Pemimpin Tertinggi Shin Bet Israel, Ronen Bar telah mengeluarkan amaran keras kepada Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir bahawa tindakannya bakal mengakibatkan rusuhan ketenteraan di rantau itu.
Media Israel, Saluran 13 melaporkan bahawa Ronen Bar telah menghubungi Ben-Gvir baru-baru ini. Beliau menjelaskan bahawa tindakan dan kenyataan Ben-Gvir yang bersifat kontroversi bakal menyebabkan rusuhan ketenteraan di rantau itu.
Ronen Bar turut menegaskan kepada Ben-Gvir supaya mengawal dan menenangkan situasi yang berlaku di Baitul Maqdis, terutamanya operasi yang dijalankan oleh pihak polis dan tindakan merobohkan rumah penduduk Palestin di kawasan itu. Katanya lagi, tindakan Ben-Gvir akan menyebabkan keselamatan di seluruh tempat di Palestin akan tergugat.
Saluran 13 turut mendedahkan bahawa Ben-Gvir sudah maklum dengan amaran tersebut dan menyatakan bahawa pihaknya akan cuba untuk patuh. Bagaimanapun Ben-Gvir memberitahu bahawa tiada jaminan terhadap keselamatan ke atas tentera Israel jika perkara itu diteruskan.

