Home Artikel Post View

Ada Apa Dengan Mogok Lapar Yang Dilancarkan Oleh Tahanan Palestin?

Apr 08, 2022 04:58 am
Kredit kepada pemilik gambar

Haikal Zulkefli

Sejak sebulan lalu, kisah rakyat Palestin yang ditahan Israel kembali mendapat tempat di hati kita semua selepas enam daripada mereka berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Jalbua (Gilboa) yang diselenggara oleh Israel. Sejak itu, pihak Israel berasa malu kerana tindakan enam orang tahanan ini mencemarkan maruah dan ego mereka. Pemburuan dilakukan dan tahanan ditahan semula.

Penahanan semula para tahanan ini tidak bermaksud Israel telah menang kerana enam orang tahanan tersebut telah melancarkan mogok lapar terhadap pengurusan tahanan Israel yang tidak memberikan mereka hak yang sepatutnya sebagai seorang tahanan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ramai dari kita mungkin tertanya-tanya kenapa tahanan Palestin ini melakukan mogok lapar? Adakah tindakan mogok lapar ini mampu menekan Israel untuk memberikan hak kepada para tahanan atau ini hanya sebagai simbolik kepada kebangkitan atas ketidakadilan Israel terhadap rakyat Palestin? Sebenarnya secara umumnya, mogok lapar ini adalah satu tindakan yang telah banyak dilakukan oleh tokoh serta aktivis dunia dalam menekan sesuatu pihak untuk mendapatkan apa yang mereka ingini.

Rakyat Palestin telah mula melancarkan mogok lapar bermula pada tahun 1969 di mana ketika itu ramai tahanan dari kalangan ahli politik Palestin telah ditahan di sebuah penjara di Ramle. Penahanan ahli politik ini adalah kerana Israel cuba untuk mematikan revolusi yang berlaku ketika mana mereka telah merampas pelbagai hak yang ada pada rakyat Palestin selepas perang yang berlaku pada 1967. 

Sepanjang 11 hari penahanan yang dikenakan, ahli politik yang telah ditahan ini melancarkan mogok lapar kerana hak asasi mereka telah dicabuli seperti pemberian makanan yang kurang berkualiti, perlu menggelarkan pihak berkuasa Israel sebagai “Tuan” dan beberapa perkara lain. Ini adalah titik permulaan tindakan mogok lapar yang dilakukan oleh tahanan Palestin.

Apa sebenarnya hak yang perlu diberikan oleh pihak Israel kepada tahanan Palestin?

Dalam Akta Hak Asasi Manusia Artikel 3 menyatakan,

“No State may permit or tolerate torture or other cruel, inhuman or degrading treatment or punishment. Exceptional circumstances such as a state of war or a threat of war, internal political instability or any other public emergency may not be invoked as a justification of torture or other cruel, inhuman or degrading treatment or punishment.”
 

Petikan di atas jelas menyatakan bahawa tahanan yang ditahan perlu diberi hak asasi mereka sebagai manusia dan tidak boleh diseksa sebagaimana mereka ini adalah bukan manusia atau yang melanggar sebarang norma manusia itu sendiri. 

Hak asasi seorang tahanan yang tidak boleh ditarik dari mereka termasuklah makanan dan minuman, hak untuk mendapatkan peguambela untuk mempertahankan dirinya, perlindungan dari penyeksaan, kekasaran dan gangguan perkauman.

Mogok lapar ini bukanlah kerana mereka memilih untuk makan atau minum, tetapi kerana kualiti layanan yang sepatutnya mereka terima tidak dilunaskan. Mereka diseksa mental dan fizikal dengan diasingkan dari tahanan yang lain serta tidak diberikan hak untuk diadili di mahkamah atas kesalahan yang mereka sendiri tidak tahu. Yang pasti, mereka tahu bahawa penahanan mereka adalah kerana mereka melawan ketidakadilan dan kezaliman penjajah Israel.

Ada juga yang bertanya sama ada mogok lapar ini dikira menzalimi diri sendiri atau sebuah jihad?

Memetik jawapan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam sebuah buku bertajuk Fatwa Palestin, beliau mengatakan bahawa,

“Tahanan boleh menyelamatkan diri dengan melakukan percubaan mogok lapar. Ini adalah salah satu cara yang menyebabkan penjajah berasa marah dan bengang. Setiap perkara yang menyebabkan orang kafir berasa marah adalah perkara yang dipuji oleh syarak.”

Beliau mengatakan lagi,

“Cara itu membantu mereka mendapatkan kembali hak-hak mereka. Perkara itu elok di sisi syarak selagi tidak membawa mudarat kepada diri sendiri. Ia boleh dilakukan sekiranya tidak membawa kepada kebuluran dan kematian.”

Jadi kita boleh faham di sini bahawa ia adalah sebuah jihad jika ia tidak membawa kepada sebarang kemudaratan kepada nyawa. Kesan dari mogok lapar ini rata-ratanya positif dan hanya sebilangan kecil yang tidak dilayan oleh penguasa haram Israel.

Sejak 1967, seramai 72 tahanan politik Palestin telah mati kerana diseksa dengan kejam oleh penguasa tahanan Israel menurut sebuah kumpulan yang membela tahanan di Jerusalem bernama Addameer.

Bermula tahun 1980 dan seterusnya, penguasa tahanan Israel telah memilih untuk memaksa para tahanan makan melalui tiub hidung, yang telah menyebabkan kematian beberapa tahanan Palestin.

Inilah bukti kekejaman mereka. Sudahlah hak tidak diberikan sebaiknya, malah mereka memaksa dan membunuh tahanan Palestin yang tidak bersalah. Mogok lapar ini adalah antara pilihan terakhir yang dapat dilakukan oleh tahanan Palestin untuk memastikan bahawa hak yang sepatutnya mereka dapat diberi dengan seadilnya, bukan untuk menzalimi diri. 

Moga Tuhan terus menguatkan kita dan rakyat Palestin untuk terus berjuang melawan penjajah yang durjana.

 

SUMBER MEDIA:

1 Garis Masa Mogok Lapar Beramai-ramai Palestin

Garis masa untuk mogok lapar besar-besaran rakyat Palestin di Israel | Berita Hak Asasi Manusia | Al Jazeeraa

2. Tahanan Pentadbiran

 Tahanan Pentadbiran | B'Tselem (btselem.org)

3.OHCHR | Israel: Lepaskan atau dakwa lima mogok lapar rakyat Palestin

 OHCHR | Israel: Bebaskan atau dakwa lima penyerang lapar Palestin – pakar PBB

4. Undang-undang Antarabangsa Hak Asasi Manusia

OHCHR | Undang-undang antarabangsa

SUMBER BUKU RUJUKAN:

1. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Fatwa Palestine, 2014, PTS Islamika Sdn. Bhd.

2. Gregory Harms, The Palestine-Israel Conflict: A Basic Introduction, 2005, Pluto Press





 

Related