Home Artikel Post View

Sejauh Manakah Kepentingan Baitul Maqdis Untuk Pembebasan Palestin?

Dec 02, 2022 05:35 am
Kredit kepada pemilik gambar

 

Oleh: Nur Sabrina Suhaimi | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi

Satu hal yang harus kita sedari bahawa apabila menceritakan tentang Baitul Maqdis, ramai sebenarnya masih belum jelas mengapa bandar ini menjadi satu kepentingan untuk umat Islam, termasuk dalam perancangan untuk pembebasan Palestin. 

Selain diangkat sebagai kota suci yang menyaksikan sejarah kenabian yang pelbagai, Baitul Maqdis juga menempatkan kiblat pertama umat Islam serta pernah menjadi saksi kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin)” – (Al Israa’, 17:1)

Namun keistimewaan Baitul Maqdis tidak terhad berdasarkan fakta tersebut semata-mata, sebaliknya ada hal lain yang belum jelas diketahui umum mengapa bandar ini dan Masjid al-Aqsa dianggap penting menurut aqidah umat Islam.

Masjid al-Aqsa, terikatnya roh dan jiwa mereka

Berdasarkan catatan sejarah Islam, Baitul Maqdis sudah lama muncul sejak kehadiran Nabi Adam AS membuka Masjid al-Aqsa buat kali pertama selepas pembinaan Kaabah dalam jarak 40 tahun atas perintah Allah SWT. 

Walaupun begitu, Masjid al-Aqsa telah dijadikan kiblat pertama bagi seluruh pengikut para nabi dan rasul, seawal zaman Nabi Adam AS. Nabi Muhammad SAW juga pernah solat berkiblatkan Masjid al-Aqsa selama dakwahnya di Mekah sejak wahyu pertama dan setengah tahun di Madinah selepas hijrah. 

Perubahan arah kiblat berlaku pada tahun kedua hijrah, selepas 16 hingga 17 bulan Rasulullah SAW tiba di Madinah dan peristiwa ini telah disokong oleh beberapa riwayat hadis, salah satunya:

“Aku telah sembahyang bersama Nabi SAW menghadap ke Baitul Maqdis selama enam belas bulan sehinggalah diturunkan ayat yang terdapat dalam surah al-Baqarah:

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Dan di mana saja kamu berada, maka palingkanlah mukamu ke arahnya (ayat ke-144)

Ayat tersebut diturunkan selepas Nabi SAW mendirikan sembahyang. Setelah itu seorang lelaki dari satu kaum berjalan-jalan dan secara kebetulan dia mendapati beberapa orang dari kaum Ansar masih lagi sembahyang dengan menghadap ke arah Baitul Maqdis. Lalu dia menceritakan tentang ayat tersebut, lantas mereka memalingkan muka mereka ke arah Kaabah.” – Hadis riwayat al-Bara’ bin Aazib RA.

Ia merupakan satu perubahan besar yang sangat penting kerana sebelum peralihan arah kiblat berlaku, kaum Yahudi pernah mengejek umat Islam kerana terlalu bergantung kepada mereka walaupun melibatkan penentuan arah kiblat. 

Sebagai rekod, kaum Yahudi juga menjadikan Baitul Maqdis sebagai arah kiblat mereka. Maka apabila Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk menukar arah dari Masjid al-Aqsa ke arah Kaabah di Masjid al-Haram, bangsa Yahudi ditampar dengan satu kenyataan hinggakan mereka meragui kejadian tersebut: 

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling daripada kiblat yang mereka hadapi selama ini?”

Lalu Allah SWT menurunkan surah al-Baqarah, ayat 142 sebagai jawapan:

“Orang yang bodoh itu akan berkata: ‘Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): timur dan barat itu kepunyaan Allah SWT (maka ke mana sahaja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan lurus.”

Di dalam buku bertajuk Buku Emas Baitul Maqdis: Makalah-makalah Pilihan Menuju Pembebasan Tanah Suci Vol. 2 (ms.192) ada disebutkan bahawa kota suci ini sebagai satu simbolik penting: “Jerusalem menandai tahap simbolis penting dalam perjalanan menyakitkan, yang mengharuskan ummat Islam memutuskan hubungan dengan tradisi yang dicintai sejak masa lalu.”

Bayangkan sahaja dalam tempoh yang panjang ini, bermula daripada zaman Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW, sudah pasti adanya ikatan roh dan emosi dalam kalangan para nabi, rasul, serta para sahabat terhadap Masjid al-Aqsa juga Baitul Maqdis.

Maka, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW bertegas untuk membebaskan Baitul Maqdis dari mana-mana kuasa asing, misalnya pada ketika itu tanah suci tersebut di bawah pemerintahan Bizantin sebelum kewafatan Baginda pada 632 Masihi.

Israk Mikraj: ‘Turning Point’ Seluruh Umat Islam

Istimewanya Masjid al-Aqsa kerana ia menyaksikan peristiwa Israk Mikraj, selain menjadi kiblat pertama umat manusia Islam; masjid kedua yang didirikan selepas Masjid al-Haram; tempat ketiga paling suci selepas Makkah dan Madinah. 

Tahukah anda, Israk Mikraj bukanlah sekadar keajaiban Nabi Muhammad SAW diangkat ke tujuh lapisan langit dalam satu malam. Sebaliknya, ia merupakan satu episod baharu untuk baginda sendiri, termasuk para sahabat dan seluruh umat Islam

- Ganjaran untuk Rasulullah SAW

a) Kekasih Allah SWT yang tercinta ini telah berdepan dengan dua kehilangan insan yang Baginda sayangi iaitu ayah saudaranya, Abu Talib dan isterinya, Siti Khadijah.

b) Kedua-duanya meninggal pada tahun yang sama cuma diselangi dengan jarak beberapa bulan sahaja. Ini memberi kesan mendalam terhadap Rasulullah SAW sehingga tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Kesedihan.

c) Tidak cukup dengan itu, ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Taif untuk berdakwah, kehadirannya disambut dengan makian dan batu-batu yang dilontar ke arahnya sehingga kaki Baginda berdarah.

d) Kecewanya Rasulullah SAW sehingga akhirnya Baginda mengadu kepada Allah SWT di dalam doanya agar diberikan keredaan dan kekuatan dalam menghadapi ujian.

e) Maka ditakdirkan Allah SWT satu perjalanan untuk Rasulullah SAW yang dikenali sebagai Israk Mikraj. Ia bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) dan keberangkatan Baginda melalui tujuh lapisan langit sebelum kembali semula ke Mekah apabila diturunkan semula ke bumi. 

f) Perjalanan Israk Mikraj yang boleh berlaku secara langsung di Mekah terjadi di Masjid al-Aqsa menunjukkan bahawa peristiwa ini merupakan sebuah hadiah untuk Nabi Muhammad SAW.

g) Secara tidak langsung, peristiwa ini juga telah menjadi satu simbolik bahawa Baitul Maqdis ialah tanah harapan yang sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja, lagi-lagi kepada mereka yang mencari perlindungan dan ketenteraman. 

- Perhimpunan besar para nabi dan rasul

a) Jika ikut logik akal, pertemuan dengan orang-orang yang telah tiada adalah sesuatu yang mustahil. Tetapi kekuasaan Allah SWT membuktikan sebaliknya.

b) Menurut sejarah yang direkodkan, Nabi Muhammad telah berhimpun dengan para nabi dan rasul di Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk Mikraj. 

c) Ini mengingatkan kepada satu kebenaran bahawa selain Rasulullah SAW, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan ramai lagi nabi yang pernah singgah ke Baitul Maqdis untuk melakukan ibadah di Masjid al-Aqsa. Malah ada sebahagian di antara mereka merupakan kelahiran Palestin.

d) Dikatakan juga Nabi Muhammad SAW telah mengimami mereka dalam solat Subuh berjemaah di Masjid al-Aqsa sebaik sahaja turun dari tujuh lapisan langit. 

e) Uniknya perhimpunan tersebut adalah secara tidak langsung menjadi simbolik penyerahan tampuk kepimpinan ummah dan seruan dakwah daripada para nabi serta rasul kepada Nabi Muhammad SAW.

f) Secara tidak langsung, peristiwa ini menyokong kenyataan Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi bahawa Baitul Maqdis adalah, “Titik pusat bagi perjalanan darat Nabi yang dikenal dengan Perjalanan Malam dan perjalanan syurgawi yang dikenal dengan Kenaikan (Pengangkatan Nabi ke Langit).”

g) Maka di sini boleh disimpulkan bahawa detik itulah titik mula kepada perkembangan pembebasan Baitul Maqdis. Permulaan pembebasan Baitul Maqdis ini telah direkodkan pada awal dakwah Baginda iaitu selepas wahyu pertama diturunkan pada sekitar 610 Masihi.

Baitul Maqdis, Masjid al-Aqsa Tunjang Kemerdekaan Palestin

Aktiviti penggalian di bawah perkarangan Masjid al-Aqsa oleh pihak Israel sebenarnya bukanlah perkara baharu tetapi sudah berlanjutan sejak lebih 60 tahun lalu. Cuma penggalian pada bahagian asas bawah Masjid al-Aqsa telah bermula 18 tahun yang lalu dan setakat Jun tahun ini dikhabarkan struktur bangunan itu menunjukkan tanda-tanda akan roboh jika penggalian haram diteruskan.

Usaha rejim Zionis dan Israel dalam mencari bukti kewujudan dan merancang pembangunan semula Haikal Sulaiman mencerminkan bangsa Yahudi ini semakin mengejar masa mahu mendapatkan semula hak mereka yang kononnya telah dirampas orang Islam.

Pada masa yang sama, mereka mahu mengembalikan zaman kemasyhuran Yahudi dengan membuktikan tanah Palestin adalah milik mereka sebagaimana wujudnya Haikal Sulaiman sebagai Kuil Pertama. Sedangkan jika dilihat pada garis masa, sudah tentulah Masjid al-Aqsa terlebih dahulu dibangunkan oleh Nabi Adam AS, sebelum ditambah baik oleh para nabi selepasnya. 

Maka, wajarlah untuk mengambil perhatian dengan apa yang berlaku di Palestin kerana ia bukan sahaja isu kemanusiaan seperti yang lantang disuarakan oleh lambakan organisasi bukan kerajaan (NGO) Palestin tetapi juga mencerminkan isu akidah!

Menarik untuk kita mengambil peringatan daripada Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi bahawa keruntuhan Masjid al-Aqsa adalah indikasi kehancuran peradaban masyarakat Islam. Runtuhnya kompleks ini harus menggegarkan seluruh komuniti Islam.

Bagaimana Masjid al-Aqsa terkait dengan akidah? 

Selain mengambil tahu bahawa ia adalah kiblat pertama dan seruan pembebasan pertama yang dibawa Nabi Muhammad SAW pada awal dakwahnya sesudah wahyu pertama, cuba telusuri koleksi surah Makkiyah yang diturunkan di Mekah. Difahamkan sebanyak satu per tiga atau 33% surah daripadanya menyebut tentang Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) dan ada pula di antaranya diturunkan di Masjid al-Aqsa.

Ini bermakna, keseluruhan surah Makkiyah menjadi tunjang kepada akidah seorang muslim kerana inilah yang ditekankan dalam fasa awal dakwah Nabi Muhammad SAW di Mekah. Begitu juga isu Baitul Maqdis merupakan sebahagian akidah yang perlu dititikberatkan, bukan sekadar mengambil tahu sebagai satu isu kemanusiaan. 

Walaupun bangunan dan binaan dindingnya yang kita lihat pada hari ini adalah tinggalan Romawi, namun sejarah yang terpateri di Baitul Maqdis dan tapak masjid itu wajar dijadikan satu pegangan diri untuk mempertahankannya sehingga Palestin menang.  

Bayangkan Makkah diruntuhkan oleh rejim Zionis. Sakit dan pilu menyaksikan keruntuhan Makkah itu harus sama sakit dan pilunya menyaksikan pencabulan Israel ke atas Masjid al-Aqsa yang telah bermula sekian lama.

Usaha pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa juga harus dijulang tinggi kerana inilah harapan Rasulullah SAW yang mahukan kemerdekaan untuk kota suci itu dari cengkaman Romawi dan bangsa-bangsa kejam seterusnya. 

Seperti yang diserukan oleh Saidina Abu Bakar RA kepada Usamah RA melalui wasiat Nabi Muhammad SAW yang disampaikan di hadapan para sahabatnya: 

“Berangkatlah pasukan Usamah, sesungguhnya aku tidak peduli jika binatang-binatang buas akan menerkam dan mencabik-cabikku di Madinah karena berangkatnya pasukan tersebut. Sesungguhnya telah turun wahyu kepada Nabi Muhammad, ‘Berangkatkan pasukan Usamah!’, dan aku tidak akan mengubah keputusan beliau.”

Masanya untuk kita bangkit dan sedar bahawa kini bukan lagi peperangan antara Palestin dengan Israel semata-mata, tetapi adalah satu ijtihad umat Islam seluruh dunia menentang kekejian bani terkutuk ini.

 

RUJUKAN

Buku

Buku Emas Baitul Maqdis: Makalah-makalah Pilihan Menuju Pembebasan Tanah Suci Vol. 1

Buku Emas Baitul Maqdis: Makalah-makalah Pilihan Menuju Pembebasan Tanah Suci Vol. 2 

Jersusalem: The Biography 

Ensiklopedia Mini Masjid al-Aqsha

 

Laman Sesawang

Why did Nebuchadnezzar destroy the Temple?

Titus: Destroyer of Solomon’s Temple

Antara Haikal Sulaiman & Al-Aqsa

Jerusalem’s Al-Aqsa Mosque ‘in danger of collapsing’ due to Israeli excavation work: Site official 

Was King Solomon’s Temple a Real Place?

Bayan Linnas Siri Ke 233: Solidariti Bersama Umat Islam di Al-Aqsa

Iktibar Agung Surah al-Isra’ (2)

Raja-Raja Baik dan Raja-Raja Jahat

Kemusnahan Bangsa Yahudi Sebanyak Dua Kali: Bila dan Bagaimana?

The Myth of the Temple of Solomon and The Struggle for Jerusalem

 

Akhbar

Israeli excavations threaten Al-Aqsa Mosque: Experts

Jerusalem’s Al-Aqsa Mosque ‘In Danger of Collapsing’ Due to Israeli Excavation Work: Site Official

Menzahirkan Maruah Masjid Al-Aqsa, Palestin

Bukti Kepatuhan Mutlak

 

Kertas Kajian

Bayt al-Muqaddas: Perspektif Sejarah dan Siyasah 

Kecaman Tuhan Terhadap Dosa Yehuda Berdasarkan Penafsiran Yesaya 1:10-20 dan Relevansinya