Solusi Untuk Palestin: Adakah One-State Atau Negara Sekular Lebih Baik?

Aug 08, 2022 11:53 am
Gambar asal diambil daripada laman web Maroc24

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi

Menyoroti peristiwa al-Nakbah pada 15 Mei 1948, sebanyak 750,000 penduduk Palestin telah dihalau keluar dari tanah yang diisytiharkan sebagai negara Israel sehari sebelumnya.

Setakat Jun 2022, Agensi Pelarian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR merekodkan 5.8 juta pelarian Palestin yang berada di bawah mandatnya. 

Namun data daripada salah satu badan bukan kerajaan (NGO),  BADIL Resource Center for Palestinian Residency and Refugee Rights pula mendedahkan jumlah kumulatif pelarian Palestin termasuk yang dikecualikan dari mandat UNHCR sebenarnya jauh lebih tinggi iaitu 9.12 juta untuk tahun ini sahaja. 

Angka yang acap kali berubah sebenarnya merangkumi lima kelompok pelarian Palestin:

1. Mandat British (1922-1947), melibatkan 150,000 rakyat Palestin 

2. Peristiwa al-Nakba (1947-1949), melibatkan 950,000 rakyat Palestin

3. Di bawah pengawalan ketenteraan Israel (1949-1966), melibatkan 45,000 rakyat Palestin

4. Perang 1967 (al-Naksah), melibatkan 450,000 rakyat Palestin (merangkumi juga 193,500 pelarian 1948)

5. Pelaksanaan beberapa polisi yang memaksa pelarian untuk berpindah ke tempat lain

Bermula dengan penguasaan Yahudi terhadap 6.2% tanah Palestin di bawah mandat British pada sekitar 1920 sehingga 1948, Pusat Statistik Palestin (PCBS) mendedahkan Israel kini sudah mengawal 85% bersamaan dengan 20,770km² bumi suci itu.

Palestin di dalam peta seakan-akan semakin hilang ‘bayangnya’, lebih lagi selepas Mahkamah Tinggi Israel telah membenarkan rejim Zionis menghalau penduduk tempatan di Masafer Yatta pada awal Mei untuk dijadikan kawasan itu sebagai Zon Tembakan 918.

“It was no longer a Palestinian fight against Zionism and Israeli settler colonialism that goes back to the start of the 20th century, but a conflict between two equal parties, with equally legitimate territorial claims that can only be resolved through painful concessions.”

Kenyataan di atas ialah konsesi pertama yang menjadi titik mula kepada penderitaan penduduk Palestin sehingga sekarang ketika Israel mengisytiharkan kemerdekaannya di Palestin pada 14 Mei 1948.

Lebih parah apabila mereka sebenarnya telah melanggar Resolusi 194 yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 11 Disember 1948 sebagaimana berikut:

“... refugees wishing to return to their homes and live at peace with their neighbours should be permitted to do so at the earliest practicable date, and that compensation should be paid for the property of those choosing not to return and for loss of or damage to property which, under principles of international law or equity, should be made good by the Governments or authorities responsible”

Resolusi di atas sudah cukup menjelaskan penduduk Palestin cuma memiliki satu matlamat iaitu pulang ke tanah air mereka. Tetapi mengapa Israel bertindak keras kepala, enggan menyerahkan apa yang sepatutnya milik Palestin? 

Jika tindakan mereka hanya kerana mahu mewujudkan safe haven kepada golongan Yahudi dan kepulangan rakyat Palestin dianggap satu ancaman kepada ketenteraman komuniti itu, bagaimana pula dengan nasib penduduk asal negara tersebut yang diganggu-gugat?

Secara tidak langsung, tindakan Israel mencerminkan niat sebenar melalui dakwaan yang dikemukakan oleh ahli sejarah, Saul Friedlander di dalam buku The Seventh Million (1993):

“Usaha untuk menyelamatkan kaum Yahudi di Eropah bukanlah keutamaan nombor satu bagi pemimpin yishuv*. Bagi mereka, perkara paling penting ialah usaha untuk membentuk negara.”

Maka tidak hairanlah jika rejim Zionis tidak pernah gagal menafikan hak penduduk asal Palestin dengan alasan kedatangan mereka ke tanah itu adalah ketika ia tidak berpenghuni tanpa komuniti. Sedangkan sejarah mencatatkan kehadiran British sebelum Israel membuktikan populasi penduduk asal di negara itu pada 1920 melebihi angka 750,000. Cuma 11% sahaja beragama Yahudi.

Ironinya pula, Israel tiba-tiba menjelaskan bahawa rakyat Palestin secara rela hati meninggalkan bumi kelahiran mereka. Tidak cukup dengan itu, rejim Zionis mendakwa keluasan Palestin tidak cukup untuk menampung jumlah pelarian tanah air. Ini satu kenyataan yang tidak berasas! Data daripada AlJazeera pada 2020 mendedahkan Palestin memiliki keluasan sekitar 30,000 km² yang mampu memuatkan lebih 11.4 juta seluruh penduduk dan pelarian negara itu. 

Tidakkah alasan kontra ini cukup untuk melabel rejim Zionis berlidah cabang? 

Penyelesaian Konflik Israel-Palestin: Sebuah Negara Yang Menyatukan

Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada 1995 sudah terkubur walaupun kononnya ia mahu mewujudkan hak kesamarataan di antara Israel dan Palestin melalui konsep two-state di atas tanah suci itu. 

Bekas Timbalan Datuk Bandar Baitul Maqdis, Meron Benvinisti pernah menyelar idea Perjanjian Oslo dalam satu kenyataan berbunyi, “The conclusion is that the seemingly rational solution of two states for the two nations can’t work here. The model of a division into two-states is inapplicable. It doesn’t reflect the depth of the conflict and doesn’t sit with the scale of the entanglement that exists in large parts of the country.”

Dakwaan Benvinisti juga disokong oleh pakar akademik Palestin, Edward Said menerusi perkongsian peribadinya dalam The New York Times terbitan 10 Januari 1999,

“Oslo [agreements] set the stage for the separation, but real peace can only come with a bi-national Israeli-Palestinian state.”

Ini bermakna ada solusi untuk kesejahteraan Palestin, terutama hak penduduk asal yang sudah lama menjadi pelarian. 

Seperti yang dipersetujui oleh golongan cendekiawan Palestin dan Yahudi sebelum kedatangan Israel, tanah ini wajar diwujudkan sebagai one-state atau sebuah negara harmoni yang menggabungkan semua bangsa tanpa diskriminasi dan pemilikan kawasan-kawasan tertentu seperti dilakukan rejim Zionis sekarang. 

Sudah tentu konsep sebuah negara membawa kepada dua pilihan iaitu sama ada Israel mentadbir seluruh Palestin; atau Yahudi dan Israel berada di bawah pentadbiran Palestin.

Jika lihat kepada kuasa terbesar di Palestin buat masa ini, tidak mustahil Israel akan menakluk keseluruhan negara itu pada masa akan datang. Justeru, mereka perlu memainkan peranan besar untuk memastikan konsep one-state dapat direalisasikan dengan memperakui hak pulang rakyat Palestin terlebih dahulu.

Di sinilah Israel harus memastikan pelarian Palestin dapat kembali semula ke tanah air mereka dan mewujudkan komuniti yang saling hormat-menghormati. Namun, andai ada pelarian Palestin yang enggan pulang dan lebih selesa untuk menetap di negara asing, adalah lebih baik jika Israel memberi pampasan kepada mereka sebagai bukti tanggungjawab terhadap kekejaman terdahulu. 

Seperti yang pernah diterapkan oleh dua pemimpin Islam terkemuka – Khalifah Umar Ibn Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi ketika menakluk Baitul Maqdis pada 636 Masihi dan Oktober 1187, tidak pernah sekali pun mereka bertindak merobohkan rumah ibadah atau menghalau bangsa Yahudi dan Nasrani.

Sebaliknya, mereka menyantuni bangsa bukan Islam dan kekalkan bangunan mereka bersesuaian dengan perintah Allah SWT di dalam al-Quran yang menekankan konsep kasih sayang, toleransi, dan perdamaian.

Mustahil Negara Sekular Untuk Palestin

Pada 2020, Pejabat Kebebasan Beragama Antarabangsa di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) melaporkan status Turki sebagai negara sekular:

“The constitution defines the country as a secular state and provides for freedom of conscience, religious belief, conviction, expression, and worship.”

“The Republic of Turkey is a democratic, secular and social state governed by the rule of law; bearing in mind the concepts of public peace, national solidarity and justice; respecting human rights; loyal to the nationalism of Ataturk, and based on the fundamental tenets set fort in the Preamble.” – Article 2: Characteristic of the Republic (February 5, 1937)

Manakala India pula telah memperakui status mereka sebagai sebuah negara sekular pada 2017 berdasarkan kenyataan delegasi India di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC):

“India is a secular state with no state religion.”

Persoalannya, adakah penubuhan negara sekular untuk Palestin jawapan kepada pendamaiannya dengan Israel dan rejim Zionis?

Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan sekular sebagai tindak-tanduk yang berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan. Ini bermakna negara sekular merujuk kepada pemisahan agama daripada urusan pentadbiran seperti Mustafa Kamal Ataturk laksanakan di Turki pada 1937.

Penubuhan semula Palestin sebagai negara sekular oleh Israel boleh dianggap sebagai satu pengakuan bahawa Yahudi dan rejim Zionis adalah entiti sah di bumi suci itu. Hal ini kerana keputusan penubuhan negara sekular berada dalam bidang kuasa Israel yang memiliki pengaruh terbesar di Palestin. 

Lebih mengeruhkan keadaan, identiti Islam di Palestin akan hilang serta-merta sebagaimana Ataturk lakukan ke atas Turki – mengorientasikan negara itu ke arah Barat, menghapuskan sistem khalifah, serta mengharamkan laungan azan di dalam bahasa Arab.

Lantaran daripada itu, idea penubuhan one-state di Palestin dilihat sebagai satu inisiatif yang adil dan saksama bagi kedua-dua pihak, lagi-lagi sekiranya Israel dan rejim Zionis menggugurkan propaganda ‘land without a people for a people without land’, serta tidak lagi mengejar tanah itu sebagaimana dipercayai milik Yahudi.

Israel perlu memainkan peranan penting bagi memastikan matlamat penubuhan one-state dapat dicapai. Selain memastikan pelarian Palestin dibenarkan kembali semula ke tanah air mereka, Israel juga harus memulangkan semula kawasan penempatan yang dirampas tentera Zionis sejak 1948 kepada rakyat asal negara itu.

Ini termasuklah memansuhkan pembahagian tiga kawasan: A, B, dan C di Tebing Barat yang diperkenalkan melalui Perjanjian Oslo.

Tindakan menghalau semua Yahudi-Israel adalah mustahil kerana jumlah bangsa itu mencapai kadar hampir 74% dari keseluruhan populasi di tanah suci tersebut.

Mahu tidak mahu, rakyat Palestin harus menerima kewujudan populasi Yahudi-Israel sama seperti era terdahulu Palestin walaupun populasi Yahudi ketika itu cuma sekitar 2%-13.6% sebelum Deklarasi Balfour dilaksanakan pada 1917. 

Yahudi-Israel juga wajar pulang ke kawasan natif di sekitar Barat Laut Palestin kerana sejarah mencatatkan di situlah komuniti asal Yahudi sebelum tahun 1948. Namun, akibat ditindas di wilayah Eropah Timur, Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) telah diperkenalkan secara rasmi pada 1897 dan bermula dari saat itulah usaha mendapatkan sebuah negara untuk bangsa Yahudi digiatkan.

Penubuhan one-state tidak mustahil untuk dicapai jika kedua-dua pihak memilih untuk berdamai dalam satu negara. Paling utama, Israel harus mengalah dan berundur daripada matlamat mendapatkan Palestin secara haram. 

Namun, sekiranya Israel enggan menerima kewujudan penduduk Palestin, satu-satunya tindakan yang mereka akan lakukan sudah tentu menghapuskan keturunan Arab dari negara itu, menyebabkan pelarian Palestin akan bertebaran ke negara-negara Arab seperti Jordan, Syria, dan Mesir. 

Apa-apa pun, nasib rakyat Palestin harus dititikberatkan dan dibela terutama golongan pelarian kerana mereka ‘terpaksa’ menumpang di negara lain untuk meneruskan kehidupan. Lagipun, sudah disebut di dalam al-Quran telah menjadi satu kewajipan untuk umat Islam turut mempertahankan hak mereka:

Dan jikalau mereka meminta pertolongan dalam (urusan pembelaan) agama, maka wajiblah kamu menolongnya. - (al-Anfal, ayat 72)

* Yishuv merujuk kepada komuniti atau penempatan Yahudi sebelum terbentuknya Israel pada 1948.

 

RUJUKAN

BUKU

- Whose Promised Land: The Continuing Conflict Over Israel and Palestine

LAMAN SESAWANG

- TÜRKİYE BÜYÜK MİLLET MECLİSİ

- AlJazeera (13 Mei 2019)

- BADIL Resource Center for Palestinian Residency & Refugee Rights

- The Jordan Times (24 Mei 2022)

- Middle East Eye (11 Disember 2018)

KERTAS KERJA

- THE ONE STATE SOLUTION: An Alternative Vision for Ending The Israeli-Palestinian Conflict (2012)