Perancang Kehancuran Masjidil Aqsa 28 Mei: Siapakah Dalangnya?

Aug 03, 2022 04:59 am

Oleh: Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli

Serangan ke atas Masjidil Aqsa tidak pernah berhenti sejak Israel menjajah tanah Palestin pada tahun 1948. Siri-siri serangan ini bukanlah secara kebetulan tetapi itu adalah satu perancangan pengyahudian (Judaisation) yang sangat rapi dengan hanya satu matlamat, untuk membina kembali Haikal Sulaiman (Solomon Temple) yang dikatakan kuil suci bagi kaum Yahudi sejak zaman Nabi Sulaiman lagi. Tambahan lagi, mereka menganggap tapak Masjidil Aqsa adalah tapak Haikal Sulaiman yang telah dirobohkan.

Pada tahun 2022, serangan untuk menghancurkan Masjidil Aqsa kembali bergema dan ini pastinya mendapat reaksi yang pelbagai dari seluruh masyarakat dunia. Poster dan video propaganda telah mula menular untuk memprovokasi dan memancing kemarahan umat Islam dan ini kesempatan yang digunakan oleh mereka untuk menyerang umat Islam di Palestin dengan alasan keselamatan.

Serangan yang dijangka pada 28 Mei ini adalah bersempena dengan Hari Jerusalem (Jerusalem Day), hari yang diwar-warkan oleh Israel sebagai tarikh kemenangan mereka mendapatkan Timur Baitul Maqdis (East Jerusalem) selepas kemenangan mereka dalam Perang Arab-Israel 1967 yang berlangsung selama enam hari. 

Cetusan idea serangan ini sebenarnya telah dimulakan oleh puak pelampau kanan Zionis, Bentzi Gopstein, dan pengasas kepada kumpulan Lehava. Lehava bermaksud nyalaan api dalam bahasa Ibrani dan akronim kepada Prevention of Assimilation in the Holy Land. Melihat kepada namanya sahaja, kita tahu tujuan mereka jelas untuk menghalang sebarang percampuran antara kaum Yahudi dan selain kaum Yahudi di tanah suci Baitul Maqdis.

Kumpulan Lehava ini adalah sebuah kumpulan ekstremis yang berjaya memenangi kerusi ketika pilihanraya Israel yang berjalan pada Mac lalu. Mereka telah memperolehi 6 kerusi dan itu membuktikan pengaruh ekstremis ini mula menular dalam kalangan penduduk Israel.

Penubuhan Lehava ini sebenarnya telah diinspirasikan dari sebuah ideologi iaitu ideologi Kahane. Martin David Kahane, seorang penulis, ahli politik dan rabai yang dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi Ortodoks di Amerika pada tahun 1932, mempercayai bahawa Yahudi memerlukan sebuah negara berdasarkan kitab Taurat. Dia telah menggerakkan agenda untuk menghalau dan menghapuskan rakyat Palestin dari tanah mereka. Pengikut Kahane percaya bahawa Tebing Barat yang dijajah oleh mereka pada tahun 1967 dan sebahagian dari timur Jordan adalah kerajaan Judea dan Samaria seperti yang telah disebut dalam kitab mereka.

Bukan itu sahaja, Kahane juga mempercayai kepada satu konsep dalam Zionis berkaitan Israel Raya termasuk Semenanjung Sinai, Lubnan dan Syria sebagai “Homeland for the Jewish people”. Kahane telah dibunuh pada tahun 1990 tetapi ideanya telah menjadi inspirasi kepada sebahagian besar kaum Yahudi. Baruch Goldstein adalah antara pengikut kepada ideologi ekstrem Kahane ini di mana dia telah menyerang jemaah di dalam Masjid Ibrahimi dan menyebabkan 29 orang rakyat Palestin terbunuh pada tahun 1994.

Betapa bahayanya ideologi ini sehinggakan ia sudah tidak berasaskan perkauman tetapi melibatkan agama mereka sendiri. Orang Yahudi yang dilihat menggunakan pendekatan lembut terhadap mereka yang berbangsa selain Yahudi dianggap telah keluar dari Yahudi dan agamanya. Merekalah yang sebenarnya menjadi petualang kepada semangat rasis yang menjadi sebahagian anutan Israel untuk memastikan orang Arab di Palestin perlu dihalau dan dibunuh kerana ia halal bagi mereka.

Islam tidak pernah mengajar kita untuk bersikap ekstremis walaupun terhadap mereka yang bukan beragama Islam. Islam adalah agama universal yang meraikan keadilan sejagat tanpa melanggar batas yang telah ditetapkan oleh syariat berpandukan Al-Quran dan Hadis. Palestin adalah tanah bertuah yang menghimpunkan pelbagai agama dan bangsa untuk kita saling berkenalan dan bukan berbunuhan sesama sendiri. Moga kita terus istiqamah dalam membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis daripada cengkaman penjajah. 

 

Related