Home Artikel Post View

Ilmu Adalah Jalan Menuju Kebebasan

Jul 06, 2021 12:58 am

Ibrahim Saqr Alzaeem

 

Di salah satu lobi di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya di Kuala Lumpur, para pelajar berkumpul di sudut warisan Palestin. Ada seorang pengunjung yang sedang melihat kota-kota Palestin, pengunjung yang kedua sedang melihat pakaian-pakaian Palestin, yang ketiga sedang mencuba makanan popular Palestin dan semua pengunjung sedang menikmati persembahan dari anak-anak muda Palestin.

Pesta ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar universiti, terutamanya, pelajar-pelajar pengajian tinggi dengan kerjasama bahagian Pentadbiran Akademi. Sudut Palestin yang ada di pesta ini dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Palestin dengan bantuan daripada pihak Kedutaan Palestin.

Kegembiraan boleh dirasai di seluruh ruang pada hari itu kerana ianya merupakan satu peluang untuk para pelajar bertemu secara langsung. Semua pengunjung berasa teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang budaya negara-negara Arab. Sudut Palestin mempunyai paling ramai pengunjung sehinggakan ada beberapa barangan yang dipamerkan habis dijual. Para pengunjung juga menikmati rasa makanan Palestin.

Saya telah diminta untuk menyampaikan satu ucapan bagi pihak Palestin. Selama beberapa minit, saya banyak berfikir tentang apa yang harus saya katakan. Namun, saya menyedari bahawa ilmu merupakan satu aset penting dalam perjuangan menentang penjajahan Israel dan oleh sebab itu, saya telah berbicara sedikit mengenai Al-Quds. Kemudian, saya telah memfokuskan tentang kepentingan meningkatkan kesedaran generasi pada masa kini berkaitan isu-isu umat Islam dan ianya adalah tanggungjawab keluarga, sekolah dan universiti untuk menyebarkan kesedaran tersebut.

Dalam satu perbincangan peribadi dengan Pentadbiran Akademi, saya telah mendesak mereka untuk mengambil inisiatif dengan merangkumkan satu kursus mengenai isu Palestin sebagai satu komponen di dalam kegiatan kokurikulum supaya perkara ini dilaksanakan dengan cara luar dari konvensional.

Ilmu bukan sesuatu tambahan; ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu, melihat kepada keadaan dan realiti kehidupan rakyat Palestin. Penderitaan yang dirasai oleh Al-Quds akibat daripada percubaan penyahudian harian, keadaan mengerikan para tahanan yang dilucutkan hak kebebasan, perampasan tanah di Tebing Barat, percubaan untuk mencuri sejarah, usaha untuk mengubah identiti tanah yang diduduki pada tahun 1948 serta pengepungan dan pencerobohan yang dikenakan ke atas Jalur Gaza adalah penting dan mesti dibincangkan.

Setiap isu tersebut, antara yang lain, adalah hasil daripada penjajahan Palestin. Ianya memerlukan masa yang lama dan banyak buku untuk dijelaskan dan ditangani. Oleh itu, saya sentiasa mempersoalkan setiap perkataan yang saya katakan dan cuba untuk memberi tumpuan pada maklumat yang paling penting mengenai isu-isu utama.

Saya rasa ini amat diperlukan. Setiap kali saya berjumpa dengan orang baru yang mengetahui bahawa saya dari Palestin, saya akan dihujani dengan pelbagai soalan. Ada beberapa soalan yang mudah tetapi ada beberapa soalan yang akan menggambarkan betapa berpengetahuannya orang itu. Saya akan cuba menjawab kesemua soalan tersebut dan setelah selesai, saya menyedari akan pentingnya ilmu pengetahuan.

Negara-negara Arab dan Islam boleh dikategorikan dari yang mengetahui tentang perjuangan Palestin secara asas kepada yang mengetahuinya secara terperinci. Mungkin, kita percaya bahawa orang-orang yang jahil itu bertanggungjawab terhadap kejahilannya. Namun begitu, jika melihat kepada realiti ummah, kita boleh melihat bahawa ini bukanlah tanggungjawab mereka sepenuhnya. Kuasa pemerintah dengan kuasa media dan badan-badan kebudayaan lebih bertanggungjawab ke atas kejahilan ummah dan ketidaksedaran mereka terhadap isu ini.

Jika kita sudah kehilangan harapan terhadap beberapa rejim, hari ini, lebih dari sebelumnya, kita mesti menyebarkan ilmu pengetahuan melalui pena, kamera, sekolah, universiti dan pesta.

Tanggungjawab itu adalah besar. Kejahilan rakyat bukanlah satu-satunya tanggungjawab mereka. Kita juga memainkan peranan jikalau kita tidak berusaha. Allah telah memberi pelbagai cara kepada kita. Kita tidak diminta untuk menjadi bagus dalam semua bidang tetapi kita diminta untuk menjadi bagus dalam beberapa bidang untuk menyebarkan kesedaran di kalangan rakyat.

Setiap pertemuan dengan orang membuat saya semakin yakin akan pentingnya apa yang saya lakukan dan berasa lebih terbeban. Namun, ini membuat saya lebih yakin bahawa rakyat Malaysia mempunyai kebaikan di dalam hati mereka dan juga semua ummah kita yang lain. Ini merupakan satu hak mereka untuk diperkenalkan tentang isu-isu berkaitan kiblat pertama mereka.

Ini adalah satu mesej kepada semua pegawai, tidak kira apa pun kedudukannya, untuk menyokong kebenaran. Cara itu tidak akan menjadi satu halangan jika kita berfikir dengan baik dan pengaruhnya tidak akan berkurangan jika kita mencari jalan yang betul. Oleh itu, adalah wajib untuk semua individu dan institusi untuk mengenalpasti kemampuan kita dan mencari cara untuk berkembang. Adalah penting untuk kita mempelajari bagaimana untuk menggunakan alat media dan menjalankan penyelidikan saintifik - agar dapat menyampaikan isu ini kepada masyarakat dengan pendekatan yang mereka ketahui. Jikalau masyarakat tersebut tidak bercakap menggunakan bahasa Arab, kita gunakan bahasa mereka; jika tidak, mesej yang disampaikan tidak berguna.


 

Related