Home Artikel Post View

Mengintai Sisi Palestin Sebelum Kedatangan Kuasa British

Feb 03, 2023 06:45 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Research and Advocacy Executive 

Media massa acapkali memaparkan sisi hodoh Palestin yang sudah 75 tahun menjadi mangsa pencerobohan rejim Zionis. 

Malah, sukar untuk dinafikan bahawa apa yang dipaparkan media berjaya menyimpulkan Palestin seakan tidak hidup walaupun ia sebenarnya masih ‘bernafas’ bersandarkan kepada ekonomi sederhana utuh dan keharmonian budaya yang tidak pudar. 

Jika melihat kembali kepada sejarah Palestin, negara ini bukanlah sekadar tanah yang menjadi rebutan Yahudi-Israel tetapi juga menyimpan pelbagai sejarah Islam dan agama lain seperti Yahudi dan Kristian. 

Misalnya ketika orang Islam melihat Baitul Maqdis sebagai tempat berlakunya Israk Mikraj, selain menjadi kiblat pertama sebelum Kaabah, penganut Kristian pula percaya di situlah berlakunya kematian Jesus sebelum dibangkitkan semula. Manakala Yahudi pula pentingkan kesucian Bukit Sion di Baitul Maqdis.

Maka tidak hairanlah jika Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi menyimpulkan Baitul Maqdis sebagai tempat yang terpenting bagi tiga agama samawi.

Inilah Palestin Sebelum ‘Dilanggar’ British

Allah SWT berkali-kali menekankan keberkatan bumi Palestin di dalam kalam-Nya. Tahukah anda bahawa satu pertiga surah Makkiyah (surah-surah yang diturunkan di Mekah) menyebut tentang Baitul Maqdis baik secara eksplisit dan implisit? Salah satu daripadanya dibuktikan melalui ayat pertama Surah al-Israa’:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam ke Masjid al-Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimanapun, tahukah kalian bahawa Palestin yang kita kenali pada hari ini jauh sekali berbeza dengan keadaan asalnya sebelum Deklarasi Balfour dimeterai pada tahun 1917? 

Deklarasi Balfour adalah bukti kepada kejayaan British merampas Palestin dari Empayar Uthmaniyah, kononnya ia juga menjadi jaminan kepada bangsa Yahudi bahawa tanah yang dijanjikan itu kembali menjadi milik mereka. 

Asal Usul ‘Palestin’ dan Geografinya

Sejarah menukilkan bahawa nama Palestin bermula daripada perkataan Arab - فلسطين, Filastin dan nama ini telah dikenal pasti seawal Zaman Gangsa pada 3,200 tahun yang lalu, sekitar 450 SM sehingga 1948 Masihi. 

Palestin pada ketika itu merujuk kepada sebuah kawasan yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan. 

Bagaimanapun, sehingga penghujung Zaman Gangsa, nama Palestin juga digunakan untuk merujuk kepada beberapa kawasan seperti Djahi, Retenu, dan Kana’an. 

Kepentingan kawasan bernama Filastin ini juga boleh dilihat apabila ia terkait dengan penubuhan kawasan pemerintahan dan ketenteraan yang dinamakan sebagai Jund Filastin (جُنْد فِلَسْطِيْن). Kawasan ini pula dikatakan terletak di dalam sebuah wilayah luas yang dikenali sebagai Bilad al-Sham. 

Berdasarkan peta terkini, Bilad al-Syam telah dipecahkan kepada beberapa buah negara iaitu Syria, Palestin, Lubnan, Jordan, dan selatan Türkiye.

Menariknya pada era pemerintah Bani Umayyah, Bilad al-Syam pernah berada di bawah kawalan seorang ketua, Sulaiman ibn Abd al-Malik yang kemudiannya dipilih sebagai khalifah pada 715 Masihi.

Filastin juga disifatkan sebagai satu komponen penting berbanding negara-negara sekitarnya berdasarkan kenyataan daripada Nur Masalha menerusi bukunya, Palestine: A Four Thousand Year History;

“However, of all the neighbouring contries, Palestine’s historic links with al-Sham under Islam were the closest and most enduring.”

“The term Filastin was viewed as a component of the wider region of al-Sham.”

Walaupun sejumlah pakar sejarawan menolak kewujudan Palestin sebagai satu unit pentadbiran rasmi, sukar untuk menafikan kewujudan negara itu di antara Mesir dan al-Syam sebenarnya membawa satu impak penting dari aspek sejarah, seni dan budayanya. 

Terutama selepas British memperkenalkan Mandat Palestin pada 1920 dan dilaksanakan pada 1923, Palestin yang luas dan gah suatu ketika dahulu semakin kecil dan bertambah sempit apabila bangsa Yahudi semakin memenuhi tanah suci itu!

Hasilnya, pertumbuhan populasi bangsa Yahudi sebelum Mandat British yang cuma 6% telah berkembang kepada 33% pada 1947.

Data tersebut juga disokong oleh rekod pihak British yang menunjukkan jumlah penduduk Yahudi mencapai jumlah 401,600 orang pada 1938 berbanding angka minima yang dicatatkan pada tahun 1919 iaitu seramai 58,000 orang.

Evolusi Sistem Pentadbiran di Palestin

Sebenarnya sebelum kedatangan kuasa British, Palestin berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Boleh dikatakan Empayar Turki Uthmaniyah merupakan kuasa Islam paling lama dan berjaya memerintah Palestin sehingga lebih 400 tahun bermula tahun 1516 sehingga 1917.

Namun jika menelusuri kembali sejarah, pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab yang berjaya membawa agama Islam di tanah suci itu melalui pembukaan kali pertama Baitul Maqdis daripada cengkaman Empayar Rom yang dipimpin Theodore the Sacellarius dan Baanes. Pembukaan kali pertama itu digerakkan oleh tentera Islam, dipimpin Khalid Ibn al-Walid pada 636 Masihi .

Kemudian, wujud pula Empayar Umayyah yang membangunkan Palestin. Tahun yang direkod pada ketika itu ialah sekitar 637 dan 638 Masihi.

Usaha Empayar Umayyah yang mahu memajukan Palestin dan negara-negara sekitarnya boleh dilihat apabila mereka mewujudkan Jund Filastin di dalam sebuah negara besar, dikenali sebagai Bilad al-Syam.

Terma jund sebenarnya merujuk kepada sebuah wilayah yang terletak di dalam Bilad al-Sham. Tidak hanya Jund Filastin, Empayar Umayyah juga memperkenalkan Jund al-Urdun, Jund Dimashq, Jund Hims dan Jund Qinnasrin. Sekumpulan jund ini pula dirujuk sebagai ajnad dan setiap satu jund diperintah oleh gabenor Arab yang digelar amir.

Misalnya pada masa kini kita boleh lihat Jund Filastin merangkumi Palaestina Prima (atau Palaestina I) dan Palaestina Tertia (atau Palaestina Salutaris) yang merujuk kepada beberapa kawasan termasuk Syria, Palestin/Israel, Lubnan, Jordan dan selatan Türkiye. 

Manakala beberapa jund yang lain pula merangkumi:

Jund al-Urdun: selatan Gunung Lubnan, Galilee (terletak di Palestin yang sudah dijajah Israel), selatan Hauran, Golan, dan kebanyakan timur Lembah Jordan.

Jund Dimashq: merangkumi kawasan Lubnan dan beberapa kawasan timur Sungai Jordan yang dikenali sebagai wilayah al-Balqa.

Jund Hims: melibatkan beberapa kawasan besar di utara Damsyik seperti Salamiyah, Palmyra, Kafartab, Bulunyas dan Khawabi.

Jund Qinnasrin: merangkumi kawasan daerah ketenteraan di utara Syria.

Menariknya di sini, dua ajnad iaitu Jund Dimashq dan Jund Filastin memainkan peranan penting kepada keseluruhan empayar. Ini juga bermakna Palestin berada dalam kawalan ketat oleh pemerintah Umayyah, begitu juga Syria. 

Kewujudan sistem pentadbiran yang bersandarkan kepada jund dan ajnad ini sebenarnya diinspirasikan oleh kerajaan Byzantine. Ketika Byzantine menguasai seluruh Palestin, mereka telah mewujudkan tiga wilayah yang berbeza: Palaestina Prima, Palaestina Secunda dan Palaestina Tertia. 

Di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah, sistem pentadbiran di Palestin lebih ketara disusun selepas pengunduran tentera Muhammad Ali Pasha, pengasas monarki Mesir pada hujung 1840.

Kerajaan Empayar Uthmaniyah yang dikenali sebagai Sublime Porte telah menyatukan Sanjaq Baitul Maqdis dengan Sanjaq Jaffa-Gaza bagi tujuan mewujudkan satu daerah baharu yang dinamakan Baitul Maqdis. Pada masa yang sama, ia kekal menjadi sebahagian daripada wilayah Damsyik (bahasa Arab: Dimashq).

Berdasarkan keluasan Baitul Maqdis yang mengatasi keluasan daerah dan negara lain, tanah suci itu secara tidak langsung menjadi pusat pentadbiran utama di selatan Syria. Di sinilah bermulanya kebangkitan Baitul Maqdis sebagai salah satu negara Islam yang gah dalam kalangan negara-negara Syam.

Sehingga Julai 1872, seorang wazir (ketua menteri) yang bernama Midhat Pasha mengisytiharkan Sanjaq Baitul Maqdis sebagai wilayah berstatus bebas. Ini bermakna Kementerian Dalam Negeri Kerajaan Uthmaniyah tiada hak untuk mengawal Sanjaq Baitul Maqdis bermula 1874 sehingga meletusnya Perang Dunia I. 

Jika melihat peta keluasan Sanjaq Baitul Maqdis, kawasan ini bersempadan dengan utara Sanjaq Nablus dan barat Laut Mediterranean. Sempadan timurnya pula boleh dikenal pasti bermula dari utara Jericho melalui Laut Mati sehingga Teluk Aqaba.

Bagaimanapun, perjanjian antara Empayar Uthmaniyah dengan kuasa British pada 1906 telah menetapkan sempadan barat daya antara Sanjaq Baitul Maqdis dan Mesir sebagai garis antara Rafah di utara dan titik pusat di antara Aqabah dan Taba di Teluk Aqabah. 

Onar Pertama British di Palestin

Siapa sangka kedatangan kuasa British membawa Perjanjian Sykes-Picot pada 1916 telah menyebabkan wilayah Bilad al-Syam terbahagi kepada dua bahagian yang dinamakan sebagai A dan B. Sebagai rekod, perjanjian tersebut melibatkan pihak British dan Perancis. 

Melalui isi kandungan Perjanjian Sykes-Picot, kawasan A merangkumi bahagian Syria utara – Lubnan; sekitar perairan Syria dan kawasan berdekatan sempadan milik Rusia; Adana; Cilicia – dan diletakkan di bawah pemerintahan Perancis.

Manakala bahagian Syria selatan pula – selatan Mesopotamia; Baghdad; beberapa kawasan Laut Mediterranean seperti Akka dan Haifa – menjadi milik kuasa British. 

Pada masa yang sama, Palestin diletakkan di bawah rejim antarabangsa sebagai sebuah kawasan suci milik tiga agama samawi iaitu Kristian, Yahudi, dan Islam. 

Bagaimanapun, dalam sebuah perkongsian daripada Marina Ottaway pada 2015 ada menekankan bahawa British telah mencabul perjanjian tersebut dengan menyerang Damsyik. Pencerobohan mereka telah mendorong penghapusan pengaruh Empayar Uthmaniyah. Perkara yang sama dilakukan British di Palestin walaupun sudah ditetapkan bumi suci itu di bawah pentadbiran antarabangsa.

Keadaan semakin gawat apabila campur tangan kolonial Barat mengundang kepada perubahan rundingan damai. Situasi semakin memuncak apabila pegawai tinggi British, Sir Henry McMahon mengusulkan cadangan kepada pemimpin Mekah, Sharif Hussein untuk menentang pemerintahan Uthmaniyah. 

British telah menjanjikan sokongan terhadap pembebasan orang-orang Arab di seluruh wilayah yang ditetapkan Sharif Hussein, termasuk Palestin. 

Ironinya, Deklarasi Balfour yang diusulkan pihak British pada 1917 menafikan kemerdekaan orang Arab di Palestin. 

Kerana pihak British menawarkan tanah itu kepada bangsa Yahudi setelah mereka membuat permohonan kepada Setiausaha Luar Britain, Lord Arthur James Balfour.

Siapa sangka tawaran itu menyamai dengan cadangan pengasas ideologi dan gerakan Zionis, Theodor Herzl untuk mewujudkan negara Yahudi Palestin!

Tawaran British dan cadangan Theodor Herzl itu juga sebenarnya sejajar dengan apa yang tercatat di dalam kitab mereka bahawa Palestin merupakan tanah yang dijanjikan: 

Musa berkata kepada orang Israel, “Tuhan akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu.” - (Exodus, 13:11).

Ayat 21 dalam surah al-Maidahjuga telah dijadikan alasan untuk mereka lebih agresif mendapatkan Palestin:

(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.

Apakah mereka lupa bahawa mereka sendiri yang ingkar dengan perintah Tuhan sehingga dicela dan sesat selama 40 tahun lamanya?

Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir Sinai; maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu. - (al-Maidah, 5:26) 

Impak Agresif British Kekal Sehingga Hari Ini

Perang Dunia I berakhir pada 1918 dengan kekalahan Empayar Uthmaniyah di Palestin. Secara tidak langsung Palestin berada dalam genggaman kuasa British bermula pada tahun yang sama.

Kemenangan itu mendorong cadangan pembahagian negara-negara Sham kepada keluasan dan nama baharu melalui Mandat British yang diusulkan pada 1920. 

Mandat British diluluskan pada 1923 dan tidak dinafikan memberi impak terhadap sejarah dunia sehingga ke hari ini. Negara-negara Sham diletakkan di bawah pentadbiran British dan Perancis. Mereka dinamakan dengan nama Syria, Lubnan, Iraq, Transjordan (kini: Jordan) dan Palestin.

Apabila negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, ini menandakan pengakhiran kepada Mandat British yang dikuatkuasakan selama 25 tahun. Direkodkan sepanjang penguatkuasaan Mandat British, rejim Zionis mendesak British untuk menunaikan janji mereka, iaitu mewujudkan negara Yahudi.

Namun, kemenangan tentera Israel dalam peristiwa an-Nakbah bukan sahaja menjadi detik hitam kuasa British sehingga dikatakan Queen Elizabeth ‘merajuk’ kerana pemerintahan British dihalau keluar dari Israel, tetapi juga menyebabkan trauma kepada seluruh rakyat Palestin.

Manakan tidak, kira-kira 750,000 rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian bukan sahaja di negara luar, malah di dalam negara sendiri. Tidak cukup dengan itu, Zionis-Yahudi juga melaksanakan operasi penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Sejarah yang telah direkodkan ini begitu kontra dengan kenyataan daripada Baskin, G (2022): 

“Israelis refuse to take any responsibility for the animosity of Palestinians toward Israelis or towards Jews. Many Israelis make this claim because Palestinians have been killing Jews since way before 1967.”

Maka, adakah wajar untuk mengatakan penduduk Palestin mengamalkan keganasan terhadap Yahudi-Israel sedangkan mereka sekadar mempertahankan tanah yang dirampas rejim Zionis? 

Pencerobohan Yahudi-Israel ke tanah Palestin juga pun terkait rapat dengan sentimen anti-semitik yang dipelopori oleh rejim Nazi melalui insiden Holocaust.

Kemasukan warga Yahudi beramai-ramai ke Palestin sehingga ke hari ini sudah cukup untuk menjadi penilaian bahawa mereka ini mencari perlindungan di bawah naungan Zionis kerana ketakutan dan lari daripada isu-isu yang menyelubungi negara asal mereka. 

Alangkah dangkalnya ilmu seseorang itu jika mereka menyetujui setiap tindak tanduk Yahudi-Israel ke atas Palestin kerana satu pertiga surah-surah Makkiyah telah membuktikan kepentingan Baitul Maqdis untuk seluruh umat Islam dan semestinya sejarah penindasan Israel ke atas rakyat Palestin juga tidak menipu. 

Semoga suatu hari nanti, seluruh dunia terbuka mata dan minda bahawa isu Palestin perlu dicakna secara serius. Ia bukan isu penduduk Palestin semata-mata tetapi merangkumi isu seluruh umat Islam dan pada skop yang lebih besar, sudah tentu ia merupakan isu kemanusiaan global. Di sinilah titik tolak untuk kita menilai sejauh mana empati serta simpati seseorang diukur.

Related