Pihak pentadbiran penjara Israel memaklumkan bahawa seorang tahanan, Maher Younis akan dipindahkan dari penjara padang pasir Negev ke sel tahanan lain bagi proses siasatan. Tindakan jahat ini sengaja dilakukan bagi melambatkan proses pembebasan Maher Younis yang dijangka akan berlaku dua hari lagi.
Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan mengesahkan bahawa sebelum beberapa jam beliau dibebaskan, pentadbiran penjara Israel telah memindahkan Maher Younis ke suatu tempat yang tidak diketahui. Keputusan ini dibuat dua hari sebelum Maher dibebaskan setelah menghabiskan 40 tahun di dalam penjara penjajah. Tindakan pihak Israel ini dikatakan satu bentuk tekanan kepadanya untuk menghalang sambutan terhadap pembebasannya.
Pada masa yang sama, polis Israel turut mengumumkan bahawa mereka bersiap sedia bagi menghalang sebarang sambutan dilakukan terhadap pembebasan tahanan, Maher Younis. Mereka memberi amaran kerana menyifatkan perayaan penduduk Palestin itu sebagai tindakan pengganas.

