Home Artikel Post View

Yahya Ayyash - Kesyahidan Yang Menghidupkan Sepanjang Zaman

Mar 09, 2023 02:30 pm
Kredit kepada pemilik gambar

 

Oleh: Nur Sabrina binti Suhaimi | Research & Advocacy Executive

Lembaran baharu tahun 2023 turut menandakan tahun ke-27 kesyahidan Yahya Ayyash yang telah dibunuh oleh rejim Zionis-Israel pada 5 Januari 1996.

Meskipun hampir tiga dekad sosok tubuh ini meninggalkan dunia, Yahya Ayyash seakan-akan masih hidup kerana namanya acapkali menjadi perbualan masyarakat muslim termasuk golongan generasi Z. 

Siapakah Yahya Ayyash, Lelaki Muslim Yang Terkenal Sebagai Hero Dunia Islam Ini?

Yahya Ayyash atau dikenali sebagai Yahya Abd al-Latif Ayyash merupakan anak kelahiran Rafat, Palestin yang pernah memimpin unit batalion Briged al-Qassam di Tebing Barat dan memegang portfolio sebagai pakar pembuat bom bagi Hamas.

Beliau dilahirkan pada Mac 1966 dan dikatakan pada usianya yang masih kanak-kanak, beliau memiliki kemahiran di dalam elektrik dan mekanikal. Rekod sejarah mendedahkan beliau pernah membaiki radio, televisyen dan lain-lain. 

Berbekalkan kemahiran dan minat demikian, Yahya Ayyash memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Universiti Birzeit. Pada 1991, beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan segulung ijazah di dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Menurut sejarah yang telah tercatat, Yahya Ayyash sebenarnya sudah lama tertarik dengan perjuangan di dalam Islam, terutama perjuangan gerakan Ikhwanul Muslimin. Boleh dikatakan persatuan tersebut merupakan batu loncatan buat Yahya Ayyash yang ketika itu berusia 26 tahun untuk menyertai Briged al-Qassam pada 1992. 

Licik dan Tangkas - Peribadi Yahya Ayyash Menggeruni Israel

Lelaki ini dikagumi masyarakat Palestin kerana keperibadiannya yang suka menyantuni dan membantu orang ramai.

Tidak cukup dengan itu, Yahya Ayyash juga turut terkenal sebagai seorang lelaki yang memiliki pemikiran yang mendalam serta cerdas. Perkara ini dibuktikan melalui sumbangannya dalam menghasilkan bom menggunakan bahan mentah yang diperolehi di sekitar Palestin.

Pada masa yang sama, Yahya Ayyash juga merupakan perintis kepada operasi berani mati atau istilah Arabnya, al-Istisyhadi yang diperkenalkan pada Disember 1992. 

Operasi syahid yang dilaksanakan di Palestin ini tidak sama dengan operasi membunuh diri. Ia dikatakan satu strategi atau tindakan yang menjadi pilihan terakhir dalam memerangi musuh. Ia merupakan satu taktik licik bagi meruntuhkan pengaruh Israel kerana mereka bukan melaksanakan di kawasan penduduk tempatan tetapi menyasarkan kawasan yang dipenuhi golongan penjajah itu.

Pada 16 April 1993, operasi berani mati syahid pertama telah dilaksanakan di Bisan* oleh Saher Tamam yang berasal dari bandar Nablus. 

Bagaimanapun, operasi berani mati syahid di Palestin dikatakan terhenti pada 2008. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 200 operasi berani mati syahid telah dilakukan (Tebing Barat: 151 dan Gaza: 49).

Ketangkasan Yahya Ayyash dalam menyusun strategi penyamaran dan pengeboman menggerunkan golongan Israel-Zionis. Buktinya, seluruh warga Israel menggelar Yahya Ayyash sebagai ‘Lelaki dengan Seribu Wajah’ dan ‘The Engineer’ kerana teknik penyamarannya yang luar biasa dalam usaha memasang bom di kawasan jajahan Israel bagi membunuh rejim Zionis.

Perdana Menteri Israel yang kelima, Yitzhak Rabin turut paranoid dengan sosok tubuh bernama Yahya Ayyash sehingga pernah mengatakan: 

“I am afraid that Ayyash is sitting among us in the Knesset.”

Selamat Tinggal, Yahya Ayyash!

Tidak dinafikan sepanjang kedewasaan Yahya Ayyash yang banyak menyumbang kemahiran kepada Briged al-Qassam telah meletakkan beliau sebagai salah satu tunjang utama sayap ketenteraan Hamas.

Maka tidak hairanlah mengapa Yahya Ayyash menjadi individu yang paling dikehendaki Israel. Sejarah merekodkan kira-kira empat tahun pihak ketenteraan Israel mengejar dan mencari Yahya Ayyash namun acapkali gagal kerana kelicikan lelaki itu. 

Menariknya, walaupun Yahya Ayyash berstatus pelarian sepanjang tempoh beliau berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, beliau sempat menurunkan ilmu pembuatan bom dan strategi pengeboman kepada 10 orang anak muridnya.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Yahya Ayyash ditakdirkan untuk bersembunyi di kediaman salah seorang sahabatnya bernama Osama Hamad di Gaza. Manakan tidak, tindakan Yahya Ayyash itu yang diketahui oleh ayah saudara Osama, Kamil Hamad menjadi titik akhir kepada kehidupan pejuang Islam itu. 

Apa yang berlaku?

Pada Oktober 1995, Agensi Keselamatan Israel, Shin Beit dengan kerjasama dari pihak berkuasa Palestin telah bersepakat dengan Kamil untuk mengkhianati Yahya Ayyash. Kamil kemudian diberikan sebuah telefon bimbit yang didakwa telah dipasang dengan peranti pengesanan perbualan.

Telefon bimbit itu berpindah ke tangan Osama. Kamil sengaja bertindak demikian kerana dia tahu Yahya Ayyash kerap meminjam telefon bimbit Osama untuk berhubung dengan sesiapa dikehendakinya. 

Cuma satu hal yang tidak diketahui Kamil ialah sebenarnya telefon bimbit itu juga turut dilengkapi dengan 15 gram bahan letupan jenis RDX.

Pada pagi 5 Januari 1996, Yahya Ayyash menerima panggilan daripada bapanya menerusi telefon bimbit itu dan perkara ini disedari oleh Shin Beit. Setelah mendengar perbualan mereka dan memastikan penerima panggilan itu adalah Yahya Ayyash, Shin Beit pun mengaktifkan letupan.

Akhirnya, Yahya Ayyash maut kerana sebuah pengkhianatan. 

Perjuangan Yang Belum Tamat

Sepanjang perjuangannya membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis-Israel, beliau dikatakan terlibat dengan 11 misi berani mati syahid yang menyaksikan lebih 70 orang warga Israel, termasuk pelancong asing dan 13 orang pengganas maut.

Selepas kesyahidannya, anak murid Yahya Ayyash yang pernah terlibat dalam misi berani mati syahid; Hasan Salameh, Salah Shihada, Mohyee Din Syarif dan Mahmoud Abu Hnud tetap meneruskan perjuangan beliau. 

Pihak Israel barangkali menganggap bahawa dengan mengambil nyawa Yahya Ayyash, orang Islam dan keseluruhan pasukan pertahanan Palestin akan lumpuh. 

Sebaliknya, tidak. Kesyahidan Yahya Ayyash secara tidak langsung telah menjadi penyuntik semangat orang Islam untuk terus berjuang mempertahankan tanah Palestin. Ini juga membuktikan bahawa kekuatan sesebuah komuniti atau sekumpulan manusia bukan bergantung kepada ketua atau guru mereka sahaja tetapi ia turut digerakkan oleh ilmu dan iman yang ada.

Peribadi Yahya Ayyash yang luar biasa juga acapkali menjadi contoh kepada seluruh umat Islam di luar sana apatah lagi semangatnya berjuang untuk tanah air. Kesyahidan Yahya Ayyash langsung mengingatkan kita kepada perjuangan Salahuddin al-Ayubi yang pernah membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan tentera salib pada 1187 Masihi.

Jadi, apa alasan kita untuk berdiam diri? Takkanlah kita mahu terus menanti sedekad lagi untuk menyaksikan seseorang seperti Yahya Ayyash atau Salahuddin al-Ayubi hadir memperjuangkan pembebasan Baitul Maqdis? Sudah pasti perjuangan Baitul Maqdis perlu bermula daripada diri kita.

Semoga perjuangan seluruh umat Islam bukanlah satu perjuangan yang kosong. Selagi kita masih bergelar umat Islam, jangan pernah berputus asa untuk membebaskan Baitul Maqdis walaupun bentuk perjuangan kita sekadar berdoa dan menghulurkan sedekah berbentuk tunai.

*Bisan merupakan salah satu bandar di Palestin yang telah dirampas Israel dan dinamakan sebagai Beit She’an

RUJUKAN 

Laman Web

 

1) ILKHA. (2022). Today is the 26th anniversary of the martyrdom of Yahya Ayyash. Dipetik daripada https://ilkha.com/english/analysis/today-is-the-26th-anniversary-of-the-martyrdom-of-yahya-ayyash-15344

2) Hussain, C. F. M & Abdullah, F, H. (n.d). Operasi Berani Mati Menurut Neraca Islam. Dipetik daripada https://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah/risalah01.html

 

3) Banat, I. Y. B. (2015). The Profile of The Palestinian Suicide Martyrs (Istishhadiyin): Facts and Figures.

4) Fadlullah, H. M. S. (n.d.) Martyr operations, a means of Jihad (struggle). The Official Site of The Religious Authority: His Eminence, Sayyed Muhammad Hussein Fadlullah. 

5) “I am afraid that Ayyash is sitting among us in the Knesset”. (2012). Dipetik daripada https://www.islamicinvitationturkey.com/i-%E2%80%8B%E2%80%8Bam-afraid-that-ayyash-is-sitting-among-us-in-the-knesset-yitzhak-rabin/

6) Schmemann, S. (1996). Palestinian Believed to be Bombing Mastermind is Killed. Dipetik daripada https://www.nytimes.com/1996/01/06/world/palestinian-believed-to-be-bombing-mastermind-is-killed.html

7) The Martyr Yahia Ayyash. (2018). Dipetik daripada https://muslimsincalgary.ca/the-martyr-yahia-ayyash/

Buku

 Nurdi, H. (2011). Perjalanan Meminang Bidadari. Lingkar Pena Publishing House.

 

Related