Kenapa Israel Ialah Pariah State?

Aug 08, 2022 11:40 am
Gambar asal diambil daripada laman web Britannica

Oleh: Muhd Haikal Luqman bin Zulkefli

Sebelum ini, tiada kedengaran secara lantang dunia mengatakan Israel adalah sebuah negara aparteid. Kalau ikutkan, rakyat Palestin telah berbunyi semenjak mereka dijajah pada tahun 1948. Salah satu terma undang-undang (mengatakan Israel adalah negara Aparteid) yang terawal digunakan telah dijumpai dalam monograf yang ditulis oleh Fayez Sayegh, seorang intelektual dan aktivis Palestin pada tahun 1965.

50 tahun kemudian, mantan Presiden Amerika Syarikat iaitu Jimmy Carter yang menulis buku Peace Not Apartheid yang juga menyatakan Israel ialah sebuah negara aparteid. Kemudian ia diikuti dengan kenyataan dari Archbishop Desmond Tutu yang melawan dasar aparteid yang dipraktikkan oleh rejim Israel. Desmond Tutu antara tokoh dan revolusioner yang lantang melawan dasar aparteid di Afrika Selatan.

B’Tselem, sebuah gerakan hak asasi manusia Israel juga telah mengumumkan bahawa Israel adalah sebuah negara aparteid pada tahun lepas dan ini juga turut diikuti oleh Yesh Din yang juga merupakan gerakan asasi manusia Israel telah membuat konklusi bahawa,

“The crime against humanity of apartheid is being committed in West Bank”.

Kemuncaknya apabila Amnesty International juga menyatakan Israel adalah sebuah negara aparteid dan ini secara tidak langsung mengubah persepsi dunia terhadap Israel dan mereka mula sedar bahawa Palestin sebenarnya dijajah dan bukanlah sekadar konflik antara Arab dan Yahudi. Dan ini sebenarnya telah membuatkan geng Pro-Israel terutama di Amerika Syarikat dan Britain tidak duduk senang.

Disebabkan mereka tak boleh menghalang pengeluaran laporan yang dikeluarkan oleh Amnesty International, Israel telah menyelar laporan tersebut dengan mengatakan bahawa laporan itu salah, bias serta anti-Semitik. Bagi Menteri Luar Negeri Israel, Yair Lapid pula mengatakan,

“Another radical organisation which echoes propaganda without seriously checking the facts”

Yair Lapid telah menuduh Amnesty bersikap pilih kasih dan sengaja untuk menjatuhkan Israel. Tetapi Amnesty hanya membiarkan sahaja tuduhan tidak berasas dan mereka menyatakan yang mereka sentiasa menyatakan sebarang kecurangan terhadap hak asasi manusia di seluruh dunia seperti yang dilaporkan pada Mei 2020 bahawa kempen Myanmar terhadap Rohingya itu dikira Apartheid.

American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) yang bertindak sebagai pelobi yang terbesar di Amerika Syarikat mengatakan, “Misguided and backward looking effort to vilify Israel” terhadap Amnesty.

Laporan yang dibuat oleh Amnesty ini bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba tetapi satu definisi logik yang merujuk kepada penubuhan negara Yahudi secara majoriti di tengah-tengah populasi orang Arab. Sejak Palestin dijajah pada 1948, Zionis telah melakukan perkara termasuklah perampasan, pembunuhan secara terbuka dan pemisahan antara Arab Palestin dan Yahudi.

Ditambah lagi dengan tiada sebarang dakwaan terhadap askar Israel sejak peristiwa Intifada Pertama 1987. Kalau ikutkan seramai 370 serangan oleh penjajah telah dilaporkan pada 2021, dan 120 darinya telah menyebabkan kematian. Tapi keadilan atau undang-undang tidak terpakai untuk Israel. Undang-undang hanya terpakai buat rakyat Palestin. 

Jadi persoalan, kenapa Israel begitu terganggu dengan laporan Amnesty International sedangkan mereka sudah mendapat sokongan bukan sahaja dari Eropah dan Amerika Syarikat tetapi dari India, Rusia dan China dan rakan kongsi baru mereka sekarang iaitu rejim Arab?

Ada dua sebab yang baik untuk mereka ‘koyak’. Pertama sekali adalah persoalan identiti. Amnesty telah merompak sokongan yang telah diberikan kepada Israel yang menyatakan Israel adalah negara yang liberal di barat dunia. Ia memaksa Israel untuk memilih sama ada Zionisme atau nilai liberal, tetapi Israel lebih memilih Zionisme sepanjang masa.

Sebab kedua pula adalah ketika banyak negara menyokong Israel, rakyat dalam negara mereka tidak sekali bersama dalam menyokong Israel. Sokongan terhadap Palestin lebih dahsyat dari sebelum ini. Ini menyebabkan Israel semakin hilang sokongan dunia dan kerajaan yang menyokong mereka sekarang terpaksa menggunakan kuasa veto mereka untuk mengekalkan status quo yang ada.

Aparteid di Afrika Selatan di sokong lebih 40 tahun oleh kerajaan yang terpaling barat yang sekarang menyokong aparteid di Palestin. Sebenarnya banyak juga perbezaan antara Afrika Selatan dan ‘alat’ aparteid yang digunakan di Palestin.

Tidak seperti Afrika Selatan mempunyai African National Congress (ANC), Palestin kekurangan pemimpin yang mempunyai visi yang jelas. Mahmoud Abbas hanyalah ‘boneka’ dan tidak berani untuk berhadapan dengan rakyatnya dengan melakukan pilihanraya. 

Tetapi tidak pula pada anak muda Palestin yang membesar di Tebing Barat dan yang berada di luar dari Palestin. Generasi baru anak muda yang bertindak selaku aktivis ini hebat tapi sayangnya mereka tidak mempunyai pemimpin yang membawa aspirasi mereka. 

Israel selayaknya untuk gentar dengan laporan dari Amnesty International kerana sejarah tidak akan menyebelahi negara yang dibina atas penindasan. Israel memang layak diiktiraf sebagai negara pariah (pariah state).

 

RUJUKAN:

  1. Hafidzi Mohd Noor, Palestine Oppression Unrivalled, 2010, Palestine Centre of Excellence

  2. Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine, 2006, OneWorld Publication Limited

  3. Prof. Dr. Mohsen Mohammad Saleh, Summary of The Palestine Strategic Report 2020-2021, 2022, Al-Zaytouna Centre For Studies & Consultation