Empat operasi gerila yang menyasarkan pusat tentera Israel di Nablus dan Jenin telah dijalankan di Tebing Barat.
Manakala rusuhan terhadap tentera penjajah di kawasan berasingan di Tebing Barat dan Baitul Maqdis masih diteruskan. Sebagai rekod, rusuhan yang merangkumi serangan menyeluruh ini merupakan tanda peringatan kesyahidan Uday al-Tamimi dan satu kritikan terhadap jenayah yang dilakukan tentera Israel.
Bandar Nablus telah menyaksikan tiga serangan tembakan dalam masa kurang daripada sejam. Serangan tembakan itu dilakukan oleh seorang pemuda daripada sebuah kumpulan pejuang yang dikenali sebagai Areen al-Aswad. Ahli kumpulan ini juga melepaskan beberapa tembakan di pusat pemeriksaan al-Jalama, berhampiran Jenin ketika berlakunya rusuhan yang melibatkan tentera Israel.
Impak daripada rusuhan tersebut, banyak kedai, institusi pengajian dan sekolah di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Baitul Maqdis terpaksa ditutup. Tindakan ini merupakan tanda seruan para pejuang tanah air dan agama Islam itu sendiri yang menggesa supaya hari ini menjadi Hari Kemarahan.
Banyak kawasan di Tebing Barat dan Baitul Maqdis menyaksikan kejadian rusuhan susulan daripada kesyahidan Uday al-Tamimi. Kebanyakannya adalah demonstrasi dan perarakan spontan yang berlaku di beberapa kawasan jajahan tentera Israel seperti Ramallah, al-Bireh, Nablus, Bethlehem, Jerusalem, Jenin, dan Hebron. Rusuhan tersebut merangkumi serangan berpeluru, bom tangan dan gas beracun.

