Apa Yang Boleh Diharapkan Dari Lawatan Amerika Syarikat Ke Timur Tengah?

Aug 12, 2022 10:22 am
Gambar asal diambil daripada laman web Royal Court of Saudi Arabia

Oleh: Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Lawatan rasmi sememangnya dilihat sebagai satu usaha politik yang efektif dalam memperkukuhkan hubungan bilateral antara dua buah negara. Ia juga dianggap sebagai satu bentuk diplomasi yang tertinggi dan kebiasaannya menatijahkan sesuatu yang baik di kemudian hari. Ini yang biasa dilakukan oleh negara-negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang ingin melebarkan pengaruh kuasanya ke atas negara-negara yang boleh memberi manfaat kepadanya.

AS telah memulakan langkahnya pada 14 Julai ini untuk melawat negara-negara di Timur Tengah termasuklah negara haram Israel. Sudah pasti Joe Biden akan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang lawatannya dan ini adalah lawatan pertama Biden selepas menjawat jawatan sebagai Presiden. Sejak campur tangan AS terhadap Iraq dan Afghanistan, Amerika dilihat sebagai musuh utama kepada Timur Tengah yang majoriti warganya berbangsa Arab. 

Dengan lawatan yang dilakukan ini, Biden berusaha untuk menilai semula peranan AS di rantau tersebut terutama apabila fokus AS kini lebih tertumpu kepada Eropah dan Asia. Jadi, apa yang kita akan lihat sepanjang lawatan ini terjadi?

1. Kerjasama Arab-Israel

Biden adalah satu–satunya Presiden AS yang akan menggunakan laluan penerbangan terus dari Israel untuk ke Arab Saudi. Arab Saudi menjadi perhentian terakhir Biden sebelum pulang ke Washington. Perjalanan ini sebenarnya mahu menunjukkan hubungan persahabatan yang bakal terbina antara Israel dan negara-negara Arab yang disebut sebagai tectonic shift, ia dijangka akan membentuk semula politik di rantau Timur Tengah.

Walaupun Biden tahu bahawa Arab Saudi tidak akan menjadikan hubungan mereka bersama Israel menjadi rasmi, Biden menganggap ia adalah tindakan pemula untuk matlamat yang lebih besar. Tambahan pula, AS menganggap Arab Saudi sebelum ini adalah sebuah negara ‘pariah’ dan Arab Saudi sebenarnya antara negara Arab yang mampu menjadi kunci kepada penubuhan Israel Raya (Greater Israel).

2. Perjanjian Nuklear Iran

Ancaman Iran adalah perkara yang mampu menjadikan negara-negara Arab dan Israel duduk semeja, dan ini menjadi agenda utama dalam kunjungan Biden di Arab Saudi nanti. Israel dikatakan melihat Iran sebagai ancaman dan negara Arab Sunni melihat Iran yang beraliran Syiah sebagai pesaing yang berbahaya untuk kuasa geopolitik Timur Tengah.

AS menganggap kesefahaman antara Israel dan negara Arab yang lain sebagai satu usaha yang terbaik untuk menghalang Iran dari membangunkan senjata nuklear. Biden berhasrat untuk memulakan semula perjanjian nuklear yang pernah dipersetujui ketika zaman Barack Obama pada 2015 dan ditinggalkan oleh Trump pada 2018, menjadikan perjanjian ini tidak terlaksana setakat hari ini.

3. Konflik Palestin-Israel

Walaupun Israel sedang membina hubungannya dengan negara-negara Arab, tetapi ia dilihat tidak memberi kesan yang baik kepada konflik di Palestin. Konflik Palestin - Israel telah pun berlanjutan selama 74 tahun!. Malah, sebahagian besar rakyat Palestin merasakan mereka seolah-oleh diabaikan oleh pemimpin Arab yang telah menormalisasikan hubungan kerajaan mereka dengan Israel. Hubungan normalisasi ini tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat Palestin yang bercita-cita untuk memerdekakan negara mereka dari penjajahan Zionis sejak 1948.

Two-state solution yang dicanangkan sebagai penyelesaian dilihat semakin malap untuk direalisasikan kerana setelah beberapa dekad Israel terus meluaskan jajahan mereka dengan membina penempatan haram untuk menempatkan para pendatang Yahudi. Israel terus menyalahkan rakyat Palestin di atas konflik yang berpanjangan kerana keengganan para pemimpin Palestin yang tidak menerima usul perdamaian yang pernah mereka kemukakan. 

4. Hak Asasi Manusia

Biden perlu berhadapan dengan penduduk Arab terutama selepas kes kematian yang melibatkan seorang wartawan Palestin iaitu Shireen Abu Akleh, yang dibunuh dua bulan lepas oleh tentera Israel. Beberapa penganalisis mengatakan,  AS percaya bahawa Shireen telah ditembak oleh tentera Israel yang berada di kawasan berdekatan, dan pentadbiran AS tidak membuat sebarang konklusi kepada kes tersebut.

AS juga percaya pembunuhan Jamal Khashoggi yang merupakan seorang penulis Washington Post telah diarahkan oleh Raja Salman dan ini akan menjadi fokus perbincangan berkaitan hak asasi manusia di antara AS dan Arab Saudi. Di samping itu, Raja Salman dikatakan banyak menafikan hak kebebasan bersuara, kerana mereka yang mengkritik baginda  akan dipenjarakan.

Walaupun begitu, Raja Salman dianggap seorang pemimpin yang berjaya mereformasikan Arab Saudi bermula pada tahun 2017. Jika dilihat keadaan Arab Saudi pada lima tahun lepas, ia sangat berbeza seperti sekarang di mana wanita sudah dibenarkan untuk memandu dan melancong ke luar negara tanpa keizinan dari lelaki serta menghadiri sukan di stadium. Ini adalah perubahan besar selepas beberapa dekad oleh pengaruh ultra-konservatif Wahhabi. 

5. Pengeluaran Minyak

Biden pastinya akan mengenakan tekanan kepada Arab Saudi dengan menggunakan isu-isu kemanusiaan di atas. Tindakan ini sebenarnya untuk memujuk Arab Saudi dan negara Arab lain bagi menghasilkan lebih banyak minyak dan seterusnya ini akan mengurangkan harga minyak bulanan yang mencanak naik.

Arab Saudi adalah antara negara pengeluar minyak terbesar di dunia, dan mereka sudah menghasilkan hampir 11 juta tong minyak sehari. Sudah sudah pasti negara-negara OPEC termasuk Arab Saudi akan lebih berhati-hati apabila permintaan ini datangnya dari AS. Harga minyak naik disebabkan krisis Rusia-Ukraine yang masih berlarutan dan Biden semakin terdesak untuk memastikan OPEC menghasilkan lebih banyak minyak walaupun jangkaan bahawa tahun kemelesetan ekonomi dunia akan bermula pada 2022 hingga pertengahan 2024.

6. India

Biden cuba merangka satu kerjasama di antara Israel, India, UAE dan AS yang disebut sebagai I2U2. Kerjasama ini tidak lain tidak bukan adalah untuk terus memperkukuhkan kedudukan AS sebagai kuasa besar dunia berbanding Rusia. 

Selepas US-Asean Summit yang lalu, ini adalah perancangan Biden untuk memberikan tekanan kepada Rusia untuk melonggarkan sekatan gandum dan minyak bijirin ke atas Ukraine. Biden juga mengharapkan kerjasama ini mampu memberi kedamaian di rantau Asia Barat yang dibantu oleh India dan AS. 

Sebenarnya, lawatan ini hanyalah untuk menyelamatkan survival politik AS dan mengukuhkan kekuatan pengaruh mereka di Timur Tengah. AS perlu pantas dalam mencaturkan agendanya di negara-negara pilihan Biden supaya AS tidak lagi dianggap sebuah kuasa besar yang makin ‘sakit’.

Apakah kesannya pada Palestin?

Kita menjangkakan rakyat Palestin terus akan dinafikan mereka untuk mendirikan sebuah negara berdaulat tanpa sebarang penjajahan dari Zionis.

 

Related