Home Artikel Post View

Pendidikan Di Palestin Adalah Satu Cabang Konflik Yang Tiada Penghujung

Aug 17, 2022 09:21 am
Gambar asal diambil daripada laman web UNRWA oleh Marwan Baghdadii

Oleh: Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Pendidikan adalah satu ruang yang penting dalam membangunkan identiti bangsa dan negara. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai ruang untuk mendapat kerja, tetapi ia adalah peluang pembebasan terutama kepada rakyat Palestin. Agenda pengyahudian (judaisation) yang sedang dilakukan bakal memberi impak yang besar kepada rakyat Palestin yang majoritinya berbangsa Arab.

Agenda pengyahudian adalah satu strategi yang telah digerakkan oleh Zionis sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948. Zionis menggunakan strategi ini untuk memastikan demografi dan topografi Palestin dapat diubah kepada sebuah negara yang hanya diduduki oleh orang Yahudi atau bukan Yahudi yang mengamalkan cara hidup dan budaya orang Yahudi. Agenda ini telah ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana telah melanggar Artikel 49 pada Konvensyen Geneva Keempat yang menyatakan,

“The Occupying Power shall not deport or transfer parts of its own civilian population into the territory it occupies”  

Pihak berkuasa Israel sekarang sedang cuba untuk mengadaptasi satu polisi yang sangat bahaya iaitu berkaitan dengan silibus pendidikan di sekolah-sekolah Arab yang berada di Tebing Barat. Israel sedang menggerakkan agenda mereka untuk melemahkan jati diri serta identiti rakyat Palestin dengan mengenakan satu kurikulum Israel yang sememangnya berniat untuk mengyahudikan penduduk di Tebing Barat.

Tindakan Israel lebih agresif apabila cubaan mereka membawa masuk kurikulum yang mereka gubal tidak berjaya dan Kementerian Pendidikan Israel telah membatalkan lesen enam sekolah di Baitul Maqdis Timur yang mana ia telah menganggu bidang kuasa PLO di Tebing Barat. Institusi pendidikan Israel telah berjaya menguasai sektor pendidikan Arab sebanyak 66 peratus di sebahagian besar kawasan di Tebing Barat terutama di Baitul Maqdis sejak tahun 1968. Dikatakan usaha mereka bermula dengan menukarkan nama Palestin kepada Israel dan Jerusalem kepada Urshalim. 

Silibus Israel cuba untuk memberi gambaran yang salah tentang sejarah dan geografi Palestin di dalam kurikulum yang diajar di sekolah-sekolah Arab di Baitul Maqdis. Israel juga menganjurkan seminar pendidikan di Baitul Maqdis untuk menggambarkan bahawa Islam di Baitul Maqdis dibina di atas rampasan dari orang Yahudi, di mana ini juga adalah penyelewengan fakta sejarah yang dilakukan oleh Israel untuk mengubah fakta yang benar.

Rakyat Palestin di Baitul Maqdis menghadapi cabaran yang sangat besar sejak 1967, apabila Israel menutup sekolah-sekolah yang dikelola oleh UNRWA dan pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa sekolah Arab yang ada di Baitul Maqdis tidak akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan Israel selagi mana mereka tidak menggunakan kurikulum yang disediakan oleh Israel.  

Ini jelas menunjukkan Israel cuba untuk memprovokasi orang Arab di Baitul Maqdis untuk memaksa mereka keluar dari kota tersebut dan mencari pilihan pendidikan yang lain. Dengan pengurangan populasi orang Arab di Baitul Maqdis, usaha Israel menjadi lebih mudah untuk menghancurkan Masjidil Aqsa dan mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai hak milik Israel secara rasmi.

Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh B’Tselem, kadar keciciran pelajar Arab di sekolah menengah di Baitul Maqdis telah mencapai hampir 50 peratus sejak sedekad yang lalu. Perancangan yang rasis ini bukanlah sesuatu yang baharu. Israel telah beberapa kali melakukan percubaan ini setiap tahun, tapi mereka tidak akan mampu untuk menukar cara fikir rakyat Palestin kepada naratif yang dibawa Israel.

Usaha Israel ini pasti akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan warisan yang dimiliki oleh rakyat Palestin akan hilang ditelan zaman dan kemudian ia menjadikan perancangan Israel lebih mudah untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara tunggal Yahudi di dunia. Namun, kita juga tidak boleh memandang ringan kepada rakyat Palestin yang cekal dalam menghadapi tekanan yang diberikan oleh Israel walaupun ia melibatkan nyawa mereka. 



 

Related