Home Artikel Post View

Dua Tokoh Agung Ini Bukti Kemerdekaan Baitul Maqdis Suatu Ketika Dahulu

Mar 01, 2023 09:20 am
Kredit kepada pemilik gambar

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi

Barangkali masih ramai yang belum tahu bahawa sebenarnya Baitul Maqdis pernah dijajah oleh kuasa asing iaitu Rom Byzantine dan Tentera Salib. Akibat kelemahan empayar Turki Uthmaniyah dan kesan daripada Deklarasi Balfour pada 1917, Baitul Maqdis dan seluruh Palestin sekali lagi dirampas daripada orang Islam. 

Di dalam catatan sejarah Islam yang panjang, ada dua tokoh Islam yang telah memperjuangkan keamanan dan pembebasan Baitul Maqdis suatu ketika dahulu.

Siapakah panglima agung yang memimpin jalan kebebasan itu? Dan bagaimanakah kedua-dua sosok tubuh ini membawa syiar Nabi Muhammad SAW ke Baitul Maqdis?

a) Khalifah Umar al-Khattab RA

Pembebasan Baitul Maqdis buat kali pertama dari kuasa asing telah dibuktikan oleh kemenangan tentera Islam di dalam Perang Yarmouk yang berlaku pada sekitar 15 Hijrah atau 20 Ogos 636 Masihi.  

Ketika itu tentera Islam yang terdiri daripada sekitar 41,000 orang telah dipimpin oleh pahlawan yang masyhur dengan gelaran Pedang Allah Yang Terhunus, Khalid al-Walid RA. Mereka menentang sekali ganda jumlah tentera Rom iaitu seramai 70,000 orang yang dipimpin Theodore the Sacellarius dan Bannes. 

Di bawah penguasaan kerajaan Rom, Baitul Maqdis dinamakan sebagai Aelia Capitolina. Akibat daripada kekalahan tentera Rom menentang tentera Islam, kerajaan Rom bersetuju untuk serahkan Aelia Capitolina kepada orang Islam. 

Bagaimanapun, orang Illya’ (nama lain bagi Aelia Capitolina) menentang keras keputusan tersebut. Komuniti itu dipimpin oleh seorang ketua gereja bernama Patriarch Sophronius dan mereka sebulat suara menyatakan keengganan menyerahkan tanah suci itu kepada orang Islam kecuali dengan satu syarat. 

Syaratnya ialah penyerahan Aelia Capitolina perlulah dilakukan di antara rakyat Illya dengan seorang pemimpin yang memiliki ciri sama seperti di dalam kitab kepercayaan mereka. 

Siapa sangka ciri-ciri tersebut mencerminkan peribadi Saidina Umar al-Khattab RA? Lantaran dari itu, Abu Ubaidah bin Jarrah menjemput Saidina Umar RA untuk datang mengambil kunci bandar Baitul Maqdis.

Hasil musyawarah antara Saidina Umar RA dengan beberapa orang sahabat, maka berangkatlah beliau ke Baitul Maqdis untuk menerima kunci bandar dalam keadaan yang serba sederhana. 

Penerimaan kunci bandar Baitul Maqdis tidak dibalas dengan tangan kosong. Saidina Umar al-Khattab RA secara berhemahnya telah mengajak penduduk Illya untuk bersepakat dalam satu perjanjian yang diusulkan olehnya. 

Perjanjian tersebut dikenali sebagai al-‘Uhdah al-Umariyah. Antara rincian yang disebutkan di dalam perjanjian tersebut termasuklah:

1. Jaminan terhadap keselamatan jiwa dan harta seluruh penduduk Baitul Maqdis

2. Gereja dan peralatan ibadah, serta kepercayaan tradisi penduduk Illya yang beragama lain selain daripada Islam tidak akan dihancurkan

3. Jaminan larangan terhadap bangsa Yahudi untuk hidup bersama mereka di Baitul Maqdis

4. Penduduk Illya yang bukan beragama Islam wajib membayar jizyah. Tetapi mereka yang menganuti agama Islam, perlu membayar zakat

5. Mereka tidak akan dimusuhi kerana keyakinan agama yang berbeza dengan Islam

6. Jaminan perlindungan dari aspek keselamatan dan harta bagi mereka yang ingin keluar dari Baitul Maqdis sehingga tiba ke kawasan aman.

Kedua-dua pihak akhirnya mencapai kata sepakat. Tetapi apa yang menjadikan peristiwa ini lebih menarik, susulan daripada kesepakatan itu, Saidina Umar al-Khattab RA telah dijemput untuk menunaikan solat di Gereja al-Qiamah. 

Bagaimanapun, jemputan tersebut terpaksa ditolak Saidina Umar al-Khattab RA kerana beliau enggan tingkahnya (menjadikan gereja sebagai masjid) dicontohi generasi akan datang. 

Perkara itu juga akhirnya menggerakkan langkah Saidina Umar al-Khattab RA ke bahagian selatan yang dikatakan dalam kawasan Masjid al-Aqsa. Di situ, beliau melaksanakan ibadah solat dan membersihkan kotoran yang terdapat pada batu as-Sakhrah.

Beliau juga membangunkan sebuah masjid di dalam kawasan yang sama dan kini dikenali sebagai Masjid Umar. Dikhabarkan masjid tersebut ialah sebuah ruang kecil yang terletak di dalam Masjid al-Qibli dan pernah dibakar oleh bangsa Yahudi dalam peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.

Pada hari ini sebahagian daripada Masjid Umar telah dijadikan sebagai klinik kecemasan untuk penduduk Baitul Maqdis.

b) Salahuddin al-Ayyubi

Baitul Maqdis menempuh dua era pemerintahan baharu selepas era Khulafa ar-Rasyidin iaitu Khalifah Bani Umayyah dan Khalifah Bani Abbasiyah.

Walau bagaimanapun, penguasaan Islam di Baitul Maqdis cuma bertahan lebih 400 tahun sebelum tumbang ke dalam genggaman orang Kristian melalui Perang Salib Pertama pada 1099 Masihi.

Pada ketika itu, seorang pahlawan berbangsa Frank bernama Godfrey of Bouillon yang bertanggungjawab memimpin Perang Salib Pertama. Dikatakan pemimpin tentera salib itu telah menjual kesemua tanah miliknya kepada seorang paus berpengaruh, Pope Urban II dengan tujuan untuk mendapatkan seangkatan tentera berjumlah 40,000 orang. 

Sebagai rekod, Urban II juga didakwa sebagai individu yang mempelopori Perang Salib dengan idea awal pelancaran Perang Salib Pertama adalah pada 1096 tetapi tertangguh kerana hal ketenteraan di bawah pimpinan seorang paderi, Peter the Hermit.

Berdasarkan garis masa sejarah Islam, usaha Salahuddin al-Ayyubi untuk membebaskan Baitul Maqdis bermula pada sekitar September 1182. Pada ketika itu, satu provokasi telah ditimbulkan oleh seorang bangsawan Kristian, Raynald de Chatillon. 

Menurut rekod sejarah, Chatillon mengugut untuk menyerang Mekah dan Madinah. Ini mengundang kemarahan Salahuddin al-Ayyubi yang akhirnya mengepung Kerak di Jordan pada 1183 dan 1884. 

Kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi tercabar apabila Chatillon telah menyerang dan membunuh para jemaah haji. Ini membuatkan Salahuddin al-Ayyubi bersama angkatan tenteranya menyerang Beirut. 

Pada masa yang sama, bermulalah episod Salahuddin al-Ayyubi menakluk satu persatu wilayah tentera Salib tanpa ada ruang untuk budi bicara sehingga tiba kemuncaknya, Perang Hattin pada Julai 1187. Pada ketika itu, Salahuddin al-Ayyubi sendiri telah membunuh Chatillon dan pengganti pemimpin tentera Salib, Guy de Lusignan.

Tiga bulan selepas itu pada tahun yang sama, Baitul Maqdis ditakluk sepenuhnya oleh Salahuddin al-Ayyubi. Siapa sangka, 60,000 tentera pimpinan Lusignan dikalahkan oleh semangat juang tentera Islam yang terdiri kurang daripada 12,000 orang tentera.

Ditakdirkan Allah SWT, tarikh pembebasan Baitul Maqdis jatuh pada 27 Rejab 583 Hijrah. Ia merupakan tarikh yang sama berlakunya Israk Mikraj - 27 Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Kota Madinah. 

Kemenangan Salahuddin al-Ayyubi dan angkatan tenteranya di dalam Perang Hattin telah dijelaskan sebagai kunci kepada kemaraan orang Islam, “… through which the Conquest of Jerusalem became possible.” 

Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi dan tenteranya disambut dengan laungan takbir daripada umat Islam manakala bangsa Frank pula sebaliknya, menangis duka kerana menyaksikan lambang salib terutamanya yang diletakkan di puncak Dome of Rock diturunkan oleh para muslim. 

Seminggu selepas kemasukan Salahuddin al-Ayyubi ke tanah Baitul Maqdis, tepat pada Jumaat pertama Sya’ban (9 Oktober 1187), mereka giat ‘mensucikan’ dinding Dome of The Rock dari sebarang gambar-gambar rahib Kristian atau struktur serta meruntuhkan dinding yang menghalang aktiviti ibadah. 

Akhirnya, solat Jumaat pertama didirikan di Masjid al-Aqsa selepas 88 tahun ia dijajah tentera Salib.

Pun begitu, tindakan Salahuddin al-Ayyubi menakluk Baitul Maqdis sangat berhemah kerana beliau sangat mencontohi peribadi Rasulullah SAW yang menjanjikan keamanan dan keselamatan kepada penceroboh (dilakukan juga oleh Saidina Umar al-Khattab).

Beberapa jaminan yang diketengahkan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada ketika itu adalah:

- Larangan pembunuhan beramai-ramai atau menceroboh hak orang Kristian dan Frank 

- Mengukuhkan pertahanan di gereja-gereja mereka supaya tidak berlaku sebarang pertelingkahan

- Memberi kebenaran kepada orang Frank untuk melawat Baitul Maqdis pada bila-bila masa

- Bangsa Yahudi dibenarkan kembali ke Baitul Maqdis selepas dihalau tentera Salib

- Fakir miskin dibebaskan

Salahuddin al-Ayyubi meninggalkan satu-satunya harta teragung orang Islam, Baitul Maqdis pada hari kemangkatannya, Mac 1193 ketika usianya melewati 55 tahun. 

Tetapi bagaimana dengan nasib Baitul Maqdis pada hari ini?

Melalui Deklarasi Balfour pada 1917 selepas tamatnya Perang Dunia Pertama (WWI), maka termeterailah sebuah perjanjian penubuhan negara untuk bangsa Yahudi yang kini dikenali sebagai Israel secara rasmi pada 1948.

Mengenangkan bagaimana kejatuhan Empayar Uthmaniyah yang menyebabkan British berkuasa di tanah Palestin, sukar diungkapkan rasa kecewa apabila usaha dua pahlawan Islam ini – Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi semakin dilupakan. Lebih meremukkan hati, tidak ramai yang cakna bahawa perjuangan dua pahlawan Islam tersebut dalam membebaskan Baitul Maqdis daripada kuasa asing adalah kerana mereka mendukung sepenuhnya perjuangan Rasulullah SAW sebelum Baginda wafat.

Malah, tidak ramai yang sedar kepentingan Baitul Maqdis kepada seluruh umat Islam terutamanya tanah suci ini sangat dekat dalam jiwa Rasulullah SAW, para nabi serta rasul dan para sahabat. Segelintir daripada kita masih tidak faham mengapa perlu melindungi Baitul Maqdis dan lantang menyuarakan bahawa isu negara sendiri jauh lebih penting berbanding nasib Palestin yang jauh di sana.

Tidakkah ada rasa sekelumit kesedaran bahawa Baitul Maqdis ini bukan sekadar tempat yang menyaksikan peristiwa Israk Mikraj dan merupakan kiblat pertama bagi orang Islam tetapi sebenarnya satu indikasi kepincangan akidah dalam kalangan muslim?

Al-Quran sudah membuktikan bahawa kaitannya status Baitul Maqdis sebagai indikasi akidah bersandarkan kepada satu pertiga surah Makkiyah yang menyebut tentang Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) baik secara eksplisit mahupun implisit. 

Ada pula di antara surah Makkiyah diturunkan di Masjid al-Aqsa seperti surah Maryam:

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.” - Surah Maryam, ayat 16

Telah direkodkan bahawa surah ini menceritakan bagaimana Maryam beriktikaf di suatu kawasan di bahagian timur Masjid al-Aqsa dan pada ketika itulah Jibril AS muncul dalam jelmaan seorang lelaki dengan membawa khabar kehadiran seorang bayi di dalam rahim wanita itu.

Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW di Baitul Maqdis juga sudah cukup untuk mempertahankan perjuangan pembebasan Palestin kerana bukan sahaja ia adalah bukti kekuasaan Allah SWT tetapi sejarah ini juga sangat dekat dengan jiwa dan roh seluruh umat Islam.

Semoga lebih ramai pejuang Baitul Maqdis yang menyahut perjuangan Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi dalam melunaskan impian Rasulullah SAW.

RUJUKAN

Laman Web

1) The Event in Conjunction with The International al-Quds Day. Dipetik daripada
https://office.amanpalestin.net/salam.dll?kategori=baca&arkib=artikel&lihat=artikelPenuh&tajuk=The+Event+
In+Conjunction+With+The+International+Al-Quds+Day&pencatat=&id=24

2) Ghani, F. M. (2018). Kewafatan Khalid al-Walid. Dipetik daripada
https://harakahdaily.net/index.php/2018/06/03/kewafatan-khalid-al-walid/

3) Maideen, A. M. (2013). Kisah Khalifah Adil Umar al-Khattab Membuka Kota al-Quds. Dipetik daripada http://www.tarbawi.my/2013/01/kisah-khalifah-adil-umar-al-khattab.html

4) Huzaifa, A. (n.d.). Masjid Umar in Masjid al-Qibly. Dipetik daripada
https://www.islamiclandmarks.com/palestine-masjid-al-aqsa/masjid-umar-in-masjid-al-qibly

5) Kenapa Baitulmaqdis Penting Bagi Umat Islam? Dipetik daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenapa-baitulmaqdis-penting-bagi-umat-islam-163676

6)The Franks. Dipetik daripada https://www.studysmarter.us/explanations/history/the-crusades/the-franks/

7)Pope Urban II. Dipetik daripada https://www.studysmarter.us/explanations/history/the-crusades/pope-urban-ii/

8) Abbas, M. (2019). Salahuddin al-Ayyubi – Pembebas Kota Baitulmaqdis. Dipetik daripada
https://www.thepatriots.asia/salahuddin-al-ayyubi-pembebas-kota-baitulmaqdis-2/

9) Shafi-Q. (2014). 27 Rejab Peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhammad. Dipetik daripada
https://shafiqolbu.wordpress.com/2014/05/27/27-rejab-peristiwa-israk-mikraj-nabi-muhammad-%EF%B7%BA/

10) Sallabi, M. A. (n.d.). Salah ad-Deen al-Ayubi, Volume Three: The Battle of Hattin, the Conquest of Jerusalem and the Third Crusade (ms. 58). Dipetik daripada https://www.kalamullah.com/Books/Salah%20Ad-Deen%20Vol%203.pdf

11) Radhi, M. S. (2017). 2 Oktober 1187 | Memperingati Pembebasan Baitul Maqdis Oleh Salahuddin Al-Ayyubi. Dipetik daripada https://www.mycare.org.my/2-oktober-1187-memperingati-pembebasan-baitul-maqdis-oleh-salahuddin-al-ayyubi/

12) Jerusalem was recaptured 830 years ago by Salahuddin. Dipetik daripada
https://onepathnetwork.com/jerusalem-was-recaptured-830-years-ago-by-salahuddin/

13) Effendy, H. (2021). Pembukaan Baitulmaqdis Dibawah Salahuddin Al-Ayyubi. Dipetik daripada https://www.thepatriots.asia/pembukaan-baitulmaqdis-dibawah-salahuddin-al-ayyubi/

Individu

1) Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. (2022). Baitul Maqdis Studies Intensive Camp For Trainers (BASIC)

 

 

Related