Adakah Arab Saudi Akan Menormalisasikan Hubungan Dengan Israel?

Aug 12, 2022 10:12 am
Gambar asal diambil daripada laman web Encyclopedia Britannica

Oleh: Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli | Eksekutif Penyelidikan & Advokasi Persatuan Cinta Gaza Malaysia 

Arab Saudi adalah sebuah negara Arab yang terbesar di Semenanjung Arab. Negara ini diberi julukan sebagai  “Tanah Dari Dua Masjid” yang merujuk kepada Makkah dan Madinah, sebagai  dua tempat suci bagi umat Islam. Arab Saudi merupakan pengeksport petroleum yang terbesar di dunia. Anggaran keuntungan eksport minyak kepada Arab Saudi adalah sebanyak 90 peratus dan 75 peratus darinya adalah digunakan untuk kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan di Arab Saudi.

Arab Saudi juga antara negara Arab yang lantang mempertahankan hak-hak rakyat Palestin yang dijajah oleh Zionis. Hubungan mereka dengan Israel dan sekutu rapat Israel iaitu Amerika Syarikat tidak begitu baik dan menjadi lebih keruh selepas Amerika Syarikat melabelkan Arab Saudi sebagai sebuah negara ‘pariah’.

Tetapi, di sebalik semua ketegangan yang berlaku antara pasukan Joe Biden dan Arab Saudi, Rumah Putih (White House) terus memandang Riyadh sebagai rakan kongsi yang tersangat penting. Pentadbiran Amerika Syarikat percaya bahawa Washington perlu berkerjasama secara rapat dengan Riyadh walaupun kempen Biden pada tahun 2019 berikrar untuk menjadikan Arab Saudi sebuah negara ‘pariah’. 

Ikrar ini adalah disebabkan Arab Saudi yang konsisten menolak negara haram Israel. Pada awal bulan Jun 2022, Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat, Antony Blinken menggelar Arab Saudi sebagai “critical partner” dalam usahanya untuk melebarkan Perjanjian Abraham (Abraham Accords). Tetapi Arab Saudi tidak bersetuju untuk menyertai United Arab Emirates (UAE) dan beberapa negara Arab yang lain untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel. 

Mungkin ada sebab mengapa Amerika Syarikat melihat Arab Saudi adalah watak terpenting dalam menjayakan Perjanjian Abraham, dan dalam masa yang sama Joe Biden ada sebab untuk percaya bahawa Riyadh merupakan kemuncak kepada hubungan diplomatik bersama Tel Aviv. Ia tidaklah begitu mengejutkan kerana Perjanjian Abraham adalah salah satu tiang kepada dasar luar negara ketika di bawah pemerintahan Trump, yang Biden dan Blinken cuba teruskan. 

Riyadh sebenarnya sudah mempunyai kerjasama secara sembunyi dengan Israel sejak beberapa dekad yang lalu, dan beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan ini makin terbuka. Namun, Riyadh mungkin tidak akan memulakan langkah normalisasi bersama Israel untuk tempoh terdekat ini kerana Arab Saudi akan melanggar Arab Peace Initiative (API) yang dicetuskan oleh Arab Saudi sendiri 20 tahun lepas. 

API adalah sebuah tawaran yang diberikan kepada Israel di mana semua ahli Liga Arab akan menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel jika Israel memulangkan kembali wilayah Palestin pada tahun 1949-1967 dan membenarkan negara berdaulat Palestin didirikan dengan Baitul Maqdis Timur (East Jerusalem) sebagai ibu negaranya.

Mengambil kira bahawa isu Palestin ini menjadi perjuangan Raja Salman selama beberapa dekad, peluang untuk Arab Saudi menormalisasikan hubungannya dengan Israel akan semakin cerah jika Raja Muda Arab Saudi,  Mohammed bin Salman (MBS) menjadi pemerintah rasmi Arab Saudi. Berapa orang penganalisis mengatakan bahawa selagi Raja Salman masih di tampuk pemerintahan, maka peluang mereka adalah tipis. 

Arab Saudi adalah benteng kepada sebarang normalisasi di rantau Asia Barat dan ini kita dapat lihat ketika Bahrain tidak mampu untuk membuat keputusan terhadap polisi dasar luar negaranya tanpa kebenaran dari Arab Saudi, bermaksud Arab Saudi telah bersetuju membenarkan normalisasi antara Bahrain dan Israel. 

Jika Arab Saudi terus berada di dalam trend normalisasi ini, ia memudahkan Iran untuk mengangkat naratif tentang Dinasti Al-Saud yang menjadi boneka kepada Barat dan tidak sesuai menjadi pemacu kepada Dunia Islam. Saya pasti, Arab Saudi tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Tambahan pula, jika Arab Saudi bersetuju dengan Perjanjian Abraham, Iran akan memainkan isu Palestin menentang kepimpinan Riyadh.

Arab Saudi juga mungkin akan berhadapan dengan negara Iraq yang meluluskan rang undang-undang pengharaman sebarang bentuk normalisasi bersama Israel dan ia akan menjejaskan hubungan kedua-duanya dengan cara yang agak sukar untuk diramalkan. Tidak dapat dinafikan, normalisasi Saudi-Israel akan memberi kelebihan kepada Saudi di kalangan pemimpin Barat, khususnya di Washington.

Walau bagaimanapun, MBS dan Arab bersikap lebih defensif terhadap Washington berbanding tempoh sejurus pembunuhan Jamal Khashoggi. Joe Biden menegaskan dalam lawatan Timur Tengah bermula hari ini untuk tidak mengugut Arab Saudi untuk dilabelkan sebagai sebuah negara ‘pariah’.

Jadi, normalisasi Saudi-Israel mungkin akan memberi kelebihan kepada Saudi terhadap negara-negara Barat tetapi ia akan memberi kesan yang lebih besar dan tidak akan menguntungkan Arab Saudi dalam tempoh masa yang lama.