Beberapa penduduk Palestin mengalami kecederaan dalam serangan yang dilakukan oleh warga Israel. Kejadian itu berlaku di Tel Rumeida dan Jalan al-Syuhada yang terletak di bandar Hebron, Tebing Barat.
Pihak media melaporkan bahawa warga Israel yang membawa senjata telah melepaskan gas penyembur lada dan batu ke arah penduduk tempatan. Tindakan ganas mereka ini telah mendapat perlindungan daripada tentera Israel. Kejadian tersebut telah menyebabkan berpuluh orang awam cedera dan mengalami kesesakan nafas.
Penduduk yang berada di kawasan kejiranan Tel Rumeida dan Jalan al-Syuhada terdedah dengan serangan yang berterusan daripada tentera Israel dan penduduknya. Antara kekacauan yang dilakukan ialah membuat kerosakan ke atas kediaman para penduduk, menahan kanak-kanak dan menakut-nakutkan mereka. Tindakan ini merupakan satu usaha yang memaksa penduduk di sana meninggalkan kawasan tersebut bagi membuka ruang pembangunan projek penempatan pendatang Israel.

