Sembilan buah negara Eropah telah mengumumkan bahawa mereka mahu meneruskan kerjasama dengan enam organisasi Palestin yang diklasifikasikan oleh Israel sebagai pengganas. Kerjasama ini diteruskan kerana ketiadaan bukti yang mengukuhkan dakwaan Israel berkenaan organisasi itu sebagai pengganas. Sembilan negara tersebut ialah Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden.
Jurucakap kementerian luar negara-negara tersebut dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tuduhan keganasan atau hubungan dengan kumpulan pengganas mesti ditangani dengan serius tanpa sebarang pengecualian. Israel harus memeriksa tuduhan yang dilemparkan dengan teliti. Selain itu, sembilan negara tersebut tidak menerima sebarang maklumat penting daripada Israel yang membolehkan penarikan semula dasar terhadap enam organisasi tersebut. Mereka juga akan meneruskan sokongan tanpa syarat buat organisasi-organisasi berkenaan.

