Home Artikel Post View

Taba Summit dan Impaknya Terhadap Palestin

Aug 09, 2022 06:44 am
Gambar asal diambil daripada laman web Amazon S3

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Sebenarnya, sudah pelbagai usaha dilakukan untuk mendamaikan Palestin dan Israel. 

Buktinya boleh dilihat pada beberapa perjanjian dan persidangan terkemuka yang dijalankan, sebagai contoh Perjanjian Oslo dan Sidang Kemuncak Kem David 2000. Namun, adakah kedua-duanya berjaya membuka lembaran baharu untuk pembebasan tanah Palestin yang dicengkam rejim Zionis?

Perjanjian Oslo telah menghancurkan harapan rakyat Palestin yang masih menanti untuk  tanah mereka dipulangkan. Manakan tidak, Perjanjian Oslo yang menjanjikan kemerdekaan di negara itu, jumlah pendatang Israel sebaliknya terus mencatatkan peningkatan sejajar dengan penempatan haram mereka di Palestin. 

Keadaan tersebut menyebabkan tanah suci itu semakin ‘sempit’ dan akan menyukarkan pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka kelak.  

Barangkali kecewa dengan janji terdahulu, Sidang Kemuncak Kem David 2000 menemukan noktah kegagalan selepas pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat enggan menerima tawaran lumayan daripada Perdana Menteri Israel, Ehud Barak dan Perdana Menteri Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton.

Salah satu tawaran yang menarik perhatian dalam Kem David itu adalah pengunduran pihak Israel dari kawasan Tebing Barat;

“Israel would withdraw from 90 to 95 percent of the West Bank.”

Difahamkan penolakan Arafat adalah kerana tawaran tersebut tidak menguntungkan Palestin dan lebih membimbangkan, ianya diusulkan tanpa bertulis;

“The offer, it is true, was never written down ... He read it to the Palestinian delegation at dictation speed.”

“The ideas put forward at Camp David were never stated in writing, but orally conveyed.”

Episod Baharu Perjanjian Yang Tertangguh

Pada 21 sehingga 27 Januari 2001, Sidang Kemuncak Taba telah diadakan di Sinai, Mesir susulan daripada kegagalan Perjanjian Oslo dan Kem David 2000. 

Sidang kemuncak yang juga turut dikenali sebagai Perbincangan Taba, diusulkan oleh Ehud Barak sebagai langkah terakhir untuk mendamaikan Palestin dan Israel secara serius sebelum bertanding menentang Ariel Sharon dalam pilihan raya pada 6 Februari 2001.

Tidak dinafikan banyak isu perlu dibahaskan namun pasukan rundingan yang terdiri daripada delegasi Israel - diketuai oleh Menteri Luar Negara, Shlomo Ben-Ami; delegasi Palestin - diketuai oleh jurucakap Majlis Perundangan Palestin, Ahmad Qurai’ menfokuskan kepada empat perkara utama, iaitu: 

1. Pelarian Palestin

2. Perlindungan

3. Sempadan 

4. Baitul Maqdis

Di bawah aspek inilah Ehud Barak dan Clinton menawarkan beberapa tawaran yang disifatkan satu tanda positif untuk masa depan Palestin; 

“The sides declare that they have never been closer to reaching an agreement and it is thus our shared belief that the remaining gaps could be bridged with the resumption of negotiations following the Israeli election.”

Direkodkan dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk patuh dengan Resolusi 242 yang menjadi sempadan asas pemisahan kawasan Palestin dan Israel di tanah suci itu. 

Ketetapan two-state solution ini telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 22 November 1967 dengan harapan rejim Zionis akan berundur dan menghentikan rampasan tanah di Palestin. 

Delegasi Israel juga telah bersetuju untuk menjadikan bandar Baitul Maqdis sebagai penempatan dua bangsa: Yahudi dan Arab. Namun, gelaran ‘Yerushalayim’ akan menjadi nama pusat bandar dalam kalangan Yahudi dan ‘Al-Quds’ menjadi milik Palestin.

Ekoran dari itu, mereka juga percaya isu pelarian Palestin harus diselesaikan mengikut ketetapan Resolusi 242 yang mana akan mendorong kepada implementasi Resolusi 194 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sebagai rekod, Resolusi 194 diperkenalkan selepas peristiwa al-Nakbah pada 1948. Ia menekankan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air;

“... that refugees wishing to return to their homes and live at peace with their neighbours should be permitted to do so.”

Sedikit sebanyak isu yang menjadi perhatian di dalam Sidang Kemuncak Taba sebenarnya mencerminkan kandungan Perjanjian Oslo kerana masih ada kepentingan Israel yang perlu dijaga walaupun persidangan ini memfokuskan kepada kemerdekaan Palestin melalui perdamaian dua pihak. 

Pun begitu, pihak Palestin melihat usaha di Taba, Mesir ini sebagai usaha yang memiliki masa depan yang cerah. Andai sahaja kata sepakat dicapai, mereka berhak untuk memprotes Israel kerana Resolusi 242 telah menjadi asas perdamaian kedua-dua bangsa terlibat.

Palestin Dalam Cengkaman Israel Lagi

Sidang Kemuncak Taba membuktikan usaha untuk mendamaikan Palestin dan Israel yang sudah terperangkap dalam pergelutan lebih 100 tahun adalah fokus utama walaupun unsur keraguan dan ketidakpercayaan hadir daripada kedua-dua belah pihak. 

Manakan tidak, tuntutan kuasa pertahanan Israel di tanah dan ruang udara Palestin menyebabkan delegasi Arab ragu-ragu dengan tawaran yang telah diusulkan. Rupanya kedegilan Israel mahu mendapatkan hak tersebut adalah kerana bimbangkan ugutan daripada kuasa-kuasa Timur. 

Bermula dengan Perjanjian Oslo pada 1993, Sidang Kemuncak Taba menjadi satu perhatian kritikal dalam menentukan arah tuju dan nasib Palestin. 

Hasil rundingan enam hari ini menyimpulkan mereka bersemangat untuk menjalani kehidupan normal tanpa menumpahkan lagi darah rakyat yang tidak bersalah;

“The two sides take upon themselves to return to normalcy and to establish a security situation on the ground through the observation of their mutual commitments in the spirit of the Sharm al-Shaykh* memorandum.”

Namun, persidangan ini terpaksa ditangguhkan pada 27 Januari 2001 ekoran daripada persediaan Ehud Barak yang akan bertanding menentang Ariel Sharon dalam pilihan raya Israel.

Harapan untuk melihat kesinambungan dan hasil Sidang Kemuncak Taba terus ‘rebah’ sebaik sahaja Ariel Sharon diumumkan menjadi Perdana Menteri Israel yang ke-11 pada 6 Februari 2001. Direkodkan pemerintahannya adalah selama 5 tahun sebelum tamat pada April 2006.

Terkenal sebagai pesaing kepada Ehud Barak, Ariel Sharon awal-awal lagi sudah menunjukkan taringnya dalam memastikan kejatuhan Palestin. Buktinya, krisis di Masafer Yatta bermula sejurus sahaja Ariel Sharon mengesahkan penubuhan Zon Tembakan 918 atas alasan kawasan itu merupakan milik Israel selepas kemenangan mereka dalam peristiwa al-Naksah pada 1967.

Malah, Ariel Sharon juga merupakan penentang utama Perjanjian Oslo. Di dalam kempen pilihan raya, sosok ini nekad dan berjanji untuk menangani ‘kekerasan’ Palestin yang menjadi penghalang untuk Israel mendapatkan tanah itu. 

Disebabkan itu juga, Ariel Sharon pernah menegaskan yang dia sama sekali tidak akan meneruskan sebarang persidangan atau perbincangan yang pernah dilakukan, terutama Kem David dan Taba. Tetapi dia bersetuju untuk mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani. 

Ironinya, nasib rakyat Palestin semakin kritikal. Ariel Sharon sendiri telah membuktikan bahawa seluruh keturunan Israel yang menjajah Palestin akan terus berkeras demi kepentingan tersendiri. 

Walaupun begitu, adakah rakyat Palestin benar-benar berpeluang mendapatkan hak mereka jika Ehud Barak masih kekal sebagai Perdana Menteri Israel?

Jika dilihat kepada kejayaan Barak yang memastikan pengunduran tentera Israel dari Lubnan selesai pada awal Jun 2000, tidak mustahil untuk Palestin menempa era baharu tanpa kawalan ketat rejim Zionis.

“My heart aches because I know we were so close. We need six more weeks to conclude the drafting of the agreement.” – Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat.

“We made progress, substantial progress. We are closer than ever to the possibility of striking a final deal.” – Perunding Israel, Shlomo Ben-Ami

Mungkin ada benarnya Palestin memiliki peluang yang cerah untuk bangkit dan Israel pula mengalah di bawah rundingan yang telah ditetapkan jika pilihan raya tidak berlaku sehingga Sidang Kemuncak Taba mencapai persetujuan sebenar.

Namun, ia masih belum cukup untuk menjaminkan keadilan untuk rakyat Palestin kerana Israel terkenal sebagai kelompok yang acapkali melanggar janji-janji mereka. 

Perjanjian Oslo cukup membuktikan bahawa mereka golongan yang tidak wajar dipercayai. Adakah satu lagi kepercayaan Palestin terhadap tawaran Israel wajar dikoyak kerana sikap ketamakan rejim Zionis?

Tentulah tidak. 

*Sharm al Shaykh atau Sharm el Sheikh adalah maklum balas kepada Perjanjian Interim di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pada 28 September 1995

 

RUJUKAN

BUKU

- ISRAEL/PALESTINE: How to End the War of 1948

- We Can Have Peace in the Holy Land

LAMAN SESAWANG

2000 Camp David Summit:Background & Overview, dipetik daripada Jewish Virtual Library

Taba Summit Concludes, dipetik daripada Center for Israel Education (CIE)

Cuba Memahami Ceramah Taba . Dipetik daripada Palestin-Israel Journal of Politics, Economics and Culture

Perbincangan Timur Tengah Berakhir dengan Keuntungan tetapi Tiada Kesepakatan . Dipetik daripada The New York Times

Resolusi 194 . Dipetik daripada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat

Minit Sesi Rundingan pada 23 Januari 2001

KERTAS KAJIAN

- Rundingan Taba (Januari 2001)

Related