Akhbar antarabangsa, Asharq al-Awsat yang berpangkalan di London melaporkan bahawa halangan yang merencatkan perjanjian pertukaran tahanan antara pejuang Palestin dan Israel adalah keengganan mereka membebaskan tahanan lama Palestin.
Jurucakap Briged Izzuddin al-Qassam telah mengesahkan bahawa kesihatan salah seorang tahanan Israel merosot tetapi Israel menganggap pengumuman itu sebagai sebahagian daripada perang psikologi yang dilancarkan oleh HAMAS. Tambahan pula, Israel terpaksa ke Mesir untuk mengesahkan maklumat tersebut. Bagaimanapun Briged Izzuddin al-Qassam telah menyiarkan video tahanan Israel, Hisham al-Sayed untuk membuktikan kesahihan pengumumannya.
Israel mendakwa Hisham al-Sayed bukanlah seorang tentera tetapi orang awam. Namun, kad transit yang turut ada bersama kad tentera semasa tayangan klip video membuktikan bahawa identiti Hisham al-Sayed sebagai seorang tentera. Kad tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan tentera Israel dihantar ke pangkalan secara percuma tanpa melibatkan campur tangan rakyat biasa.

