Home Artikel Post View

Persediaan Ilmu – Langkah Pertama Rasulullah SAW Membebaskan Baitul Maqdis

Feb 24, 2023 05:54 am
Kredit kepada pemilik gambar

 

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi

Apabila bercakap tentang ilmu, masihkah kalian ingat peristiwa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan 610 Masihi? Peristiwa bersejarah itu membawa lembaran baharu ke dalam hidup Nabi Muhammad SAW ketika usia Baginda mencecah 40 tahun.

Menerusi hadis Imam Bukhari, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Malaikat Jibril AS telah muncul di hadapan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda menyendiri di Gua Hira. Pada ketika itu, Malaikat Jibril AS memaksa Nabi Muhammad SAW untuk membaca walaupun Baginda memberitahu dirinya buta huruf.

إقرأ

“Bacalah.”

Surah al-‘Alaq, ayat 1 telah menukilkan seruan Allah SWT untuk membaca. Sebagai ayat pertama yang diturunkan Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW sudah tentu ia menjadi simbol penegasan, lagi-lagi utusan Allah SWT itu berkali-kali mendesak Baginda untuk membaca:

“..maka datang kepadanya Malaikat, lalu ia berkata: “Iqra! (Bacalah)”. Berkata junjungan: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Bercerita junjungan: “Kemudian Jibril mengambil (menarik) akan daku maka dipeluknya kuat-kuat hingga terasa kepadaku kesungguhannya, kemudian dilepaskan aku, lalu ia berkata: “Iqra! (Bacalah)”. Maka aku berkata: Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca), kemudian diambilnya aku lalu dipeluknya ketat-ketat kali yang kedua hingga terasa kepada aku kepayahan. Kemudian itu dilepaskan aku dan dia berkata: “Iqra! (Bacalah)”. Maka berkata aku: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Setelah itu mengambil ia akan daku buat kali yang ketiganya lalu dipeluknya sungguh-sungguh sehingga terasa aku eratnya, kemudian dilepaskannya aku, maka ia berkata: “Bacalah dengan nama Rabb engkau yang menjadikan, yang menjadikan manusia daripada darah, bacalah demi Rabb engkau yang mulia.”

Desakan Malaikat Jibril AS bagi memastikan Nabi Muhammad SAW membaca ayat yang diturunkan oleh Allah SWT sudah cukup menjelaskan peribahasa, “Membaca jambatan ilmu”. Manakan tidak, membaca adalah kunci kepada ilmu pengetahuan. Manakala ilmu pula pelita kehidupan dan kunci kepada segala permasalahan, termasuk usaha membebaskan Baitul Maqdis. 

Fokus Pertama Rasulullah SAW: Persediaan Ilmu

Menurut Professor Abd al-Fattah el-Awaisi, usaha pembebasan Baitul Maqdis telah lama bermula seawal kehadiran Islam di Mekah dan sebelum berlakunya Israk Mikraj.

Secara tidak langsung, kenyataan beliau mengingatkan kita kepada perkembangan ajaran Islam bermula selepas Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama. Baginda SAW memulakan penyebaran agama Islam secara rahsia pada usia 43 tahun iaitu sekitar 613 Masihi. Pada ketika itulah kesedaran dan keilmuan tentang Baitul Maqdis telah ditekan sejajar dengan pengetahuan tentang akidah. 

Tetapi bagaimana ilmu pengetahuan menjadi peranan penting dalam pembebasan Baitul Maqdis? Walhal saban hari kita ditanam dengan ideologi media arus perdana bahawa peperangan sahaja cara solusi untuk memerangi rejim Zionis.

- Penggunaan istilah sebenar sebagai batu asas

Tidak ramai yang tahu sebenarnya Baitul Maqdis memiliki pelbagai nama lain, antaranya Baitulmaqdis, Jerusalem, Muslim Jerusalem, al-Quds, dan Aelia.

Perkara pertama yang harus diketahui ramai ialah terma Baitul Maqdis atau Baitulmaqdis telah diperkenalkan terlebih dahulu oleh Nabi Muhammad SAW sebelum Allah SWT menurunkan ayat tentang nama Masjid al-Aqsa. Namun, menurut el-Awaisi, perkara ini sukar untuk dinyatakan kesahihannya kerana menurut beliau ada kebarangkalian yang tinggi untuk orang Arab sebelum hadirnya Nabi Muhammad SAW terlebih dahulu menggunakan terma Baitul Maqdis.

Manakala Islamicjerusalem adalah terminologi yang diperkenalkan oleh Profesor Abd al-Fattah melalui bukunya, Introducing the New Terminology of Islamicjerusalem and Its Field of Inquiry yang merujuk kepada konsep baharu. Menurut beliau, Islamicjerusalem adalah terjemahan kepada Baitul Maqdis; sebuah kawasan yang merangkumi beberapa bandar, pekan, dan kampung. Malah, melalui konsep ini juga tiga elemen yang terkait rapat telah dikenal pasti, iaitu: 

  1. Kedudukan geografi

  2. Masyarakat yang menetap di dalamnya

  3. Visi pentadbiran kawasan itu

Ini bermaksud bahawa Islamicjerusalem sama sekali tidak merujuk kepada Jerusalem, al-Quds, Muslim Jerusalem, Jewish Jerusalem dan Christian Jerusalem seperti yang difahami pada masa kini. 

Muslim Jerusalem adalah satu tempoh pentadbiran atau penguasaan orang Islam terhadap Baitul Maqdis selama beberapa abad. Mungkin lebih jelas jika kita gunakan terma Muslim Jerusalem untuk merujuk kepada tempoh pentadbiran Islam di Baitul Maqdis melalui pembebasan yang dibawa oleh Saidina Umar al-Khattab RA pada  637 Masihi dan Salahuddin al-Ayyubi pada 1187 Masihi.

Menariknya lagi, kupasan terhadap terminologi Baitul Maqdis atau Islamicjerusalem telah menemukan satu jawapan kepada penggunaan al-Quds. Kajian yang dijalankan oleh Profesor Abd al-Fattah telah menemui perkataan al-Quds sebenarnya tidak pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya Aelia antara nama yang turut disebut Baginda berdasarkan kesesuaian pada eranya.

Istilah al-Quds pula diperkenalkan pada zaman Khalifah al-Ma’mun (Abdullah bin Harun al-Rashid), terutama ketika beliau mengunjungi Baitul Maqdis pada 831 Masihi.

Kesimpulannya, moleklah jika kita amalkan untuk menerapkan istilah sebenar yang merujuk kepada Baitul Maqdis atau Baitulmaqdis bagi penggunaan dalam Bahasa Melayu; dan Islamicjerusalem bagi penggunaan dalam Bahasa Inggeris.

- Membentuk pemikiran yang mengikat hati dan perasaan

Satu hal yang seluruh umat Islam perlu sentiasa ingat ialah Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama walaupun Ka’abah merupakan bangunan pertama yang dibangunkan di atas muka bumi dengan jarak perselisihan masa pembinaan ialah 40 tahun. 

Dakwaan tersebut telah dibuktikan melalui sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim apabila Abu Dzarr RA telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, masjid manakah mula-mula dibina di bumi?” Rasulullah menjawab, “Masjid al-Haram”. Abu Dzarr bertanya lagi, “Yang mana seterusnya?” Rasulullah SAW berkata, “Masjid al-Aqsa. Abu Dzarr bertanya lagi, “Berapa lamakah tempoh antara kedua-dua bangunan masjid itu?” Rasulullah berkata, “Empat puluh tahun.” 

Melalui hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa sejak Nabi Adam AS lagi Masjid al-Aqsa telah menjadi sebahagian sejarah penting Islam. Sebagai rekod, Masjid al-Aqsa merupakan kiblat orang Islam sehingga usaha dakwah Nabi Muhammad mencapai tempoh 13 tahun di Mekah dan satu setengah tahun di Madinah selepas tahun kerasulannya. 

Bayangkan dalam tempoh yang agak lama bermula daripada Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW, sudah tentu Baitul Maqdis menjadi satu tempat yang didambakan dan dijaga oleh para sahabat, termasuk masyarakat Muslim pada ketika itu. 

Samalah seperti kita yang sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan pengetahuan solat dan Kaabah sebagai kiblat. Sudah tentulah rasa rindu dan keperluan untuk melindungi kawasan Mekah membuak-buak kerana ikatan hati, roh, dan fikiran sudah tersimpul utuh.

- Isu Baitul Maqdis Isu Akidah

Isu Baitul Maqdis telah ditekan oleh Rasulullah SAW sejak awal dakwah Islam (secara rahsia) dan dilanjutkan kepada peringkat seterusnya (secara terang-terangan) dengan matlamat mengintegrasikan agama ke dalam kehidupan sosial.

Ringkasnya, Nabi Muhammad lebih memfokuskan kepada pembentukan akidah dalam diri para sahabat selama 13 tahun berdakwah di Mekah. Sejarah merekodkan beberapa orang terdekat seperti ahli keluarga dan sahabat Baginda, Abu Bakar as-Siddiq menjadi penerima awal dakwah Rasulullah SAW. 

Dalam tempoh tersebut, fasa penerapan tauhid di Mekah selari dengan beberapa surah Makkiyah (kumpulan surah yang menyebut tentang akidah)* yang diturunkan terkait dengan Baitul Maqdis. Menariknya lagi, Profesor al-Fattah juga ada menyebut bahawa kira-kira 33 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan surah Makkiyah menyebut tentang Baitul Maqdis, baik secara eksplisit juga implisit.

Antaranya:

a) Surah Yusuf

- Surah ini merupakan antara surah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW diuji kerana kewafatan isteri tercintanya, Saidatina Siti Khadijah RA dan ayah saudaranya, Abu Talib. Sebagai rekod, kedua-duanya meninggal pada 619 Masihi.

- Allah SWT juga menukilkan kisah Nabi Yusuf AS yang tinggal dengan keluarganya di Baitul Maqdis, telah dihumban ke dalam sebuah telaga kerana kecemburuan abang-abangnya. 

- Perkongsian Profesor Abd al-Fattah telah mendedahkan bahawa naratif surah Yusuf yang bermula dari Baitul Maqdis dan berakhir di Mesir membawa satu ikatan utuh antara kedua tempat ini. Jelasnya lagi, kehadiran Nabi Yusuf AS di Mesir sedikit sebanyak telah menyenangkan hidup keluarga Baginda di Baitul Maqdis. 

- Maka secara tidak langsung, keseluruhan kisah daripada surah Yusuf ini menjadi satu isyarat bahawa Mesir juga secara tidak langsung membawa peranan penting dalam  pembebasan Baitul Maqdis.

b) Surah Maryam

- Surah ini diturunkan di Mekah sekitar empat tahun selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW.

- Secara umumnya surah ini diturunkan sebelum hijrah pertama Nabi Muhammad SAW ke Habsyah. Maka di simpulkan di sini surah Maryam adalah sebagai ‘hadiah’ kepada mereka yang akan berhijrah ke Habsyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang Kristian.

- Bagaimanapun, perkongsian Profesor al-Fattah menarik perhatian kerana menurutnya surah ini diturunkan di Masjid al-Aqsa yang menjadi saksi kepada kedewasaan Maryam. Secara tidak langsung, ia juga terkait dengan surah Ali ‘Imran.

c) Surah Ali ‘Imran:

Disebutkan di dalam surah ini kesungguhan ibu Maryam untuk menjadikan anaknya sebagai seseorang yang berkhidmat ke jalan agama (khadam) sejak di dalam perut lagi:

 

(Ingatlah) Ketika isteri Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” – Ali ‘Imran, ayat 35

Selepas kelahiran Maryam, ibunya menyerahkan Maryam kepada Nabi Zakaria AS dengan-  harapan anaknya dapat mempelajari banyak hal tentang agama dan berkhidmat di tempat ibadat sahaja iaitu di Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Kebetulan pada masa itu, ayah Maryam iaitu Imran telah pun meninggal dunia.

- Dikatakan pada setiap hari; siang Nabi Zakaria AS akan membawa Maryam ke Masjid al-Aqsa dan malam pula akan dibawa anak saudaranya itu ke rumahnya untuk tidur bersama keluarga Baginda.

- Kedewasaan Maryam pula boleh diperhatikan pada Surah Maryam, ayat ke-16 yang menekankan bagaimana beliau beriktikaf di suatu kawasan di bahagian timur Masjid al-Aqsa:

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

- Pada ketika itulah turunnya Malaikat Jibril AS dalam jelmaan sebagai seorang lelaki yang sempurna dan menyampaikan khabar kehadiran seorang bayi di dalam rahimnya.

- Bayi itulah Nabi Isa AS.

d) Surah al-Isra’

- Secara keseluruhannya, surah ini sangat dekat dengan Baitul Maqdis kerana ia diturunkan sebagai bukti kejadian Israk Mikraj ke atas Nabi Muhammad SAW pada malam hari. 

- Sedia maklum kejadian Israk Mikraj berlaku di Masjid al-Aqsa. Ia bermula dengan perjalanan pertama Nabi Muhammad SAW bermula dari Kaabah ke Masjid al-Aqsa. Inilah yang dikenali sebagai isra’, bawa berjalan malam hari. Kemudian berlaku pula mi’raj yang mana merujuk kepada peristiwa keberangkatan Nabi Muhammad SAW ke 7 lapisan langit.

- Kemudian Nabi Muhammad SAW kembali turun ke Masjid al-Aqsa dan kembali ke Kaabah. Di sini telah timbulnya satu persoalan, mengapa Israk Mikraj tidak berlaku secara langsung dari Kaabah terus ke 7 lapisan langit?

i) Pertama

Sejarah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah berhijrah ke Ta’if sambil ditemani Zaid bin Harithah untuk menyebarkan dakwah Islam. 

Namun sebaliknya telah berlaku apabila Baginda menerima layanan kasar: dibaling batu sehingga berdarah kedua-dua kakinya dan dihujani dengan kata-kata makian.

Pada ketika itulah Rasulullah SAW telah berdoa kepada Allah SWT untuk mengadu serta meminta bantuan daripadaNya.

Maka dapat disimpulkan bahawa perjalanan Nabi Muhammad SAW ke Masjid al-Aqsa dengan haiwan tunggangannya, buraq adalah hadiah daripada Allah SWT untuk Baginda melupakan segala dukanya di Ta’if.

ii) Kedua

Menurut Profesor al-Fattah, peristiwa Israk Mikraj merupakan satu turning point bagi seluruh umat Islam dan Baitul Maqdis. Malah, ia adalah satu perubahan radikal dalam sejarah Islam.

Dikatakan pada malam itu, Nabi Muhammad SAW telah diangkat menjadi pengerusi dalam persidangan para nabi dan rasul sebelumnya. Malah dikhabarkan juga bahawa Nabi Muhammad SAW telah menjadi imam para nabi dan rasul dalam solat Subuh jemaah pertama yang dilakukan sebaik sahaja turunnya Baginda dari lapisan 7 langit.

Siapa sangka, peristiwa ajaib pertemuan para rasul dan nabi yang dikurniakan Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW ini telah menjadi simbolik penyerahan tampuk pimpinan ummah kepada Baginda.

-  Peristiwa-peristiwa besar yang terkait dengan Baitul Maqdis dan sejarah hidup Rasulullah SAW sebenarnya sedikit sebanyak telah membawa banyak pengajaran kepada seluruh umat Islam.

-  Hikmah yang boleh dijadikan sandaran kepada pembebasan Baitul Maqdis termasuklah:

i) Tanah suci ini adalah sumber kebahagiaan kerana keberkatan Allah SWT keatasnya

ii) Kisah Israk Mikraj telah menjadi inspirasi kepada mereka yang tertindas untuk tidak mengalah dengan ujiannya

iii) Peristiwa Israk Mikraj telah merapatkan ikatan antara agama Islam dengan Baitul Maqdis

iv) Tanah suci ini adalah simbolik kepada akidah umat Islam

Setakat ini, sudahkah kalian faham mengapa pengetahuan ilmu berkaitan Baitul Maqdis menjadi tunjang penting kepada pembebasan Palestin? 

Ketika isu Baitul Maqdis semakin runcing, di manakah kita dan sejauh manakah tindakan yang telah diambil untuk menyelamatkan tanah diberkati Allah SWT?

Lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW bersungguh-sungguh menekankan ilmu pengetahuan Baitul Maqdis sehingga seruan pembebasan tanah suci itu disahut oleh para sahabat. Salah seorangnya ialah Saidina Umar al-Khattab RA yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan kerajaan Rom pada 636 Masihi.

Kemudian perjuangan pembebasan Baitul Maqdis diteruskan lagi oleh Salahuddin al-Ayyubi selepas tanah suci itu jatuh di dalam genggaman Tentera Salib. Pahlawan termasyhur ini  berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada 1187 Masihi.

Tidakkah status Baitul Maqdis pada hari ini saling tidak tumpah seperti era Saidina Umar dan Salahuddin al-Ayyubi? Baitul Maqdis yang dicengkam rejim Zionis bukanlah hanya masalah Palestin sahaja atau dalam kalangan negara-negara Arab tetapi ia adalah kebimbangan yang perlu dititikberatkan umat Islam. Ia telah terbukti menjadi keutamaan orang Islam memandangkan Baitul Maqdis telah menjadi fokus sejak awal dakwah Nabi Muhammad SAW, malah telah disebutkan kewujudannya melalui surah-surah Makkiyah.

Jika hancur Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis, maka hancur jugalah akidah umat Islam kerana tiadanya kepedulian ummah terhadap status tanah suci itu. Inilah masanya untuk seluruh umat Islam bersama-sama bertindak untuk membebaskan Baitul Maqdis walaupun usaha yang digiatkan cuma menyebarkan ilmu tentang kepentingan tanah suci itu. 

Semoga kita dipanjangkan usia untuk melihat pembebasan Baitul Maqdis dan menziarahi Masjid al-Aqsa suatu hari nanti. In shaa Allah. 

 

*Surah Makkiyah merujuk kepada surah-surah yang diturunkan oleh Allah SWT untuk Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril AS sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dipetik daripada Makki Dan Madani Serta Beberapa Diskusi Tentangnya (ms.71)

 

RUJUKAN 

Buku:

Ensiklopedia Nabi Muhammad SAW: Sebagai Keturunan Bangsa Arab Jilid 2, ms.66

Buku Emas Baitul Maqdis: Makalah-makalah Pilihan Menuju Pembebasan Tanah Suci (Vol. 1), (ms.12)

Introducing The New Terminology of Islamicjerusalem And Its Field of Inquiry

-Pemurnian Istilah dan Kefahaman Nabawi Berkaitan Baitul Maqdis

Related