Home Artikel Post View

Sejarah Bahasa Semitik

Jun 29, 2022 09:37 am
Picture: credit to owner

Oleh: Nur Fatimah Amran

Apa itu bahasa semitik dan siapa penuturnya?

Bahasa semitik ialah satu cabang dari rumpun bahasa Afro-Asia yang dipertuturkan lebih dari 330 juta orang terutama di kawasan Asia Barat, Tanduk Afrika, Utara Afrika, Barat Afrika dan Malta. Bahasa semitik ini termasuklah bahasa Arab, bahasa Amharic, bahasa Tigrinya, bahasa Aram, bahasa Malta dan bahasa Ibrani moden. Bahasa Semitik berkongsi sebahagian ciri-ciri tatabahasa seperti morfologi/pembentukan kata yang berubah dan tulisan yang ditulis dari kanan ke kiri seperti bahasa Arab dan bahasa Ibrani Moden. Sementara Malta satu-satunya penutur bahasa semitik yang menggunakan tulisan latin.

Kenapa bahasa-bahasa ini dikategorikan dalam satu keluarga iaitu semitik, dan dari mana berasal nama semitik ini?

Nama semitik dicipta oleh ahli filologi Jerman, August Ludwig von Schlözer, sekitar tahun 1780-an. Beliau ialah seorang dari ahli kumpulan sejarah di Sekolah Sejarah Gottingen, Jerman, yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan asas saintifik untuk bidang penyelidikan sejarah. Istilah semitik digunakan sempena nama anak nabi Nuh, Sam, yang merupakan nenek-moyang kepada orang Israel, Aram dan Arab.

Kenapa muncul sentimen anti-semitik di negara Arab sedangkan orang Arab sendiri dikategorikan sebagai bangsa yang menggunakan bahasa semitik?

Istilah anti-semitik pertama kali digunakan pada tahun 1860 oleh cendekiawan Yahudi-Austria Moritz Steinschneider. Beliau menggunakannya dalam frasa “prejudis anti-semitik” terhadap pandangan salah ahli falsafah Perancis, Ernest Renan, tentang bangsa Semit - secara keseluruhan - lebih rendah dari bangsa Aryan.

Kemudian pada awal abad ke-19, Heinrich von Treitschke, sejarawan Jerman, menggunakan istilah semitik kepada orang Yahudi dalam melabelkan Yahudi sebagai sesuatu yang malang dan penggunaan anti-semitik menjadi semakin meluas dalam budaya Jerman. Bagaimanapun, penggunaan ini mengelirukan di era moden. Secara sejarahnya, sentimen anti-semitik dicipta oleh orang Jerman dalam melakukan penentangan terhadap orang Yahudi di negara mereka. Manakala secara pengertian semitik sebenar ianya salah, kerana semitik merujuk kepada penutur bahasa Arab, Tigrinya dan Malta. Bukan sahaja orang Yahudi yang bertutur bahasa Ibrani Moden atau hanya Yahudi secara keturunan.

Okay sekarang pula, apa itu Zionis?

Zionisme adalah suatu ideologi dan gerakan yang menyokong penubuhan tanah air untuk orang Yahudi yang berpusat di tanah Kanaan. Tanah Kanaan itu bermula dari kawasan selatan sungai Nil sampai ke kawasan utara berdekatan Anatolia. Secara tepatnya adalah Palestin yang dijajah sekarang. Orang Zionis percaya Judaisme bukan sahaja suatu agama tetapi juga kewarganegaraan, di mana orang Yahudi berhak mendapat negeri mereka sendiri di tanah air nenek moyang mereka, Bani Israel, dengan cara yang sama orang Perancis berhak mendapat Perancis atau orang Cina sepatutnya memiliki China. Itulah yang membawa orang Yahudi kembali ke Israel pada mulanya.

Jadi, kita sebagai umat Islam yang memperjuangkan isu Palestin, perlulah cakna dengan perbezaan penggunaan anti-semitik dan anti-zionist. Kita anti Zionist dan bukan anti semitik. Adakah kita mahu ikut sejarah penggunaan orang-orang Nazi terhadap istilah anti semitik dalam menentang orang Yahudi, atau penggunaan anti Zionist yang sememangnya merujuk kepada kumpulan radikal Yahudi yang berideologi Zionisme?

Related