Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan, rejim Israel telah merobohkan dan menyita sebanyak 42 buah bangunan milik penduduk Palestin di Baitul Maqdis dan Kawasan C, Tebing Barat dua minggu lalu. Tindakan tersebut dilancarkan dengan alasan bangunan tersebut tidak mempunyai permit.
OCHA turut menjelaskan dalam laporan berkala pemantauan berkenaan serangan yang dilancarkan Israel pada 2 hingga 15 Mei baru-baru ini, serangan yang berlaku telah mengakibatkan seramai 50 orang penduduk awam termasuk 23 kanak-kanak berpindah daripada tempat tinggal mereka. Selain itu, lebih 600 penduduk awam kehilangan mata pencarian.
OCHA memaklumkan bahawa sembilan daripada bangunan yang dirobohkan merupakan pemberian bantuan kemanusiaan termasuk sebuah sekolah. Kebanyakan bangunan di Kawasan C separa musnah dan rejim Israel telah merobohkan 16 buah kediaman di Baitul Maqdis. Tujuh bangunan yang lain telah dirobohkan sendiri oleh pemiliknya bagi mengelakkan pembayaran denda kepada rejim Israel. Manakala 57 buah sekolah di Tebing Barat berisiko untuk dirobohkan.

