Home Artikel Post View

Pengistilahan Yang Tepat Berkaitan Baitul Maqdis

Jul 28, 2023 06:12 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Muhammad Haikal Luqman bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah bermaksud perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan. Jika kita melihat istilah yang kita gunakan dalam kehidupan seharian, mungkin ada yang betul tetapi belum tentu tepat. Istilah yang tepat juga penting kerana ia berkait dengan identiti dan konsep bagi sesuatu bangsa dan tempat. Semestinya, istilah membawa makna yang mendalam yang menghubungkan bahasa, budaya dan bangsa. 

Begitu juga ketika kita membicarakan soal Palestin dan Baitul Maqdis. Saya sengaja meletakkan dua nama; Palestin dan Baitul Maqdis untuk kita membezakan kedua-duanya. Palestin, nama yang tidak asing lagi dalam bual bicara atau media massa sering dipamerkan kesusahan yang dialami oleh mereka dalam menghadapi penjajahan Zionis dan dasar aparteid(1) yang telah dikenakan ke atas mereka. Baitul Maqdis pula sering kali dirujuk sebagai Jerusalem yang merangkumi kota lama Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa. Bagi yang sedang membaca, percayalah, bahawa istilah yang lebih tepat nak merujuk kepada semua adalah Baitul Maqdis, bukan Palestin. 

Kefahaman Istilah Baitul Maqdis

Definisi Baitul Maqdis sama sekali berbeza dengan definisi Al-Quds. Al-Quds adalah sebahagian daripada wilayah Baitul Maqdis. Baitul Maqdis didefinisikan sebagai:

Satu-satu wilayah yang kaya dengan latar belakang sejarah yang subur, kepentingan agama, hubungan budaya, tuntutan politik dan agama yang kompetitif, serta kepentingan antarabangsa yang mempengaruhi seluruh dunia dalam kerangka sejarah dan kontemporari masa hadapan. Baitul Maqdis mempunyai kerangka acuan pusat dan sifat hidup yang mempunyai tiga unsur yang saling berkaitan; kedudukan geografi (tanah dan perbatasan), penduduk, dan visi yang unik, kreatif, dan komprehensif mengenai pengurusan tanah dan penduduknya sebagai model berbilang agama dan budaya, komunikasi tamadun, dan keselamatan.(2)

Definisi di atas telah mengesahkan bahawa Baitul Maqdis bukan hanya sebagai kota seperti yang kita fahami sekarang, tetapi ia merujuk kepada sebuah wilayah merangkumi beberapa kota dan desa. Ciri unik Baitul Maqdis telah digambarkan di penghujung definisi di atas yang mana kita boleh jadikan contoh untuk hidup berdampingan secara damai dan saling hormat-menghormati, juga cara yang membolehkan latar belakang agama dan budaya yang berbeza untuk hidup bersama dalam suasana kepelbagaian.

Makna Asal Baitul Maqdis dalam Bahasa Arab

Istilah Baitul Maqdis dalam bahasa Arab adalah istilah kenabian dan penting yang telah digunakan pada masa sebelum kedatangan Islam dan selepas kedatangannya. Walaupun Rasulullah SAW menggunakan kedua-dua istilah iaitu Iliya dan Baitul Maqdis dalam banyak ucapan Baginda, namun begitu Rasulullah SAW tidak pernah menggunakan Al-Quds walaupun sekali. Setelah dilakukan beberapa kajian, didapati bahawa jumlah periwayatan yang meriwayatkan dengan menggunakan nama Iliya yang diberikan oleh Byzantium di dalam hadis-hadis nabawi sangatlah sedikit, jika dibandingkan dengan istilah Baitul Maqdis yang mana lebih popular dan banyak dijumpai dalam periwayatan hadis. 

Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh Prof Dr. Khalid el-Awaisi yang bertajuk Menjelaskan Batas Geografi Tanah Baitul Maqdis: Tanah Suci dan Tanah Yang Diberkati(3), ia telah diterbitkan pada tahun 2006. Daripada kajian ini, penulis membuat kesimpulan seperti berikut:

1. Wilayah Baitul Maqdis, meluas di sekitar kota lama dengan jarak maksimum 85.05 km dari beberapa arah, ini termasuk di sebelah barat Ramla serta kota-kota dan desa-desa di sekitarnya dan jarak dari pantai laut hingga ke dalam Laut Tengah adalah sebanyak 25.51 km.

2. Batasan ini bukan batas pentadbiran atau politik yang berubah dengan perubahan masa atau perubahan kuasa politik, sebaliknya ia adalah sempadan tetap wilayah Baitul Maqdis. Sempadan ini juga tidak ada bezanya dengan sempadan kota Suci Makkah dan Madinah. Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Athar ‘Abdullah bin Umar RA, di awal penciptaan sebagaimana Haram Makkah, beliau berkata;

Tanah Haram diharam dengan kadar dan ketentuannya itu datang dari langit dan bumi, dan Baitul Maqdis itu suci dengan kadar dan ketentuannya itu datang dari langit dan bumi.

Baitul Maqdis bukan hanya sekadar sebuah kota yang dikelilingi oleh tembok atau kota besar, sebaliknya ia adalah sebuah wilayah yang mempunyai sempadannya yang tersendiri dan telah ditetapkan dengan istilah al-Quran sebagai Tanah Suci (Al-Ardhul Muqaddasah).

 

Asal Usul Nama Al-Quds

Nama Al-Quds muncul untuk pertama kalinya pada zaman Khalifah Al-Ma’mun atau nama penuhnya Abdullah bin Harun Al-Rashid terutama ketika dia mengunjungi Baitul Maqdis pada tahun 216H bersamaan 831M dan dia memerintahkan pemulihan semula Dome of the Rock, yang menghadap ke Masjid Al-Aqsa setelah mengalami kerosakan akibat gempa bumi. Selepas itu, pada tahun 217H, sekeping wang telah dicetak dengan nama Al-Quds untuk pertama kalinya dalam sejarah Baitul Maqdis.

Telah diketahui bahawa sewaktu era Al-Ma’mun(4), perkembangan pemikiran Mu’tazilah semakin pesat dan jelas serta pengaruh mereka yang besar terhadap negara dan keputusan yang diputuskan, yang mana Al-Ma’mun mengambil nasihat serta memuliakan mereka yang beraliran Mu’tazilah ini. Disebabkan itu, ramai ulama dan ahli fiqh telah diuji dan dipaksa untuk menerima dan menyokong pemikiran ini, sesiapa daripada mereka gagal untuk bersetuju dan menyokong pemikiran ini akan dikenakan hukuman yang berat seperti Imam Ahmad bin Hanbal RA. 

Lafaz Al-Quds berkemungkinan diambil oleh golongan Mu’tazilah dari Yahudi kerana terpengaruh dengan mereka, yang mana ia telah ditemui di dalam kitab Perjanjian Lama(5) pada al-Ishah kesembilan. Di dalam bahagian tersebut, Al-Quds disandarkan pada tempat kediaman pertama bagi Bani Israel dan kediaman pertama ini mempunyai menara dan hidangan makanan seperti roti. Tempat kediaman kedua pula disebut sebagai Al-Quds yang suci yang padanya terdapat ketuhar berupa emas dan tabut perjanjian yang diselaputi emas pada setiap penjurunya. Tabut ini pula mengandungi Al-Manna dan tongkat Nabi Harun yang mereput. 

Dalam sebuah kajian yang telah dilakukan oleh Abdul Karim Qurbiy yang merupakan pelajar jurusan Bahasa Arab di Universiti Haifa dan lulusan Diploma Pengajian Jerusalem (Baitul Maqdis) pada tahun 2015 telah menyatakan bahawa Quds di dalam kamus Arab(6) jika dinisbahkan akan menjadi qudsi, manakala kalimah al-Maqdis atau Baitul Maqdis dalam kamus Arab akan menjadi maqdisi, Isim makan (kata nama bagi tempat) Maqdis di atas bentuk (wazan) Maf’il. 

Bentuk nisbah kepada quds adalah qudsi dan di sini kita dapat lihat ianya lebih sesuai untuk menyifatkan Uluhiyyah ataupun yang lainnya seperti Hadis Qudsi. Atas faktor yang telah disebutkan terutamanya dari segi bahasa, menyebabkan istilah Baitul Maqdis lebih tepat dan baik untuk diguna pakai.

Penggunaan istilah yang tepat sebenarnya membantu kita untuk memahami perancangan strategik yang telah dimulakan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memberi kefahaman yang sama kepada para Sahabat sehinggakan Baitul Maqdis telah menjadi buah mulut masyarakat Islam di Makkah dan Madinah. Baitul Maqdis bukan hanya merujuk kepada apa yang kita lihat pada hari ini, kerana Baitul Maqdis itu lebih besar dan mempunyai sempadan yang tersendiri. 

Jadi sebelum kita memulakan langkah yang besar bagi membebaskan Baitul Maqdis, ayuh kita mulakan dengan mempelajari asas-asas Baitul Maqdis seperti nama dan kepentingannya seperti yang telah termaktub dalam al-Quran.   

 

Rujukan:

1. Carter, J. (2007). Palestine : Peace Not Apartheid. Simon & Schuster Paperbacks.

2. A.F, El-Awaisi. (2020). Pemurnian Istilah dan Kefahaman Nabawi Berkaitan Baitul Maqdis. HALUAN

3.Islamicjerusalem. (2016, September 12). MAPPING ISLAMICJERUSALEM: A Rediscovery of Geographical Boundaries.

https://www.slideshare.net/islamicjerusalem/mapping-islamicjerusalem-a-rediscovery-of-geographical-boundaries

4. Khairuddin Bin Haji Muhammad, Haji. (1964). Sejarah Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

5. Oesterley, W. O. E. (1932). A History Of Israel, Oxford University Press.

6. Ibn Manzur. (1955). Lisan al-Arab : 15 tom. Dar Sader, Dar Beyrouth, -56.

 
















 

                                                                                                                                                                                                                     







 

Related