12 orang penduduk Palestin mengalami kecederaan akibat ditembak tentera Israel, manakala puluhan yang lain sesak nafas. Kejadian berlaku selepas tentera Israel menceroboh kejiranan al-Qaryoun di Kota Lama Nablus. Mereka turut bertindak mengepung sebuah rumah milik penduduk sebelum dua warga penduduk ditahan.
Pengarah ambulans dan kecemasan Bulan Sabit Merah di Nablus, Ahmed Jibril berkata, 12 orang awam mengalami kecederaan akibat ditembak peluru hidup, termasuk seorang kanak-kanak berusia 14 tahun yang ditembak di bahagian dada. Manakala 75 yang lain mengalami sesak nafas semasa serbuan berlaku.
Sumber tempatan melaporkan, bahawa pasukan Israel mengepung sebuah rumah di kejiranan al-Qaryoun yang terletak di Kota Lama, serta menahan seorang pemuda dari kejiranan itu. Kejadian yang sama turut berlaku di al-Makhfiyya, di mana seorang pemuda ditahan selepas mereka menceroboh dan menggeledah rumahnya.
Pasukan besar Israel menceroboh bandar dari beberapa arah sebelum tercetusnya rusuhan di Kota Lama. Rejim bertindak melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah warga penduduk menggunakan pesawat drone.

