Home Artikel Post View

Gerak Kerja Getir Bebaskan Palestin

Aug 10, 2022 10:46 am
Gambar asal diambil daripada laman web Kosmo

 

 Oleh: Muhd Haikal Luqman bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia

        

Orientasi memandang jauh ke hadapan (forward looking) memang menjadi ciri bangsa berdaya maju yang ingin mencipta keunggulan di masa hadapannya. Dalam hubungan ini, ajaran Islam memang mengandungi semangat al-fikru ‘l mustaqbaliy atau “pemikiran yang berorientasi ke masa hadapan”. Dari satu segi memang dalam tamadun Islam terdapat kecenderungan yang kuat untuk berorientasi memandang ke zaman silam terutama era di sepanjang tiga abad pertama Hijrah. 

 

Pengertian masa hadapan bagi umat Islam sebenarnya jauh melampaui konsepsi masa hadapan golongan sekularis. Masa hadapan bagi umat Islam tidak hanya terbatas dalam kehidupan duniawi kini, tetapi menjangkau jauh hingga ke alam ukhrawi. Memang Islam sangat mementingkan masa depan ukhrawi yang lebih abadi, tetapi ini tidak bererti meremehkan atau mengabaikan masa depan duniawi. 

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mengungkapkan maklumat-maklumat futuristik. Ayat 45 yang terkandung dalam surah al-Qamar yang turun di Makkah itu menyebut nasib yang akan menimpa Musyrikin Quraisy yang ketika itu masih kuat,

“Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan undur ke belakang”

(Surah Al-Qamar: 45)

Pemberitahuan tentang apa yang akan terjadi di masa hadapan itu adalah bertujuan untuk mempersiapkan mental dan psikologikal umat Islam bagi menghadapi perubahan-perubahan yang akan berlaku. Mengenai perkembangan yang akan berlaku di kalangan kuasa-kuasa dunia ketika itu, Al-Quran memaklumkan (dalam surah ar-Rum, ayat 1-5); bahawa Rom (yang rakyatnya terdiri dari ahli Kitab) akan mengalahkan Parsi (yang rakyatnya terdiri dari kaum Majusi penyembah api). 

Pemberitahuan tersebut menggembirakan umat Islam kerana perkiraan mereka kemenangan Parsi akan membawa implikasi buruk terhadap Islam. Kerana itu mereka memang mengharapkan kemenangan Rom. Keadaan ini menunjukkan bahawa umat Islam, walaupun masih lemah dan kecil, namun mereka begitu peka dengan perkembangan-perkembangan dunia dan menyedari kesan-kesan positif dan negatifnya terhadap masa hadapan mereka. 

Jadi apa kaitan orientasi masa hadapan ini dengan Palestin?

Palestin mempunyai kedudukan strategik, iaitu terletak di bahagian barat benua Asia. Keluasan Palestin kini menjangkau 27,009 kilometer (km) persegi. Kedudukan geografinya, iaitu di bahagian barat menunjukkan Palestin berada di sebelah perairan antarabangsa dari Laut Tengah dengan jarak sekitar 250 km dari al-Nakura di sebelah selatan, sehingga Rafah serta memiliki lokasi di pertengahan negara Arab.

Peranan Palestin sebagai pintu gerbang utama bagi perjalanan ke wilayah jiran menjadikannya jambatan penghubung bagi manusia sejak zaman lampau, malah memikat hati yang bernaluri untuk bermukim dalam kemakmuran. Baitul Maqdis yang terletak di dalam Palestin digambarkan oleh Allah SWT sebagai pusat keberkatan atau The Centre of Barakah. Ia menjadikan tanah ini istimewa.

Ibn Kathir menggambarkan Masjidil Aqsa sebagai Baitul Maqdis yang menjadi pusat kemunculan para nabi sejak zaman Nabi Ibrahim. Frasa kata barakna fiiha muncul dalam al-Quran sebanyak empat kali menggambarkan keberkatan tanah itu sendiri, manakala terminologi barakna hawlahu muncul dalam al-Quran membawa gambaran keberkatan yang mengelilingi Baitul Maqdis. 

Rasulullah SAW pula menyebutkan bahawa penduduk Baitul Maqdis yang mempertahankan buminya tidak mungkin akan dapat dikecewakan oleh mereka yang menyerah kalah pada akhir zaman. Sebagaimana sabdanya:

‌”لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌عَلَى ‌الدِّينِ ‌ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.”

“Masih ada secara berterusan dalam kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam) dengan gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan, sehingga datangnya ketetapan daripada Allah (membinasakan musuh dan memberikan kemenangan) dalam keadaan mereka meneruskan perjuangan (mereka tidak berganjak).

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: ‘Di manakah mereka berada?’

قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

Sabda Rasulullah SAW: ‘Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.’” 

(Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW telah menjangkakan pergolakan yang besar akan berlaku di Palestin seperti yang berlaku pada hari ini. Ini bertujuan untuk mempersiapkan mental dan fizikal umat Islam akan dalam menghadapi tantangan seperti ini. Selain itu, hadis Rasulullah ini  merupakan manifestasi kesedaran generasi yang akan pergi (outgoing generation) tentang perlunya mempersiapkan generasi pelanjut dengan pendidikan futuristik. 

Dalam kaitan ini, Rasulullah SAW mahu umat Islam seharusnya mempunyai wawasan atau visi yang biasanya ditakrifkan sebagai,

A mental journey from the known to the unknown creating the future from a montage of current facts, hopes, dreams, dangers and opportunities.

Dengan kesedaran bahawa perancangan dan gerak kerja kita untuk membebaskan Palestin dan Al-Quds pada hari ini berkemungkinan dapat mempengaruhi perkembangan di masa hadapan, umat Islam seharusnya meningkatkan usaha-usaha menganalisis fakta dan maklumat serta membuat perancangan seperlunya dalam rangka membina masa hadapan yang lebih baik bagi Islam dan umatnya. Tanpa perancangan yang strategik dalam menghadapi cabaran serta penipuan yang dilakukan oleh Zionis, ramalan tentang pembebasan Masjidil Aqsa itu tidak akan menjadi kenyataan.

Related