Pihak berkuasa Israel melancarkan ops serangan dan tahanan di beberapa kawasan berasingan di Tebing Barat. Pertempuran antara askar Israel dan rakyat Palestin berlaku di beberapa tempat berikutan pasukan askar meningkatkan serangan mereka.
Kelab Tahanan Palestin menyatakan pasukan tentera Israel telah menangkap beberapa pemuda Palestin setelah menyerbu rumah mereka. Seorang pemimpin gerakan HAMAS juga ditahan dengan alasan telah menyertai siri penentangan terhadap warga Israel dan pihak berkuasa.
Pada masa yang sama di wilayah Hebron, sebilangan rakyat Palestin mengalami sesak nafas akibat bom gas beracun yang dilepaskan oleh rejim Zionis di Bandar Dura. Manakala di kem pelarian Deisheh di Betlehem, beberapa pemuda cedera semasa pertempuran meletus di antara pihak mereka dengan pasukan Zionis.
Sementara itu di Nablus, pasukan Zionis menyerang sebuah rumah milik seorang rakyat Palestin dengan memecahkan tingkap tiga buah kenderaan dan berdepan dengan keluarga mangsa sehingga mencetuskan pergelutan. Pasukan rejim Zionis melepaskan peluru dan gas pemedih mata secara meluas sehingga mencederakan beberapa orang awam.

