Adakah Indonesia Menyokong Israel?

Indonesia Normalisasikan Hubungan Dengan Israel?

Aug 05, 2022 06:33 am
.Gambar asal diambil daripada laman web CNN Indonesia

Oleh: Muhd Haikal Luqman bin Zulkefli

Betul ke pernyataan di atas? 

Atau ia hanya sekadar retorik untuk menaikkan kemarahan umat Islam? Maaflah kalau terpanjang sikit. Harap sudi baca. 

Kita tahu bahawa Indonesia adalah antara negara Islam yang lantang dalam memperjuangkan isu Palestin. Tetapi, berita yang boleh baca melalui pautan berikut; https://l.facebook.com/l.php... mungkin meresahkan sebahagian dari kita. Sebelum kita membuat sebarang spekulasi, adalah lebih baik untuk kita mengambil tahu berkenaan dasar luar Indonesia terhadap konflik Palestin-Israel.

Semenjak Indonesia merdeka dari penjajahan Belanda pada Disember 1949, Israel telah cuba untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Indonesia. Cubaan mereka yang pertama adalah apabila mereka mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno dan Menteri Luar Indonesia, Muhammad Hatta di atas kejayaan menuntut kemerdekaan dari Belanda. 

Kemudian, Israel juga telah mengiktiraf sepenuhnya Indonesia sebagai sebuah negara baru pada Januari 1950. Hatta telah respon dengan ucapan terima kasih tapi dalam masa yang sama Indonesia tidak mengiktiraf negara haram Israel. 

Cubaan Israel seterusnya adalah dengan menyatakan ada satu misi yang 'baik' untuk kebaikan Indonesia dan mengajak Indonesia untuk bertemu tapi Indonesia telah menangguhkan pertemuan ini. Indonesia ketika era Sukarno lebih menyokong negara Arab kerana mereka telah mengiktiraf Indonesia sebelum Indonesia jadi sebuah negara lagi pada 1949.

Rakyat Indonesia ketika itu adalah majoriti Muslim dan Indonesia memerlukan sokongan negara-negara Arab dalam mendapatkan kawasan barat New Guinea yang tidak dipulangkan oleh Belanda selepas peralihan kuasa. 

Sukarno ketika itu mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Pan-Arabism iaitu Gamal Abdul Nasser yang juga merupakan Presiden Mesir. Paling menarik, Indonesia pernah mengacarakan sebuah temasya sukan yang dinamakan GANEFO (Games of The New Emerging Forces) sebagai tindak balas kepada IOC yang menarik hak Indonesia sebagai tuan rumah untuk Sukan Asia.

Walaupun Islam adalah agama yang dianuti secara majoriti di Indonesia, tetapi dasar luar Indonesia terhadap isu Palestin tidaklah mempunyai nilai Islam melainkan ia telah dipengaruhi oleh 'dialectical idea' dunia. Sukarno percaya kuasa dunia terpecah kepada dunia iaitu New Emerging Forces (Nefos) dan Old Established Forces (Oldefos).

Ia dikuatkan lagi dengan Pancasila yang menekankan perpaduan negara dan theistik tapi 'non-sectarian secularism'. Inilah yang telah mempengaruhi pandangan Sukarno terhadap dunia. Indonesia bersama negara Arab kerana Israel disokong oleh Oldefos sedangkan Indonesia adalah Nefos.

Apabila Indonesia berpindah kepada Soeharto, asas prinsip kepada dasar luar Indonesia tetap sama; Indonesia menolak penjajahan Israel dan menyokong hak rakyat Palestin untuk mempunyai sebuah negara merdeka. Berbeza dengan Sukarno, Soeharto membawa pendekatan lebih 'moderate'.

Selepas perang Arab-Israel 1967, Indonesia pernah cuba untuk mengadakan rundingan terus antara negara-negara Arab dan Israel tapi ketika itu negara-negara Arab masih 'panas' dengan Israel. 

Indonesia juga tidak menyatakan solidariti kepada mana-mana pihak ketika konflik Arab-Israel pada 1973 kerana negara Arab ketika itu mengenakan embargo untuk minyak yang dieksport kepada negara-negara yang menyokong Israel termasuk Amerika Syarikat (AS).

Pada masa yang sama, selepas 1968 syarikat minyak terbesar dari Texas, Mobil Oil (kemudian dikenali sebagai ExxonMobil) telah beroperasi di Indonesia dan bekerjasama dengan Indonesian National Oil Company (Pertamina) sebagai Production Sharing Contractor untuk Pertamina. 

Apabila Organization of Petroleum Exporting Countries (OPEC) bersetuju untuk menaikkan kadar minyak eksport sebanyak 10 peratus pada Oktober 1975, Indonesia hanya menaikkan sebanyak 1.6 peratus walaupun telah bersetuju selepas persidangan OPEC di Doha pada Disember 1976.

Ini menunjukkan Soeharto bukan saja tak berminat dengan konflik Arab-Israel tetapi beliau tidak mengambil perhatian secara serius untuk segala macam isu di Timur Tengah berbanding Sukarno.

Hubungan rahsia antara Indonesia di bawah Soeharto dan Israel bermula apabila Israel mengalahkan negara-negara Arab dalam perang 1967. 

Panglima tertinggi dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) sangat kagum dengan kekuatan ketenteraan Israel Menteri Luar Indonesia ketika itu, Adam Malik telah dalam saluran rahsia telah berhubung dengan Israel untuk menerima dasar luar rasmi Indonesia di mana dasar mereka lebih kepada pro-Arab untuk memenuhi keperluan domestik.

Segala perhubungan ini sangat dijaga kerana ia boleh memberi kesan kepada pendapat umum Indonesia terhadap kerajaan. Tahun demi tahun, hubungan Indonesia-Israel semakin terbuka.

Kita boleh tengok apabila rakyat Indonesia yang mempunyai pasport biasa dengan kulit berwarna hijau dibenarkan untuk masuk ke Israel pada 1983 manakala pemegang pasport Indonesia yang merupakan staf kerajaan yang dikenali sebagai paspor dinas boleh memasuki Israel tanpa sekatan.

Pada tahun 1994, empat orang pemimpin Islam Indonesia, termasuklah Abdurrahman Wahid dijemput untuk menghadiri satu seminar di Israel yang telah dilakukan oleh Harry S. Truman Institute dan menyaksikan perjanjian Israel-Jordan. 

Sukarno sudah, Soeharto pun sudah, jadi bagaimana pula dengan BJ Habibie?

BJ Habibie lebih berminat dengan isu dalaman negara. Lagi pula waktu tu, sentimen dalam kalangan orang Islam telah memuncak terhadap Yahudi dan Israel disebabkan oleh kenyataan Tun Mahathir, PM Malaysia ketika itu yang menuduh Geoge Soros, seorang pelabur berbangsa Yahudi, adalah dalang kepada krisis kewangan Asia.

Selepas Habibie, pentadbiran Wahid dan Megawati meneruskan dasar luar untuk menyokong Palestin dan memaksa Israel untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Abdurrahman Wahid pernah bercadang untuk ke Tel Aviv berbincang untuk mengadakan hubungan diplomatik bersama Israel tetapi ditentang hebat dari dalam kerana Alwi Shihab selaku Menteri Luar Indonesia waktu itu menyatakan Indonesia takkan berbaik dengan Israel selagi Israel tak iktiraf Palestin.

Selepas Wahid 'disingkirkan' dari kedudukannya sebagai Presiden Indonesia, Megawati yang merupakan anak Soekarno pula mengambil alih. Megawati juga sama seperti ayahnya yang tidak akan mengiktiraf Israel dan akan terus menyokong Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Walaupun Indonesia tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel tetapi Indonesia sering berhubung dengan Israel berkaitan perdagangan luar, keselamatan dan pelancongan. Indonesia juga agak berat untuk menormalisasikan hubungan bersama Israel kerana tentangan kuat dari rakyatnya, yang mana sebanyak 85 peratus adalah Islam. 

Jadi Indonesia akan teruskan sahaja hubungan tak direstui ini dengan formula seperti tentangan terhadap Israel yang retorik dan 'sub rosa economic' serta hubungan politik. Kerana mereka tahu ini sahaja yang mampu mengekalkan kuasa dan keamanan di Indonesia.

Moga kita terus kuat dalam memberi tentangan kepada Israel dan sekutunya demi membebaskan Baitul Maqdis.

Wallahu a'lam.

 

RUJUKAN:

1. Bickerton, I.J. and C.L. Clausner, 2007, A History of Arab-Israeli Conflict, New Jersey: Pearson Prentice Hall

2. John, J.M. and Stephen, M.W, 2007, The Israel Lobby And US Foreign Policy, Farrar, Straus and Giroux: New York

3. Brown, D., 1995, The States and Ethnics Politics in Southeast Asia. New York: Routledge

4. Hudson, V.M., 2007, Foreign Policy Analysis: Classic and Contemporary Theory, Rowman & Littlefield Publisher, Inc.

5. Robinson., R. (eds), Politics and Markets in the Wake of The Asian Crisis, London: Routledge