Home Artikel Post View

Di manakah Gerak Balas Rakyat terhadap Pemulihan Semula?

Jul 05, 2021 11:40 pm

Ibrahim Saqr Alzaeem

          Saya tidak terkejut mahupun terperanjat melihat perjanjian pemulihan semula dengan pihak pendudukan Israel berlaku secara terbuka. Tiada apa yang benar-benar berubah; satu-satunya perbezaan ialah kita akan mendengar daripada media rasmi mengenai rakan yang dihormati dan baik (iaitu Israel) setelah mendengar rejim itu sesekali menyatakan mereka tidak akan berhenti sehingga mereka mengakhiri pendudukan Israel.

          Masyarakat umum sedia maklum bahawa beberapa negara mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pendudukan Israel, dan cakap-cakap kosong mengenai Palestin dan Al-Quds bertujuan memperdaya rakyat Palestin dan masyarakat mereka.

          Mengenai apa yang saya rasa, saya amat gembira melihat topeng telah terbuka dan wajah sebenar di sebaliknya dipertontonkan kepada umum. Golongan ini tidak akan memperbodohkan kita lagi. Keadaan ini merupakan permulaan suatu tahap baharu, yang diperlukan bagi pembebasan Palestin.

          Apa yang ingin saya nyatakan ialah kedudukan rakyat akibat kezaliman itu. Keadaan itu sudah pasti jauh daripada ancaman sebenar, jadi di manakah reaksi dan gerak balas bangsa Arab terhadap keputusan yang dibuat secara sendirian mengenai isu-isu penting?

          Tidak bolehkah suruhanjaya, parti, kesatuan dan institusi kebangsaan yang popular menentang keputusan kelas politik tersebut? Keputusan yang akan menyebabkan lebih banyak penderitaan, kemiskinan, dan isu-isu politik, ekonomi dan sosial pada negara masing-masing.

          Kita telah melihat persidangan, siaran akhbar, dan aktiviti dalam talian yang menentang pemulihan semula. Walau bagaimanapun, ini merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan program yang harus dirancang terhadap ancaman dan bahayanya pemulihan semula. Sekiranya negara-negara tersebut tidak berfungsi dalam rancangan komprehensif dengan seluruh masyarakat menyumbang dari segi politik, budaya, ekonomi, sosial dan kewartawanan; siaran dan penerbitan yang diusahakan tidak akan membuahkan hasil.

          Kita tidak boleh lagi berdiam diri ataupun bergantung pada pemimpin dan ahli politik yang berterusan menyesatkan rakyat hingga hari ini. Sungguh aneh mendengar negara-negara yang menjalani pemulihan semula dengan pihak pendudukan berkata, “Pemulihan semula dengan ‘Israel’ tidak akan menjejaskan hak dan perjuangan rakyat Palestin.” Yang lebih aneh adalah mendengar Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi, yang berorientasikan Islam, mengulangi pernyataan atau ungkapan seumpama itu dalam siaran akhbar.

          Parti itu harus menjelaskan pada kita bagaimana ini boleh berlaku. Kepentingan yang dikongsi antara pemimpin-pemimpin ini dengan kepimpinan Amerika dan Israel adalah alasan sebenar. Kepentingan itu menyebabkan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi mencabuli Resolusi Liga Arab pada tahun 2020 yang menyekat jalinan hubungan dengan pihak pendudukan Israel sehingga tertubuhnya sebuah negara Palestin, dengan Al-Quds sebagai ibu negara, dan pengunduran pihak pendudukan dari tanah yang diduduki pada tahun 1967.

          Negara-negara itu tidak pernah peduli pada Palestin. Tidak munasabah bagi seseorang, satu parti, atau satu negara beralih daripada suatu keadaan melampau ke sebaliknya tanpa menyembunyikan sesuatu, dan itulah yang berlaku dengan kebanyakan rejim Arab.

          Bermula kini hingga akhir penggal Trump, kita bakal menyaksikan lebih banyak negara Arab berlumba-lumba untuk berjabat tangan dengan pihak pendudukan Israel. Penerima manfaat terbesar ialah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang berjuang untuk terus kekal memegang jawatan dan melepaskan diri daripada pertuduhan rasuah.

          Para pemimpin tersebut tidak memahami bahawa masa depan pihak pendudukan sedang menuju kehancuran. Netanyahu sedang menjalani hari-hari terakhirnya. Ini ialah urusan mereka. Ini ialah jalan yang mereka pilih. Tugas kita adalah menentang dasar perubahan syarat dan nilai, dan mempertahankan masa depan kita dan generasi akan datang.  

          Palestin bukanlah satu-satunya sasaran. Semua ibu negara Arab dan negara Islam turut menjadi sasaran. Sekiranya rakyat tidak mengambil langkah melindungi kewujudan mereka sekarang, bila lagi?

Related