Beberapa orang pemuda Palestin telah mengalami kecederaan akibat ditembak oleh pasukan tentera Israel. Mereka ditembak di kawasan berasingan yang terletak di Tebing Barat dan al-Quds.
Di Jenin, dua orang pemuda mengalami kecederaan yang parah semasa pertembungan dengan pasukan tentera Israel yang berlangsung di bandar Yamun. Salah seorang daripada mangsa ditembak di bahagian kepala dan leher manakala seorang lagi ditembak di bahagian belakang tubuh.
Di bandar Tur yang terletak di al-Quds pula, seorang pemuda telah ditembak ketika berlakunya pertembungan antara para pemuda Palestin dan pasukan tentera Israel. Dalam masa yang sama, sebuah pertembungan juga berlaku di kawasan kejiranan Jabel Mukaber yang terletak di timur bandar tersebut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Di samping itu, seorang pemuda telah ditembak dengan peluru hidup pada waktu malam. Beliau ditembak oleh penembak tepat pasukan tentera Israel yang ditempatkan di bumbung bangunan-bangunan rumah semasa pertembungan dengan pasukan tentera berlangsung di pusat bandar Hebron. Pertembungan ini berlaku ekoran daripada sekatan yang dikenakan ke atas perarakan aman bagi memperingati Hari Tahanan Palestin.

