Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan keperluan kepada masyarakat antarabangsa untuk terus menyokong pelarian Palestin dengan memberikan sokongan politik dan kewangan kepada United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) bagi menangani masalah kekurangan bajet yang semakin kritikal.
Ini berlaku semasa persidangan tahunan penderma UNRWA yang diadakan buat kali pertama sejak bermulanya pandemik Covid-19.
Kepentingan mengadakan persidangan ini menjadi keutamaan sebelum penerimaan dan pelanjutan mandat UNRWA.
Negara-negara penderma sebulat suara menyokong peranan UNRWA dalam menyediakan bantuan kepada pelarian Palestin bagi semua bidang operasinya. Peranan penting UNRWA dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk pelarian, terutamanya dalam krisis ekonomi semasa global tidak harus diketepikan sehingga mereka berjaya mencapai penyelesaian politik yang adil.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres menegaskan bahawa pelaburan terhadap UNRWA bermakna jaminan untuk kestabilan di rantau ini.

