramai lima orang raja (termasuk Heraklius ) telah menerima utusan daripada Rasulullah SAW dan mereka adalah Habasyah Najasyi (Raja Ethiopia), Munzir ibn Sawa al-Tamimi (Gabenor Bahrain), al-Muqauqis (Pemerintah Mesir) dan Kisra Abrawaiz (Raja Parsi) (19).

Jika menilai semula keseluruhan utusan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bukan sekadar ajakan untuk memeluk Islam sebalik ia merupakan sebahagian daripada agenda mewujudkan hubungan politik dengan negara-negara tersebut. 

Begitu juga dengan mewujudkan waqaf di Baitul Maqdis. 

Secara logiknya, kewujudan waqaf pada masa kini berpotensi tinggi untuk dipandang enteng kerana kedangkalan ilmu. Hakikatnya mesej yang cuba disampaikan oleh Rasulullah SAW pada ketika itu melalui pemberian tanah kepada Tamim ad-Dari sebenarnya terkait dengan ikatan roh dan jiwa para sahabat serta seluruh umat Islam untuk terus berjuang memerdekakan Baitul Maqdis selagi mana ia dijajah kuasa asing. 

Apa Lagi Yang Tinggal?

Satu persatu Israel merampas hak milik Islam. Sudahlah tanah wakaf yang diamanahkan Rasulullah SAW kepada Tamim ad-Dari berpindah milik kerana kepentingan seorang pemimpin, kini Masjid al-Aqsa pula menjadi satu perjudian rejim Zionis kerana kononnya mahu menuntut keadilan bangsa Yahudi. 

Menyedari apa yang telah direkodkan dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW sejak awal lagi sudah meninggalkan model atau rujukan yang boleh diaplikasikan sepanjang zaman.

Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW tidak menggalakkan para sahabat untuk menziarahi Baitul Maqdis ketika di bawah jajahan asing. Rupanya ia terkait dengan keselamatan, begitu juga pengiktirafan kedaulatan rejim Zionis.

Boleh saja usaha pembebasan tanah suci Baitul Maqdis bermula dengan kesedaran ilmu melalui hubungan politik yang dibina dalam kalangan negara-negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Morocco, Sudan, dan Bahrain.

Melalui ikatan politik dengan negara-negara tersebut, tidak mustahil kemenangan adalah milik Palestin.

 

RUJUKAN

1. Perkongsian media sosial Aqsa Syarif (Facebook). Dipetik daripada https://www.facebook.com/aqsa.syarif/photos/tahukah-andainilah-tanah-wakaf-yg-pertama-dlm-islam-dianugerahkan-kpd-rasululull/568082719882067

2. Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. (2022). Pelan Strategik Rasulullah SAW. Baitul Maqdis Studies Intensive Camp For Trainers (BASIC)

3. Perkongsian media sosial Aqsa Syarif (Facebook). Dipetik daripada https://www.facebook.com/aqsa.syarif/photos/tahukah-andainilah-tanah-wakaf-yg-pertama-dlm-islam-dianugerahkan-kpd-rasululull/568082719882067

4. Perkongsian media sosial Aqsa Syarif (Facebook). Dipetik daripada https://www.facebook.com/aqsa.syarif/photos/tahukah-andainilah-tanah-wakaf-yg-pertama-dlm-islam-dianugerahkan-kpd-rasululull/568082719882067

5. Hikayat Hamim al-Dari, A Malay Tale from The Time of The Prophet Muhammad, ms.97

6. Cook, D. (n.d.). Tamim al-Dari. Hebrew University of Jerusalem. Dipetik daripada https://scholarship.rice.edu/bitstream/handle/1911/70551/Tamim-al-Dari.pdf?sequence=3&isAllowed=y

7. Tamim ad-Dari. Dipetik daripada http://p2k.unkris.ac.id/id3/1-3065-2962/Tamim-Ad-Dari_109243_stie-thamrin_p2k-unkris.html

8. Hikayat Hamim al-Dari, A Malay Tale from The Time of The Prophet Muhammad, ms.97

9. Bayan Linnas Siri ke-161: Dajjal: Hakikat dan Tanda Akhir Zaman. Dipetik daripada https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2989-bayan-linnas-siri-ke-161-dajjal-hakikat-dan-tanda-akhir-zaman

10. Bayan Linnas Siri ke-161: Dajjal: Hakikat dan Tanda Akhir Zaman. Dipetik daripada https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2989-bayan-linnas-siri-ke-161-dajjal-hakikat-dan-tanda-akhir-zaman

11. al-Takhtit al-Istratijiyyah li al-Tahrir al-Qadim li Masjid al-Aqsa al-Mubarak, (ms. 371)

12. Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. (2022). Pelan Strategik Rasulullah SAW. Baitul Maqdis Studies Intensive Camp For Trainers (BASIC)

13. Akhlak Luhur Rasulullah Turut Diperakui Musuh. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/11/216514/akhlak-luhur-rasulullah-turut-diperakui-musuh

14. Muhamat, R. (Jun 2014). Pelaksanaan Dakwah dan Politik Islam Zaman Rasulullah. 

15. Muhamat, R. (2022). Pelaksanaan Dakwah dan Politik Islam Zaman Rasulullah. 

16. Omar Abdl-Haleem. (2015). The Hadith of Heraclius|Part 1| Abu Sufyan Enters the Roman Court. Dipetik daripada https://aljumuah.com/the-hadith-of-heraclius-part-1-abu-sufyan-enters-the-roman-court/

17. Haredy, M. (2020). A Dialogue Between Abu Sufyan and Heraclius. Dipetik daripada https://www.the-faith.com/prophet-muhammad/prophet-legacy/a-dialogue-between-abu-sufyan-and-heraclius/

18. Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. (2022). Pelan Strategik Rasulullah SAW. Baitul Maqdis Studies Intensive Camp For Trainers (BASIC)

19. 5 Surat Nabi Muhammad SAW Kepada Raja-Raja Kerajaan Purba. Dipetik daripada https://iluminasi.com/bm/surat-nabi-muhammad-s-a-w-kepada-raja-raja-kerajaan-purba.html

 





 

Related