Home Artikel Post View

Gaza Menghadapi Coronavirus (COVID-19)

Jul 06, 2021 01:37 am
Gambar asal diambil daripada laman web BBC News

Dunia ketika ini sedang menghadapi krisis kesihatan antarabangsa yang bermula pada bulan Disember 2019. Tidak seperti apa yang pernah disaksikan di mana-mana, Coronavirus (COVID-19) telah merebak ke seluruh pelosok dunia.

 Virus yang pertama kali muncul di Wuhan, China, telah tersebar merentasi negara melalui penerbangan dari China yang mendarat di seluruh dunia. Salah satu negara terbabit ialah Kerajaan Arab Saudi yang menjadi tumpuan ribuan umat Islam bagi mengerjakan umrah di Baitullah. Virus itu telah tersebar dengan meluas hingga ke Palestin. Penyebarannya berlaku dengan sangat pantas, tidak seperti virus-virus lain, terutama melalui jemaah umrah.

Pada awalnya, virus itu tidak mengancam Semenanjung Gaza, dengan penduduknya menjalani kehidupan seharian seperti biasa, menerima kedatangan petiba dengan pemeriksaan kesihatan rutin. Walau bagaimanapun, kini, Kementerian Kesihatan khuatir virus tersebut telah memasuki Semenanjung Gaza daripada petiba-petiba yang tidak di kuarantin atau yang tidak melaporkan keadaan mereka yang telah dijangkiti.

Kerajaan di Gaza, yang telah memerintah Semenanjung itu dan telah berada di bawah kepungan sejak tahun 2007, telah mengambil semua langkah pencegahan bagi mengekang penyebaran dan jangkitan virus itu terhadap penduduk Gaza. Penutupan semua sekolah dan universiti telah dilaksanakan di bawah arahan langsung daripada Mahmoud Abbas, Presiden PLO. Sebanyak 21 buah pusat kuarantin telah dibuka bagi menempatkan petiba, yang bilangannya telah mencecah 2,067 orang sehingga 26 Mac 2020, termasuklah kanak-kanak, wanita, golongan tua, dan pekerja di pusat terbabit.

 Menurut Khalil Al-Hayya, anggota Biro Politik Hamas, Pergerakan tersebut menumpukan segenap kekuatan dan keupayaannya bagi menghalang penyebaran penyakit tersebut dan menyelamatkan penduduk Semenanjung Gaza yang hidup di bawah kepungan.

Di sebalik sekatan mendesak yang dihadapi oleh Kerajaan sekarang akibat daripada pertikaian politik sedia ada, sumber rasmi menyatakan bahawa Pusat Inisiatif Strategik PALM berjaya menyediakan perkara berikut:

1. 20,000 bekalan makanan.

2. 991 katil.

3. 2,363 selimut tebal.

4. 2,006 tilam.

5. 1,640 bantal.

6. 160 pelapik.

7. 973 pelapik tilam terma.

8. 198 peranti elektrik (2 peti sejuk, 12 mesin basuh, 40 pemanas, 138 pemanas air, dan 6 kipas).

Beberapa organisasi masyarakat sivil telah berusaha melindungi penduduk dan menyediakan bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka menghadapi ancaman virus itu. Usaha ini juga bertujuan mencegah krisis kemanusiaan daripada berlaku akibat pengangguran di Semenanjung Gaza.

Sayap ketenteraan Hamas, Al-Qassam, turut mengkhususkan peralatan mereka bagi menyedia dan mendirikan 1,000 bilik kuarantin bagi pesakit yang dibina dalam waktu yang singkat. Puak-puak lain turut mengumumkan kesediaan mereka menyokong Kementerian Kesihatan menentang virus tersebut.

Di sebalik pelbagai langkah perlindungan yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, Yusuf Abul-Reesh, Timbalan Menteri Kesihatan, mengumumkan pada hari Selasa, 22 Mac bahawa dua kes telah disahkan dijangkiti COVID-19. Kedua-dua pesakit tersebut telah kembali dari Pakistan atas urusan dakwah. Keadaan ini menimbulkan kekhuatiran pada Kementerian Kesihatan yang mengisytiharkan keadaan darurat.

Pasukan keselamatan juga turut membantu petugas kesihatan dengan menghalang penghuni pusat kuarantin daripada keluar dan mengawal lokasi mereka. Pasukan tersebut turut menawarkan bantuan yang diperlukan di samping mengambil langkah perlindungan bagi melindungi diri daripada virus. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengumumkan tujuh jangkitan baharu di kalangan anggota keselamatan yang terlibat dengan dua kes terdahulu. Keputusan ujian didapati positif, namun mereka masih belum menunjukkan sebarang gejala.

Kesemua restoran, masjid, dan kafe di Semenanjung Gaza ditutup bagi mengekang penularan virus tersebut. Di samping itu, mengenakan perintah berkurung merupakan suatu kaedah pilihan buat masa terdekat.

Semenanjung Gaza akan menghadapi suatu krisis yang besar sekiranya berlaku penularan virus akibat daripada ketiadaan dan kekurangan keupayaan untuk mengawalnya. Sektor kesihatan mengalami sejumlah 45% defisit, dan bilangan ventilator tersedia ialah sebanyak 120 buah (jumlah keseluruhan daripada kesemua institusi awam dan swasta sektor kesihatan).

Sebagai tambahan, penduduk Gaza tidak menyedari ancaman virus tersebut kerana mereka belum pernah mengalami perkara seumpamanya sebelum ini. Keadaan ini akan mengakibatkan bencana yang dahsyat, seperti yang dinyatakan oleh Jamie McGoldrick, koordinator kemanusiaan PBB bagi wilayah Palestin yang diduduki, yang menzahirkan kebimbangan dan ketakutannya berkenaan Semenanjung Gaza yang terlalu padat.

Ditengah-tengah kemelut yang merunsingkan, Presiden Abbas sepatutnya telah mengangkat sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza agar rakyat dapat menangani krisis tersebut dengan berkesan dan cekap.

Tambahan pula, dunia, yang telah menyokong kepungan selama 13 tahun pendudukan di Semenanjung Gaza, harus mengikut jejak langkah Turki dan Qatar yang menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai dana, projek, dan peralatan perubatan bagi mencegah dan menghentikan penularan virus global daripada memudaratkan mereka.

Universiti Islam Gaza mengumumkan bahawa Turki telah memberikan lampu hijau kepada Kementerian Kesihatan bagi menggunakan Hospital Turki serta peralatannya dalam menghadapi virus terbabit.

             Kami berdoa semoga Allah SWT menyelamatkan umat Islam daripada wabak dan sebarang penyakit atau kemudaratan

Related