Home Berita Post View

Malam Yang Gempar Di Tebing Barat

Apr 22, 2022 10:43 am

Beberapa orang pemuda telah melancarkan aktiviti rusuhan pada waktu malam di kota Nablus. Tindakan yang diambil itu telah mengakibatkan berlakunya pertembungan di beberapa kawasan yang terletak di Tebing Barat.

Pasukan pejuang Palestin melepaskan tembakan ke arah pos penempatan Evitar yang dibina di atas Bukit Sabih. Bukit ini terletak di bandar Beita, selatan kota Nablus. Tujuan aktiviti rusuhan ini dilancarkan di Bukit Sabih adalah sebagai penghormatan bagi para tahanan, darah para pejuang yang telah tewas, dan mereka yang mengalami kecederaan sepanjang berjuang. Aktiviti ini juga merupakan simbolik sokongan terhadap Masjid al-Aqsa, kota Jenin, serta perjuangan yang dipertahankan oleh mereka selama ini. Sepanjang rusuhan ini berlaku, para pemuda telah menyalakan obor lalu membakar tayar getah dan menggunakan lampu laser serta lampu suluh berkuasa tinggi bagi mengelirukan warga Israel dan pasukan tentera Israel yang berkawal di pos penempatan tersebut.

Di samping itu, beberapa pertembungan antara para pemuda Palestin dan pasukan tentera Israel tercetus di Qalqilya. Kejadian ini berlaku rentetan daripada tindakan pasukan tentera yang melepaskan peluru logam dan membaling gas beracun secara rawak ke arah orang awam. Selain itu, dalam sebuah pertembungan yang berlaku di Hebron, para pemuda Palestin membaling batu ke arah pasukan tentera yang pada ketika itu sedang menyerbu masuk kota tersebut.

 

Related