Home Artikel Post View

Musim Sejuk Neraka Untuk Mereka, Ini Fakta Yang Berlaku Perlu Anda Tahu

Nov 03, 2022 06:18 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi

Malaysia tidak pernah berdepan dengan cuaca sejuk, apatah lagi musim salji.

Tetapi sepanjang musim hujan, suhu di bawah 28˚C pun sudah cukup buat kita berfikir dua tiga kali untuk mandi kecuali pada hari-hari aktif yang mengeluarkan peluh. 

Berbeza pula mereka yang berada di negara-negara Afrika Utara seperti Algeria, Mesir, Morocco, Sudan, Tunisia, Sahara Barat; dan Palestin yang merangkumi Gaza, Tebing Barat; serta Lubnan kerana kesejukan yang mereka lalui sepanjang musim sejuk adalah tahap melampau!

Misalnya di Palestin – yang memiliki iklim Mediterranean – ketika musim panas, negara ini boleh menjadi sangat kering dan pada musim sejuk pula, suhunya sangat mencengkam seluruh tubuh penduduknya tidak kira siang atau malam. Data menunjukkan suhu tertinggi di Palestin ketika musim sejuk cuma 15˚C dan paling rendah pada waktu malam boleh mencecah 5˚C sehingga 0˚C. 

Lebih membimbangkan, pengkaji cuaca meramalkan suhu musim sejuk pada 2022 di negara-negara tersebut dijangka menurun sehingga -14˚C dan lebih rendah.

Musim sejuk & kelangsungan hidup

Walaupun ada sesetengah negara yang tidak pernah mengalami musim sejuk beranggapan musim itu adalah sebuah rahmat, tetapi tidak untuk mereka yang menganggapnya sebagai neraka dunia. Ramai antara kita yang tidak sedar ketika musim sejuklah ada yang berdepan dengan pelbagai kesukaran; masalah kesihatan dan pendapatan harian yang terjejas dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup. 

Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), seramai 2.1 juta penduduk di Palestin memerlukan bantuan musim sejuk 2022 yang merangkumi pelbagai aspek iaitu perlindungan, kesihatan, kebersihan, makanan, dan pembelajaran. 

Bagaimanapun, angka tersebut majoritinya datang dari Tebing Barat dan Gaza dengan masing-masing mencatatkan angka 21% (0.75 juta) dan 63% (1.3 juta) penduduk yang memerlukan. Ini merupakan angka yang membimbangkan sebagai persediaan menempuh musim sejuk 2022.

Kesihatan

Secara umumnya apabila menyebut perihal cuaca, kesihatan menjadi tumpuan utama berbanding hal-hal lain kerana ia melibatkan nyawa dan kesannya memberi impak terhadap jumlah populasi penduduk di sesebuah tempat. 

Begitu juga di Palestin dan beberapa tempat lain seperti Lubnan dan Syria yang menjadi fokus kita.

Jika dirincikan masalah kesihatan yang akan dihadapi mereka sepanjang musim sejuk, fakta ini wajar diambil perhatian:

Kerosakan paru-paru

a) Berpunca daripada udara sejuk yang memasuki ke ruang pernafasan bagi tujuan pertukaran oksigen kepada karbon monoksida

b) Proses tersebut menyebabkan kelembapan pada paru-paru mengering dan memedih kerana udara yang terlampau sejuk

c) Dalam pendedahan yang berpanjangan, organ ini boleh rosak dalam tempoh hanya 15-30 minit

d) Sesiapa sahaja boleh terkesan, terutama bayi yang baru lahir

Frostbite atau radang dingin

a) Masalah ini – kerosakan atau pembekuan beberapa anggota selepas kulit terdedah pada suhu sejuk – acapkali berlaku di bawah suhu 15˚C dan ke bawah

b) Melibatkan beberapa anggota badan seperti jari tangan atau kaki, hidung, telinga, pipi dan dagu. 

c) Anggota yang terjejas biasanya akan menjadi putih kebiru-biruan sebelum pesakit tidak lagi memiliki sebarang rasa – sakit, sejuk dan tidak selesa. Malah, sakit sendi dan otot juga hilang kerana fungsi anggota sudah lumpuh. Jika tidak diberi atau tersalah memberi rawatan, anggota yang terjejas akan menjadi hitam. 

d) Seseorang itu difahamkan mengambil masa paling lama 6 bulan dan 10 hari paling cepat untuk pulih

Hypothermia

a) Keadaan suhu badan seseorang yang turun mendadak di bawah 35˚C akibat suhu yang terlampau sejuk dan akhirnya menyebabkan kegagalan fungsi jantung untuk mengepam darah

b) Tubuh badan berisiko gagal menghasilkan haba untuk menggantikan haba yang telah keluar jika seseorang itu berada di dalam suhu sejuk untuk tempoh yang lama

c) Ia berlaku secara berperingkat dan paling teruk adalah apabila suhu badan seseorang menurun sehingga 28˚C dan ke bawah

d) Sesiapa sahaja terdedah dengan hypothermia ketika musim sejuk dan ia boleh dikenalpasti apabila seseorang itu mula berhalusinasi, menggigil, mengantuk, kekejangan otot dan kesukaran tutur kata

Bagi mereka yang menghidap penyakit seperti asma, ekzema, psoriasis, diabetes, artritis, jantung dan COVID-19, musim sejuk membawa lebih derita untuk mereka kerana komplikasi yang parah. Pada masa yang sama, sesuatu yang perlu kita tahu sebenarnya musim sejuk juga memberi ancaman untuk mereka yang memiliki masalah kesihatan mental seperti depresi, bipolar dan gangguan afektif bermusim (seasonal affective disorder).

Pada ketika ini, anda mungkin tertanya – kenapa tidak memakai pakaian tebal dan menggunakan alat pemanas?

Jika lihat pada keadaan mereka yang majoritinya tinggal di dalam khemah, bangunan terbiar dan rumah yang tidak sempurna sifatnya, pakaian tebal berlapis-lapis sebenarnya masih tidak mencukupi untuk mengekalkan kehangatan tubuh badan mereka. Data daripada OCHA mendedahkan sebanyak 21,300 unit rumah yang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan (MOPWH) sepanjang Jun-Disember 2019 tidak memenuhi standard perlindungan;

“They do not meet the minimum requirements for adequate 115 living space, protection from adverse weather, hygiene facilities and privacy, and require different degrees of rehabilitation.” 

Manakala sebanyak 7,000 unit rumah lagi dikatakan belum dibaiki akibat kerosakan. Ini menjadikan 14% unit rumah berada di bawah status kritikal untuk dijadikan tempat perlindungan, merangkumi bangunan rosak dan tidak siap; khemah; pusat perlindungan; kontena; dan tempat perlindungan sementara. Manakala 62% pula adalah laporan kerosakan tempat perlindungan mereka yang melibatkan keretakan serius; dinding dan bumbung yang terbuka; serta kerosakan pintu dan tingkap. 

Barisan media juga pernah melaporkan bahawa tempat perlindungan berasaskan khemah semakin tidak berbaloi kerana selain berpotensi tinggi untuk runtuh akibat salji dan banjir (winter flood), kos penubuhannya juga semakin mahal susulan daripada inflasi global. 

Difahamkan kos penubuhan sebuah khemah sebelum ini bernilai cuma $102 dan harga terkini telah melonjak sehingga $2,000 (RM8.9 ribu).

Tidak cukup dengan itu, kadar penggunaan elektrik juga dicatu sepanjang musim panas dan sejuk. Pada hari biasa, mereka mampu menikmati bekalan elektrik selama 12-14 jam sehari. Namun ketika musim sejuk atau panas, penggunaan tersebut disekat dan dikurangkan kepada 8-12 jam sahaja. 

Bagaimana pula dengan jam berikutnya – mampukah mereka bertahan menahan kesejukan lagi-lagi pada waktu malam? Jika tiada sumbangan untuk menghangatkan mereka, berita maut akan menyapa. Ini mengingatkan kepada ratapan seorang ibu daripada Syria yang kehilangan anak berusia sebulan setengah dalam pelukannya pada 2019;

“I don’t know how I fell asleep, but when I woke up at sunrise I felt a coldness between my hands, where my baby was. She was supposed to be warm.”

Pendapatan harian

Musim sejuk juga tidak ketinggalan menjadi satu igauan buruk untuk mereka sebagai tulang belakang keluarga, lagi-lagi mereka yang bekerja sebagai petani dan nelayan kerana dua sektor ini boleh dikatakan pekerjaan utama penduduk di Palestin.

Misalnya di Palestin, penduduknya masih bergantung kepada aktiviti pertanian terutama pokok zaitun. Data daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mendedahkan bahawa penghasilan buah zaitun merangkumi 57% daripada tanah pertanian Palestin yang dijajah. 

Perkara ini sejajar dengan dapatan pada 2011 yang menunjukkan kira-kira 7.8 juta pokok zaitun berbuah dengan baik dan pada 2014 pula sebanyak 108,000 tan buah zaitun telah diproses, sekaligus menghasilkan 24,700 tan minyak zaitun. 

Secara tidak langsung, hasil tanaman zaitun pada ketika itu telah menyumbang sekitar $10.9 juta (~RM36 juta) kepada tanah suci tersebut. 

Namun penghasilan tanaman zaitun tidak semeriah itu pada musim sejuk. 

Dalam pemerhatian satu tahun (2020-2021), penghasilan buah zaitun telah susut sehingga 65%. Sebagai rekod, penghasilan zaitun di Gaza kebiasaannya mampu mencecah sehingga 30,000 tan setiap tahun tetapi pada 2021, pencapaian tersebut telah susut sebanyak 9,000 tan. 

Tidak cukup dengan itu, 1 dunum kebun zaitun (bersamaan 0.24 ekar) sepatutnya mampu menghasilkan 1,000 kilo buah zaitun tetapi 2021 mendukacitakan dengan rekod cuma 300 kilo buah zaitun sahaja.

Keadaan suhu yang sejuk melampau menyebabkan fasa pembungaan dan pembenihan gagal. Begitu juga kelembapan yang tinggi mendorong kepada kemunculan perosak pertanian, salah satunya olive knot disease yang menyebabkan penghasilan pokok zaitun susut sebanyak 80%.

Terlalu banyak kesan buruk terhadap penduduk Palestin akibat musim sejuk. Ia diibaratkan satu tamparan hebat untuk mereka terus berjuang walaupun sukar.

Jika keadaan ini tidak diberi perhatian, bagaimana untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup sekaligus mempertahankan tanah air mereka, lagi-lagi Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam daripada dijajah rejim Zionis?

Walaupun tidak dinafikan perubahan musim merupakan luar kawalan manusia, tetapi kita mampu mengawal kadar kemiskinan dan keperluan mereka melalui sikap peduli.

Semoga rasa peduli yang berbalutkan kasih sayang sesama umat Islam sebagai barisan Heroes4Hope dapat meringankan beban pelarian Palestin serta negara-negara lain yang memerlukan melalui sumbangan dalam kempen Winter Aid 4 Humanity!