Akhbar antarabangsa, Asharq Al-Awsat, melaporkan bahawa Barbara A. Leaf, pegawai diplomatik kanan hal ehwal Timur Tengah di Jabatan Negara Amerika Syarikat akan tiba di Palestin esok untuk bertemu pegawai Israel dan Palestin, sebelum lawatan Presiden AS, Joe Biden ke rantau ini.
Berdasarkan maklumat yang dipercayai, matlamat utama lawatan Barbara A. Leaf adalah untuk menenangkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung komitmen Amerika terhadap isu Palestin dan penyelesaian dua negara selepas panggilan telefon yang tegang di antara Abbas dan Setiausaha Negara AS ,Tony Blinken. Dalam perbualan tersebut, Mahmoud Abbas menyatakan kekecewaannya yang mendalam terhadap dasar AS terhadap konflik Palestin-Israel, menuduh pentadbiran Presiden Joe Biden meninggalkan komitmen yang dibuat kepadanya.
Lawatan ini dibuat selepas kegagalan inisiatif pentadbiran tersebut untuk mengadakan sidang kemuncak tiga pihak AS-Palestin-Israel selepas Israel menolak cadangan itu.

