Palestin Dalam Sejarah: Mac 1877-2004

Aug 09, 2022 10:29 am
Gambar asal diambil daripada laman web Al Jazeera

 

Oleh: Muhammad Syahmi Afiq | Editor Persatuan Cinta Gaza Malaysia

19 Mac 1877

Yusuf Diya-uddin Pasha al-Khalidi dipilih untuk menyertai Dewan Perwakilan Uthmaniyyah. Beliau mewakili Baitul Maqdis. 

Dewan Perwakilan Uthmaniyyah ialah salah satu cabang pentadbiran yang terletak di bawah seliaan Parlimen Uthmaniyyah. Tugas mereka ialah untuk mengundi belanjawan tahunan yang dikemukakan oleh Majlis Menteri. Semua ahli parlimen, termasuk di dalam Dewan Perwakilan mempunyai hak untuk bersuara dan kebal daripada penangkapan dan pendakwaan jenayah sepanjang mereka bertugas, melainkan jika dewan mengundi untuk mengenepikan hak untuk seseorang ahli. 

Mac 1888

Pentadbiran Uthmaniyyah mengambil keputusan untuk membahagikan kawasan Syria kepada dua bahagian; Syria dan Beirut. Di Palestin, kawasan Nablus dan Akka diberikan kepada pentadbiran Beirut manakala Baitul Maqdis kekal di bawah pentadbiran Istanbul.

19 Mac 1899

Theodore Herzl mengutuskan surat kepada Datuk Bandar Baitul Maqdis ketika itu, Yusuf Diya-uddin Pasha al-Khalidi, memberi bayangan bahawa, jika Zionis tidak dialu-alukan di Palestin, mereka akan pergi ke tempat lain.

*Pautan surat: https://www.paljourneys.org/en/timeline/historictext/9700/letter-theodore-herzl-yusuf-diya-uddin-al-khalidi

Mac 1911

Selepas delegasi Palestin menimbulkan isu berkaitan Zionism di parlimen Uthmaniyyah, mengatakan bahawa tujuan utama Zionisme ialah untuk mewujudkan sebuah negara Yahudi di Palestin dan menyeru kepada pelaksanaan undang-undang untuk menghalang perpindahan penyokong Zionis ke Palestin, kerajaan Uthmaniyyah mengadakan satu debat secara besar-besaran berkenaan dengan Zionisme.

1 Mac 1947

Pada hari ini, Irgun* meletupkan Kelab Pegawai British di Goldsmith House di Jerusalem. Tujuan mereka tidak lain hanya sekadar untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa. 

16 orang maut dan 13 yang lain cedera apabila pelampau meletupkan kelab tersebut dalam kempen keganasan yang berterusan. Jurukamera Universal di tempat kejadian beberapa minit selepas letupan, merakam mangsa yang terkesan dan trauma semasa mereka dibawa keluar dari serpihan. Dua daripada 50 pegawai kelab itu terlepas daripada kecederaan ketika pelampau melepaskan tembakan dengan senapang dan membaling beg sarat bahan letupan melalui tingkap dan pintu bangunan. Beberapa orang yang cedera meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

*Irgun adalah kumpulan pelampau Zionis

12 Mac 1948

Laporan yang dikeluarkan pada 12 Mac oleh Suruhanjaya Palestin PBB menyatakan bahawa penubuhan majlis sementara kerajaan yang dapat memenuhi fungsi mereka adalah mustahil untuk dicapai pada 1 April. Penentangan Arab terhadap pembahagian kawasan pada dasarnya menghalang penubuhan Majlis Arab, dan, walaupun langkah telah diambil ke arah pemilihan Majlis Yahudi, suruhanjaya itu melaporkan bahawa majlis tersebut tidak akan dapat menjalankan fungsinya seperti yang dihasratkan oleh resolusi itu. Britain dalam apa jua keadaan untuk menghalang telah memilih untuk tidak berkongsi dengan suruhanjaya pentadbiran Palestin hasil dapatan laporan semasa tempoh peralihan. Pada 19 Mac, Amerika Syarikat menggesa Suruhanjaya Palestin PBB untuk menangguhkan usahanya. Pada 30 Mac, Amerika Syarikat mencadangkan supaya gencatan senjata diisytiharkan dan masalah itu dipertimbangkan lagi oleh Perhimpunan Agung.

4 Mac 1949 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini telah meluluskan resolusi untuk menerima dan menimbangkan permohonan Israel untuk menjadi ahli PBB. Antara sebab PBB menerima ialah; 

  1. Menurut pertimbangan PBB, Israel adalah negara yang cintakan keamanan dan mampu bersedia untuk melaksanakan kewajipan yang terkandung dalam piagam, 

  2. Seterusnya mengesyorkan kepada perhimpunan PBB ketika itu untuk menerima kemasukan Israel sebagai ahli dalam PBB. Syor tersebut diusulkan pada mesyuarat ke-414 PBB dan dimenangi dengan 9 undi menerima, 1 undi menolak (Mesir), dan 1 undi berkecuali (United Kingdom). 

23 Mac 1949

Perjanjian Gencatan Senjata antara Lubnan dan Israel termeterai pada hari ini. Kedua-dua pihak bersetuju untuk beralih dari gencatan senjata kepada keamanan kekal di Palestin dan seterusnya berbincang mengenai pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan bertarikh 16 November 1948 yang menetapkan untuk melantik wakil yang diberi kuasa untuk berunding dan membuat perjanjian gencatan senjata. 

22 Mac 2004

Tarikh ini adalah antara tarikh yang semestinya diingati oleh semua pendokong perjuangan pembebasan Palestin. 

Tarikh ini adalah tarikh pembunuhan Shaykh Ahmad Yassin, tokoh yang memberikan inspirasi perjuangan melawan Zionis walaupun beliau hanya berkerusi roda! Tokoh yang digeruni musuh ini dibedil dengan tembakan roket daripada helikopter musuh saat keluar dari masjid yang berhampiran dengan rumahnya. 

Pendiri HAMAS ini dan sosok yang lama mendekam di dalam penjara Zionis ini cukup terkenal dengan sifat warak, berani dan lantang terhadap musuh. 

Related